Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

Judul karyanya ialah "50 KATA-KATA TOKOH BERPENGARUH & CERITA DI SEBALIKNYA". Setelah beberapa bulan saya mengintai-ngintai peluang untuk membeli buah tangan Ustaz Dzul ini, akhirnya dapat juga saya miliki karya ini. Ketika saya pergi ke Bangi untuk menghadiri forum Mencari Cinta Sempurna di INSPEN, tanpa saya sangka yang menggantikan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre adalah Ustaz Dzul. Maka apabila selesai forum, saya cuba mencari buku ini di luar dewan seperti mana yang diberitahu oleh pengerusi majlis. Alhamdulillah...kini saya telah habis membacanya.

Secara ringkas saya boleh katakan buku ini yang kelihatan agak nipis, tetapi mempunyai isi yang amat padat. Malah terasa sangat rugi jika kita membaca dengan melangkah-langkathperkataan atau perenggan kerana pada saya setiap perkataan itu, adalah isi kepada buku ini. Sesuai dengan tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk pembaca mendapat maklumat yang mudah tentang sejarah Islam dan kehebatan tokoh-tokoh Islam, maka bahasa yang digunakan juga mudah difahami. Pembaca tidak dibebani dengan tarikh-tarikh dan penjelasan yang panjang lebar seperti layaknya sebuah buku sejarah. Tetapi cukup dengan 3, 4 baris ayat, Ustaz Dzul telah memberi pengenalan yang agak jelas kepada setiap tokoh yang ditulisnya. Jadi sekiranya para pembaca menginginkan maklumat lanjut berkenaan tokoh tersebut, maka saya sarankan untuk diri saya dan anda juga membuat bacaan lanjutan.

Cuma mungkin beberapa penambahbaikan boleh dibuat seperti meletakkan daftar kata untuk istilah-istilah arab yang digunakan. Ia dapat memudahkan lagi pembaca yang mempunyai pengetahuan dalam Bahasa Arab yang agak kurang, memahami maksud yang cuba disampaikan.

Membaca buku ini membawa kita mengenali tokoh Islam yang unggul dan ada sesetengahnya kisah mereka kurang didendangkan. Mana tidaknya. Dalam keadaan masyarakat kita yang ralit menghafal, mengikuti dan membaca kisah hidup artis, pemain bola sepak dan selebriti, kisah tokoh-tokoh Islam dahulu seakan dikuburkan dalam kehidupan kita. Alangkah ruginya kita jika mengenepikan tokoh yang telah mengangkat Islam dan menyebarkan haruman kesyumulan Islam ke seantero dunia. Malah setiap kata-kata mereka sebenarnya sangat menusuk kalbu dan menjana motivasi dalaman yang luar biasa. Itulah usaha yang telah ditunjukkan oleh penulis buku ini, Ustaz Mohd Dzul Khairi bin Mohd Noor (gambar).

Melalui buku ini, saya sendiri sebenarnya seperti baru mengenali tokoh-tokoh agung yang dicoretkan kata-kata mereka, lantaran kesibukan atau "buat-buat sibuk" dengan segala urusan dunia yang menyesakkan. Antara tokoh-tokoh yang diketengahkan ialah:
Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Al-Abbas bin Ubadah bin Nadharah, Al-Miqdad bin 'Amru, Ummu Aiman, Saad bin Abi Waqqas, Saad bin al-Rabi', Abu Dujanah, Abdullah bin Rawahah, Abdullah bin Huzafah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Khalid al-Walid, Panglima al-Muthanna bin al-Harithah al-Syaibani, Asim bin 'Amru, al Zubair bin al-Awwam, Abu Mihjan al-Thaqafi, Ibrahim al-Harbi, Junaid al-Baghdadi, Umar bin Abdul Aziz, Tariq bin Ziyad, Gabenor Syarifuddin Barghisy, Nuruddin Mahmud al-Zanki, Ibnu Taimiyah, Hassab al-Banna, Sir Iqbal dan sebagainya.

Penulis yang menggali kisah di sebalik kata-kata tokoh ini berjaya meruntun hati saya dengan semangat jihad yang terpancar dalam diri tokoh-tokoh Islam. Beberapa kali perasaan hiba menyerang hati saya tatkala menyedari betapa kecilnya jiwa ini jika dibandingkan dengan mereka. Malah sebenarnya tidak boleh dan tidak layak langsung rasanya untuk saya membuat perbandingan tersebut. Semoga syurga Allah sahajalah yang layak buat membalas semangat juang, keperwiraan, karisma dan ketokohan mereka.

Kepada sahabat-sahabat yang tercari-cari buku motivasi yang sekaligus mendekatkan lagi diri kita dengan kisah silam tokoh Islam, maka buku ini amat sesuai untuk anda. Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Dzul di atas terbitnya karya sulung ini. Saya ternanti-nanti pula karya seterusnya daripada beliau. Dan rasanya masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah di atas "masjid" yang beliau baru sahaja beliau bina bersama isteri pada 29 November yang lalu. Semoga bahagia di dunia dan di akhirat.

12/24/2009 06:04:00 PM

Forum: Mencari Cinta Sempurna

Dihantar oleh thoyyibah

Alhamdulilah… sangat gembira dapat mengikuti forum anjuran ILUVISLAM.com di bawah program “Fun & Exciting Weekend with ILI Team” (FEWWIT) pada 19 Dis 2009, di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi. Forum yang bertajuk “Mencari Cinta Sempurna” digarap dengan begitu indah sekali. Pengajuran forum ini juga merupakan salah satu usaha ILUVISLAM event untuk memberi respon kepada pengunjung-pengunjung setia laman sesawang mereka tentang topik yang paling mendapat sambutan dalam laman sesawang tersebut yakni yang bersangkutan dengan “CINTA”.

Saya bertambah teruja apabila di hari tersebut, buat kali pertama saya dapat mendengar buah fikiran secara langsung daripada Ustaz Dzul Khairi Mohd Nor selepas setahun lebih mengenali beliau melalui tulisan-tulisan beliau di alam maya. Walaupun rancangan asalnya Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre yang sepatutnya menjadi antara ahli panel, namun atas sebab tertentu tempat beliau telah digantikan dengan Ustaz Dzul. Suatu replacement yang sangat berbaloi pada pendapat saya. Ustaz Dzul merupakan seorang ikon dalam dunia kepimpinan mahasiswa dan dunia dakwah yang amat saya kagumi. Kini beliau diberi amanah mengemudi sayap Pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) beberapa bulan yang lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada beliau kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Jadi, dalam forum tersebut, kisah beliau bertemu dengan permata hatinya menjadi antara isi ucapan beliau. Selama ini, saya mengenali Ustaz Dzul sebagai orang yang tegas dalam berkata-kata terutama dalam penulisan dan video-video ceramah dan ucapan beliau yang terdapat dalam Youtube. Tetapi pada hari tersebut saya berpeluang mendengar penyampai Ustaz Dzul yang sedikit berlainan daripada yang biasa. Kata-katanya sangat santai tetapi tetap terkesan dalam hati. Banyak juga jenaka yang diselitkan bagi menggamatkan keadaan. Semuanya itu membuatkan penyampaian Ustaz Dzul menjadi sangat versatile, sebagai pendakwah muda yang berjiwa besar.

Namun dua ahli penel lagi tetap tidak mengecewakan. Datin Zaleha yang telah bergiat dalam dunia motivasi selama 30 tahun melontarkan pandangan-pandangan tentang takrifan “Cinta Sempurna” dengan begitu berkesan. Dan seorang lagi ahli panel, Saudara Mohd. Fadzli Yusof yang juga merupakan seorang motivator berpengalaman, sebaik mungkin cuba menyelami hati penonton forum dan berkongsi banyak cerita menarik tentang kisah-kisah cinta. Buat moderator pula, nampaknya walaupun beliau baru pertama kali diamanahkan menjadi moderator, namun cara beliau mengendalikan forum sangat menarik. Dengan berlatarbelakangkan kelulusan dalam bidang seni bina daripada universiti luar negara, beliau sering sahaja membuat analogi yang memaksa para hadirin membuat “brain storming” sebelum persoalan-persoalan tersebut dijawab oleh ahli panel.

Dalam masa yang terasa begitu singkat, forum ini dapat meluaskan lagi pemikiran sempit saya tentang pemburuan cinta sempurna. Tahniah saya ucapkan kepada Team ILUVISLAM yang berjaya menganjurkan forum seperti ini yang sebenarnya sedikit sebanyak dapat membetulkan persepsi salah tentang cinta yang bersarang dalam minda para belia dan remaja hari ini. Semoga pada masa akan datang Team ILI akan membuka pula topik-topik lain untuk dijadikan bahan diskusi pula… I Love ISLAM!



Perasmian Akhbar ILUVISLAM

Antara muslimat yang menghadiri forum

Barisan ahli panel (dari kiri; Saudara Fadzli Yusuf, Ustaz Dzul Khairi, Datin Zaleha Omar) dan moderator

Jika anda berminat untuk mendengar buah fikiran yang dilontarkan oleh Ustaz Dzul Khairi dalam forum ini, anda boleh melawat link berikut:

Ustaz Dzul 1
Ustaz Dzul 2
Ustaz Dzul 3
Ustaz Dzul 4