Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

6/28/2010 12:02:00 AM

Piala Dunia: Menuntut Waspada

Dihantar oleh thoyyibah

Semua orang berkata tentang acara yang satu ini. Namun, perlu diingat bahawa janganlah kita terlalu leka dan berlebih-lebihan dengan sesuatu perkara hingga menjejaskan urusan seharian dan tanggungjawab kita kepadaNya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." Surah Al-Maa'idah: 87

Sangat jelas Allah tidak suka kepada hambaNya yang melampaui batas. Peringatan itu terus hadir dalam kalam Allah ini yang menunjukkan kita perlu bersederhana dalam setiap perkara. Bersukan itu tidak salah tapi yang bermasalah membelakangkan waktu solat kerana ingin bersukan. Maka ia menunjukkan kita telah melampaui batas dalam hal bersukan. Berkenaan dengan isu Piala Dunia ini, saya menemui artikel yang padat dengan info yang boleh sama-sama kita fikirkan. Mungkin ada yang beranggapan apa yang ditulis ini terlalu ekstrim kerana ada peminat bola yang menonton piala dunia hanya sekadar "suka-suka" (merujuk kepada diri sendiri). Namun perlu diingat, dari suka-sukalah timbul pula rasa leka dan lagha kerana timbul rasa seronok melihat kelincahan pemain "menggula-gulakan" bola yang satu di atas padang lantas kita cepat sahaja terlupa atau buat-buat lupa tentang urusan kita yang lainya. Jadi, cubalah kita mengambil pengajaran tentang apa yang patut dan tidak patut kita lakukan dalam keghairahan kita melihat mereka menendang bola. Semoga anda mendapat manfaat dari artikel Sihir Piala Dunia 2010 ini.



SIHIR PIALA DUNIA 2010

Siapa tidak tahu kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung sekarang? Dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas, baik lelaki mahupun wanita, tanpa mengira keturunan, pangkat, kaya atau papa, boss atau drebar, baik mereka yang tinggal di singgahsana kekuasaan yang serba mewah mahupun mereka yang tidur hanya beratapkan langit, baik mereka yang tinggal di negara maju mahupun mundur, malah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir kesemua penduduk bumi tahu akan kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini. Begitulah hebatnya Piala Dunia, ibarat sihir yang memukau seluruh manusia! Apa yang menyedihkan kita ialah terdapat begitu ramai dari kalangan umat Islam yang turut terkena sihir ini. Berapa ramai yang matanya terpaku di depan televisyen dan lidah mereka akan dibasahi dengan ‘zikir’ bola sepak setiap pagi, petang dan malam. Setiap Muslim pencinta bola tidak leka dan lalai dari mengetahui perkembangan perlawanan. Rasanya tidak afdhal jika tidak berbicara tentang bola di dalam setiap pertemuan dengan kawan-kawan.

Piala Dunia yang berlangsung 11 Jun - 11 Julai 2010 ini telah menjadi satu magnet besar yang yang dapat menarik perhatian sebahagian besar penghuni planet bumi. Tidak hanya itu, Piala Dunia ini telah berjaya mengubah ’pola hidup’ manusia di mana secara sedar atau tidak, mereka akan menyesuai atau‘melaraskan’ jadual hidup mereka dengan kejohanan tersebut. Paling tidak, dalam sebulan ini, ramai penduduk dunia akan mengubah pola menonton televisyen, termasuk mengubah pola tidur, pola perbelanjaan dan pola perbincangan. Malah ramai yang tidak berpuas hati jika hanya menonton di rumah. Mereka sanggup ke kedai atau ke mana-mana tempat yang ada skrin besar dan menontonnya beramai-ramai untuk ‘merasakan’ suasana dan aura perlawanan umpama berada di stadium.

Dari segi sejarah, bola sepak Piala dunia pertama kali dicetuskan pada 26 Mei 1928 di Amsterdam. Sebelumnya bola sepak hanya dipertandingkan di sukan olimpik. Piala Dunia pertama berlangsung di Uruguay pada 13-30 Julai 1930. Presiden FIFA pada waktu itu, Jules Rimet, berharap pertandingan antara negara ini dapat mencipta perdamaian dunia. Kejohanan pertama itu disertai oleh 13 buah negara yakni Amerika Syarikat, Perancis, Romania, Belgium, Yugoslavia, Argentina, Chile, Mexico, Brazil, Bolivia, Uruguay, Peru dan Paraguay yang kesemuanya adalah negara non-muslim. Tuan rumah Uruguay keluar sebagai juara setelah mengalahkan Argentina dengan 4-2 di perlawanan akhir yang melayakkan negara tersebut memperolehi trofi Jules Rimet Cup yang bertatahkan emas. Semasa Perang Dunia II, kejuaraan ini terhenti selama 12 tahun. Ia dimulai kembali pada tahun 1950 di Brazil. Pada tahun 1970 di Mexico, FIFA telah memutuskan untuk Brazil menyimpan piala Jules Rimet kerana berjaya menjadi negara pertama yang menjuarai kejohanan itu sebanyak 3 kali iaitu pada 1958, 1962 dan 1970. FIFA kemudian membuat trofi dunia yang baru dengan menggunakan emas 18 karat dengan ketinggian 36cm dan berat 4.97kg, yang menjadi rebutan hingga sekarang. Piala ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh negara pemenang. Untuk menghiburkan masyarakat dunia, replikanya telah dibuat dan diusung mengelilingi dunia setiap kali acara itu menjelang. Piala ini bak berhala yang didewakan oleh masyarakat dunia, khususnya pencinta bola sepak.

Sihir Bola Sepak

Piala Dunia ibarat sebuah sihir yang nyata. Gara-gara bola, ramai orang boleh lupa akan penderitaan diri sendiri, apatah lagi penderitaan orang lain. Setidak-tidaknya buat sementara waktu segala penderitaan seolah-olah tiada dan tidak pernah ada. Mereka tidak peduli lagi dengan isu-isu yang berlaku di luar bola. Kalau ada pun yang peduli, jumlahnya hanya sedikit sahaja. Sihir bola sepak merasuk jauh ke dalam diri manusia sehingga ke peringkat wujudnya manusia yang meng‘agama’kannya. Di beberapa negara Eropah, kaum Nasrani enggan datang ke gereja. Mereka lebih rela pergi ke stadium menonton pertandingan walaupun harus membayar mahal untuknya. Kita juga sering mendengar berapa ramai dari umat Islam yang ‘lebih redha’ menonton bola dan sanggup meninggalkan solat kerana tidak mahu terlepas perlawanannya. Para pemain bola sepak telah menjadi ‘Tuhan’ baru bagi sesetengah manusia. Ada penggila bola sampai ke tahap memuja bintang bola sepak mereka melebihi segala-galanya. Di Argentina sebagai contoh, pemuja Diego Maradona mendirikan Gereja Maradona Iglesia Maradoniana. Maradona telah dianggap sebagai ‘Tuhan’. Dan diberitakan bahawa pengikut ‘agama’ Maradona ini mencapai 15 ribu orang di seluruh dunia. Agama yang didirikan pada 30 Oktober 1998 –hari lahirnya Maradona- ini memiliki kitab suci mereka sendiri iaitu buku biografi Maradona dan ‘10 Perintah Tuhan’ ala mereka sendiri. Salah satu perintah tersebut adalah kewajipan untuk mencantumkan nama Diego kepada anak-anak mereka. Iglesia Maradoniana mempunyai tarikh keramat mereka sendiri yang dimulai dari tahun 1960 iaitu tarikh lahirnya bintang bolasepak dunia tersebut. Bagi mereka, tahun 2010 adalah sama dengan tanggal 50 AD (After Diego). Nombor 10 milik Maradona, dianggap bukan sekadar angka semata-mata, tetapi Diego 10’s, jika diolah akan menjadi D10S (dios) yang dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘Tuhan’.

Sihir bola memang luar biasa. Dahulu pemain Argentina Lionnel Messi disamakan dengan Jesus, kerana jasanyalah Barcelona telah mengalahkan Arsenal. Yang menyamakannya tidak lain adalah pelatih Argentina sendiri, Diego Maradona. Di kalangan umat Islam, sihir bola sepak telah berjaya memukau para pengusaha Arab yang berlumba-lumba membeli kelab bola sepak. Mereka rela menghamburkan wang mereka berbilion-bilion hanya untuk membeli sebuah kelab bola sepak. Syeikh Mansour membeli Manchester City dengan harga RM1 billion. Suliman al-Fahim membeli Portsmouth sebanyak RM353 juta. Dan dilaporkan bahawa Putera Faisal bin Fahd bin Abdullah dari Saudi berniat membeli Liverpool dengan nilai RM1.84 billion. Sungguh ironi keadaan ini, di saat umat Islam menderita di seluruh dunia, para Kapitalis ini sibuk menghamburkan harta kepada suatu yang sia-sia. Masyarakat Arab bertambah gila bola sejak masuknya Arab Saudi ke pusingan akhir Piala Dunia 1998. Stadium-stadium bola sepak di negara Arab selalu penuh dengan penonton dengan masing-masing mempunyai kelab kesukaan (favourite club) masing-masing. Sungguh mengaibkan kerana terdapat banyak peristiwa di mana pengulas perlawanan bola melaungkan takbir ‘Allahu Akbar’ ketika pemain membuat jaringan, walaupun penjaring gol itu adalah orang kafir!

Kapitalisme Di Sebalik Piala Dunia

Kali ini (2010), giliran Afrika Selatan pula untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bola sepak terbesar dunia ini. Sekali fikir, sungguh aneh bagaimana negara semiskin Afrika Selatan boleh terpilih untuk menjadi hos kepada temasya berprestij ini. Dari segi infrastruktur, sebenarnya Afrika Selatan masih belum siap. Negara itu termasuk negara penghutang yang besar, tapi kenapakah negara paling selatan itu berhasil menjadi penyelenggara kejohanan besar empat tahun sekali ini? Untuk menjayakan Piala Dunia yang pertama di benua Afrika ini, Afrika Selatan mesti menyediakan 10 buah stadium sedangkan yang sedia ada hanya lima buah, itupun tidak memenuhi syarat dengan pelbagai kekurangannya. Mahu tidak mahu, lima buah stadium baru terpaksa dibina dan yang sedia ada diperbaiki. Kos keseluruhannya mencecah berbillion dolar. Soccer City Stadium sahaja melebihi RM1.4 billion. Justeru, bagaimana hal ini boleh dijayakan jika tidak adanya campurtangan dari para Kapitalis? Semua tahu bahawa Afrika Selatan masih berada di bawah bayang-bayang Barat. Walaupun majoriti penduduk negara itu adalah berkulit hitam, namun yang menguasainya adalah kulit putih. Melalui tangan Kapitalis global berkulit putih inilah kesemua rancangan dapat disiapkan sebagaimana dirancang. Dalam waktu dua tahun, semua stadium berjaya disiapkan. Para pekerja kulit hitam dikerah bekerja siang dan malam sehingga terjadi mogok yang melibatkan lebih kurang 70,000 pekerja kerana tidak berpuas hati dengan jumlah gaji yang diterima berbanding jam kerja yang melampau.

FIFA selaku organisasi bola sepak dunia adalah dalang (mastermind) kepada semua perkara. Boleh dikatakan semua perkara yang melibatkan piala dunia ini tidak boleh dilakukan kecuali dengan izin FIFA. “FIFA adalah satu-satunya pihak yang yang meraih untung dari Piala Dunia”, keluh Grant Abramhamse, seorang pengusaha rantai kunci (keychain) yang ingin mengeluarkan rantai kunci khas Pila Dunia namun tidak dibenarkan FIFA untuk menjual produknya kerana dikatakan bertentangan dengan hakcipta. Sebuah headline media setempat menulis judul besar “Welcome to the Republic of FIFA” (Selamat datang ke Republik FIFA) sebagai bentuk perli yang menggambarkan kekecewaan warga Afrika yang merasakan badan bola sepak dunia itu telah memegang kendali (kuasa) atas segala yang berkaitan dengan Piala Dunia. FIFA mendapat hak memerintahkan pemberhentian segala produk yang berlambangkan Piala Dunia. Di samping mengurus pemasaran, kesemua sembilan buah kota di Afrika di mana berlangsungnya kejohanan, diwajibkan terikat dengan peraturan FIFA yang mengatur segala aktiviti termasuk di luar stadium. Dilaporkan bahawa badan bola sepak gergasi itu telah mengajukan 451 kes dakwaan pelanggaran pemasaran, mulai dari industri penerbangan hinggalah ke produk gula-gula. FIFA memberi alasan bahawa ini adalah usaha untuk melindungi penaja rasmi yang telah membenamkan modal mereka untuk mendapat hak eksklusif Piala Dunia.

Ketua Eksekutif Piala Dunia 2010, Danny Jordaan menjangkakan bahawa FIFA akan memperolehi keuntungan sebesar USD3.5 bilion dari Piala Dunia kali ini. Keuntungan juga akan dikaut oleh rakan niaga FIFA mulai dari syarikat penerbangan rasmi, hak penyiaran rasmi, hotel rasmi dan lain-lain penaja besar rasmi lagi. Pengeluar alatan sukan Adidas misalnya dijangka mengaut keuntungan USD1.7 bilion, demikian pula dengan Nike, Puma dan Umbro yang dikatakan bakal mengaut nilai yang hampir sama. Tidak sekadar itu, keuntungan juga bakal dikaut oleh syarikat pengeluar kondom. Ini kerana, pemerintah Afrika Selatan memerlukan sejuta kondom kerana sekitar 40 ribu pelacur dijangka akan ‘hadir’ sama bagi memeriahkan temasya. Ini belum lagi termasuk pengeluar minuman keras yang bakal meraih keuntungan yang mungkin jauh lebih besar. Apatah lagi ‘pengusaha’ judi yang bakal menjadi juara dalam meraih keuntungan yang paling besar, bukan sahaja di Afrika, malah di seluruh dunia. Pasar judi di Britain sahaja mengharapkan dapat meraih lebih 1 bilion pound sterling. Hatta di Malaysia pun, para Kapitalis judi, dan kerajaan judi Malaysia akan mendapat keuntungan besar dengan ‘usaha baik’ Kementerian Kewangan yang telah menghalalkan judi bola di sepanjang kejohanan Piala Dunia ini. Pendek kata, yang menjadi juara di dalam Piala Dunia sebenarnya adalah para Kapitalis!

Sukan Menurut Islam

Suatu hal yang kita dapat menduga akan berlaku di sepanjang berlangsungnya Piala Dunia ini adalah, bukan hanya akan terjadi perlawanan bola sepak semata-mata, malah yang jauh lebih besar dari itu, akan terjadinya kemaksiatan dan ‘kesyaitanan’. Judi, arak, pelacuran, perzinaan dan sebagainya akan menyelebungi bumi Afrika Selatan itu. HIV/AIDS mungkin akan meningkat berlipat kali ganda memandangkan fakta bahawa Afrika Selatan sememangnya tergolong dalam negara dengan pengidap HIV/AIDS terbesar di dunia. Dari sisi politik, kejohanan bola sepak Piala Dunia ini merupakan usaha sistematik puak kuffar untuk meningkatkan lagi fanatisme assabiyyah (kebangsaan) dan wathaniyyah (patriotisme). Penduduk sesebuah negara pastinya akan menyokong negara mereka dengan perasaan yang membuak-buak mengharapkan kemenangan negaranya dan mereka akan merasa sedih, malah ramai yang tidak akan segan silu menangis dan meratap jika negaranya kalah. Sesungguhnya tidak ada keuntungan yang diperolehi oleh umat Islam dari bola sepak, baik Piala Dunia atau piala lainnya, kecuali ‘kepuasan sementara’. Malah sebenarnya boleh terjadi kerugian darinya kerana ternyata banyak masa dan tenaga umat Islam dicurahkan untuk bola. Ramai di kalangan umat Islam yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk menyaksikan perlawanan bola, masa yang sama yang tidak sanggup digunakan untuk hadir di kelas-kelas agama. Ramai yang sanggup berjaga atau bangun malam untuk menghadap bola sepak, hal yang sama tidak sanggup dilakukan untuk bertahajud menghadap Allah.

Bola sepak merupakan suatu permainan atau ‘lahwun’. Lafaz lahwun terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Rasulullah SAW bersabda,

“Hendaklah kalian sentiasa berlatih memanah kerana ia merupakan sebaik-baik lahwun
” [HR Al-Bazzar & At-Thabrani].

Lahwun di sini membawa maksud permainan. Dalam Islam, sukan termasuk lahwun yang diperbolehkan selama mana tidak ada unsur haram di dalamnya. Kebolehan ini juga dibatasi selama mana tidak mengakibatkan tertinggalnya suatu kewajipan. Manakala jenis sukan yang dianjurkan oleh Islam adalah sukan yang tujuannya membina setiap Muslim untuk menjadi seorang mujahid (ahli jihad) misalnya berkuda, memanah, menembak, merejam lembing, renang, lari, seni mempertahankan diri dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW,

“Setiap permainan di dunia ini adalah batil kecuali tiga perkara: memanah, menjinakkan kuda dan bermain dengan isteri”
[HR al-Hakim].

Yang dimaksudkan dengan batil di sini ialah sia-sia atau yang seumpamanya, yang tidak berguna serta tidak menghasilkan buah yang dapat dipetik [lihat Al-Muwaafaqaat, Jilid l, m/s 84].

Dalam hal ini, Imam As-Syathibi menyatakan, “Hiburan, permainan dan bersantai adalah mubah (boleh) asal tidak terdapat suatu perkara yang terlarang.” Selanjutnya beliau juga menambahkan, “Namun demikian, perkara tersebut tercela dan tidak disukai oleh para ulama. Bahkan mereka tidak menyukai seorang lelaki yang dipandang tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupannya di dunia dan tempat kembalinya di akhirat kelak, kerana ia telah menghabiskan waktunya dengan berbagai macam kegiatan yang tidak mendatangkan suatu hasil duniawi atau ukhrawi.”

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Di sebalik Piala Dunia yang berlangsung sekarang, dengan melihat apa yang berlaku, kita sesungguhnya tidak dapat menolak bahawa terdapat kelicikan Barat di balik semua ini. Selain usaha menguasai dunia, mereka menginginkan agar masyarakat dunia, khususnya umat Islam terus lena dengan pelbagai pesta, pesta bola, pesta arak, pesta zina, pesta judi dan bermacam-macam lagi pesta kemaksiatan yang muncul seiring dengan kejohanan bola sepak. Setidak-tidaknya, ini adalah salah satu protokol yang tertulis di dalam Protokol Zionis walaupun ada pihak yang mempertikaikan kesahihannya. Tokoh Yahudi, Samuel Zwemer dalam Persidangan Misi Zionis di Jerusalem pada 1935, dalam ucapannya menegaskan, “Misi utama kita bukanlah menjadikan orang-orang Islam bertukar agama menjadi Kristian atau Yahudi, tetapi cukuplah dengan menjauhkan mereka dari Islam...Kita jadikan mereka sebagai generasi muda Islam yang jauh dari Islam, malas bekerja (untuk Islam), suka berfoya-foya, senang dengan segala kemaksiatan, memburu kenikmatan hidup dan orientasi hidupnya semata-mata untuk menuaskan hawa nafsunya...”.

Justeru, berhati-hatilah wahai kaum Muslimin agar kalian tidak terkena sihir bola sepak ini sehingga menjauhkan kalian dari Islam! Pertandingan bola sepak mahupun pertandingan apa sekalipun di peringkat dunia telah dijadikan medium oleh Barat untuk umat Islam mempertahankan semangat nasionalisme dan patriotisme (yang diharamkan Islam) yang sekaligus menghalang dan mempersulitkan lagi penyatuan di kalangan negara kaum Muslimin di bawah satu kesatuan pemerintahan. Bagi Barat, penyatuan umat Islam di bawah sistem pemerintahan yang satu, yakni Daulah Khilafah, adalah suatu mimpi ngeri yang mereka berusaha halangi selama ini dan mereka tidak akan membiarkan hal ini terjadi. Berwaspadalah dan berusahalah ke arah menegakkan semula Daulah Khilafah dan Insya Allah, dengan tertegaknya institusi agung politik umat Islam ini, kita akan dapat menjadikan mimpi ngeri Barat sebagai sebuah kenyataan!

6/03/2010 04:32:00 PM

Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Abu

Dihantar oleh thoyyibah

"Kamu nak keluar nanti jadi guru dengan gaji SPM??" kami dikejutkan dengan soalan oleh pensyarah IPG Kampus Bahasa Melayu. Mereka datang ke kampus kami untuk membuat Pra-Audit MQF (Malaysia Qualification's Framework). Soalan sinis yang dilontarkan ketika beliau membuat sesi interbiu berkumpulan sangat memberi tekanan kepada kami. Mana mungkin saya dan sahabat seangkatan sanggup memperoleh gaji setaraf SPM selepas 5 tahun setengah kami "disekolahkan" di IPG. Bukan tidak bersyukur dengan gaji dan status yang dinyatakan tadi, jauh sekali ingin merendah-rendahkan mereka yang bekerja dengan kelulusan tersebut. Tapi dalam situasi kami yang matlamat belajarnya ingin mendapat segulung ijazah perguruan, kami akan tertunduk malu jika ijazah tersebut tidak diiktiraf dan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga tidak seperti yang mereka harapkan. Seperti kata sahabat saya, Shafiq "Orang-orang kampung dah tahu nak jadi guru berijazah ni!"Bayangkan betapa kecewanya kami nanti...

Tambahan pula, IPG-KBA @ IPBA, dijadikan tempat untuk audit bagi kursus Kajian Sosial. Selain IPBA, IPG-Kampus Sultan Mizan (IPSM), Terangganu dan IPG-Kampus Pendidikan Islam (IPIS), Bangi turut menawarkan kursus Kajian Sosial. Jadi, sebagai wakil kepada kumpulan kursus ini, kami menjadi penentu sama ada sahabat-sahabat di kedua-dua kampus tersebut yang mengambil kursus yang sama mendapat pengiktirafan ijazah atau sebaliknya. Maksudnya, kami di IPBA, TIDAK BOLEH GAGAL dalam audit tersebut, kerana implikasinya terlalu besar. Inilah hakikat yang kami terpaksa telan bila menjadi anak sulung bakal guru-guru berijazah kepada IPG. Setiap sistem yang ada masih baru, dan kami perlu berdepan dengan pelbagai kekurangan dalam segala aspek.


Sesi Interbiu Berkumpulan

Pulang sahaja ke asrama, pada hari yang sama, saya mendapat mesej daripada salah seorang pensyarah saya. Sebahagian mesej tersebut berbunyi: "Berdasarkan jawapan student (dalam sesi interbiu), IPBA gagal MQA." Saya dapat agak perkara ini. Memang kami belum cukup bersedia dengan interbiu tersebut. Bila ditanyakan "Apakah topik pertama yang dipelajari dalam mata pelajaran Perkembangan Kanak-Kanak?" Mata saya terkebil-kebil. Sangat susah untuk mengingat kembali susunan tajuk dalam subjek yang telah pelajari 3 tahun lepas... Dan bila diajukan soalan "Apakah yang kamu pelajari dalam subjek PSS 3102?" Aduh... selama ini kami tidak pernah ambil peduli pun tentang kod mata pelajaran. Tak mungkin kami dapat menjawab soalan tersebut jika kami tidak tahu apakah subjeknya! Jadi, tidak hairanlah jika kami semua gagal dalam sesi interbiu tersebut.

Interviewer daripada IPG - Kampus Bahasa Melayu.


Sebagai mengatasi masalah ini, kami telah diberi buku panduan kursus yang sepatutnya diberi ketika kami foundation. Pensyarah penyelaras kami memberitahu ada pihak yang terlepas pandang terhadap pengagihan buku tersebut kepada kami supaya kami mengetahui kandungan keseluruhan program ini. Tak mengapalah. Mungkin jika kami telah ada buku panduan tersebut daripada awal pun belum tentu kami betul-betul serius untuk menghafal dan memahami isi kandungannya. InshaAllah, kami masih punya masa untuk menghadam segala isi kandungannya dalam masa sebulan ini sebelum audit MQF sebenar dijalankan. Semoga Allah memudahkan pemahaman kami...

Buku Panduan PISMP Kajian Sosial



Menagih Usaha Luar Biasa

Rentetan daripada pra-audit tersebut, setiap ahli kelas kami merasakan diri masing-masing bertanggungjawab untuk memberi. Memberi dalam erti kata menyumbangkan tenaga selama beberapa hari untuk membuat penambahbaikan dalam masalah yang sangat ketara, iaitu dokumentasi. Kecuali bagi mata pelajaran Elektif 2, iaitu subjek-subjek berkaitan Bahasa Inggeris yang telah kami siapkan pada setiap semester, semua subjek lain perlu kami dokumentasikan termasuk aktiviti kokurikulum dan projek luar. Mendokumentasi setiap perkara yang dipelajari selama 4 tahun bukan suatu tugas yang mudah. Apatah lagi selama ini kami tidak membuat filing secara sistematik dan banyak nota-nota yang telah menjadi makanan anai-anai. Maka, jika ramai antara kami yang sudah berputus asa, tak mungkin fail-fail tersebut dapat disiapkan. Rasa MALAS perlu dibuang jauh-jauh. Niat hendak bercuti semester lebih awal terpaksa dipadamkan. Kami perlu meletakkan usaha terhadap perkara yang kami pandang sambil lewa selama ini. Itulah orang kata, "bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian..." Mungkin kami sudah banyak bersenang lenang sebelum ini, jadi tibalah masa untuk kami susah untuk merealisasikan harapan mendapat ijazah. Tapi, betulkah kami banyak bersenang lenang? Saya tak begitu pasti...

Ironinya, tatkala Rejim Zionis menyerang flotilla yang membawa misi bantuan ke Qaza, saya bersama sahabat-sahabat berkampung di bilik MQF untuk bersengkang mata berhadapan dengan fail dan kertas dari hari Isnin hingga Khamis. Ketika tangan menadah memohon doa diselamatkan mereka yang berada dalam kapal dan dalam tawanan Israel, hati kecil kami merintih agar urusan filing MQF ini dapat disiapkan secepatnya. Dua situasi ini bukanlah suatu perbandingan. Hanya melukis suatu gambaran yang dihadapi dalam masa beberapa hari ini. Perbelanjaan untuk fotostat ditanggung sepenuhnya oleh kami. Jadi, di kala masing-masing sudah kekeringan sumber kewangan, duit untuk kerja fotostat terasa amat perit untuk dikeluarkan. Mujur sahaja ada insan pemurah mewakafkan buat sementara printernya untuk dijadikan mesin fotostat. Jadi banyak juga kos yang dapat dijimatkan. Alhamdulillah... Terima kasih kepada Muhammad Shafiq.


Suasana dalam Bilik MQF: Akhirnya guys menunjukkan usaha mereka untuk mencapai cita-cita... Bukan senang nak tengok suasana sibuk macam ni... :)


Printer yang menjadi mesin fotostat


Allah itu Maha Adil

Genggam Bara Api, Biar Sampai Jadi Abu... Kami tidak mahu ada kerja yang tertangguh lagi dan akhirnya akan memberi kesulitan semula kepada kami. Semuanya perlu disiapkan. Walaupun kepala dah agak sakit dan mata pula sering sahaja tidak dapat fokus, tapi kudrat yang ada akan tetap saya kerah. Saya yakin, sahabat-sahabat lain juga telah melakukan perkara yang sama. Jelas sekali, kami betul-betul bersungguh dalam hal akreditasi ini. Setiap ahli kelas telah menunjukkan usaha mereka. Jadi kini, kami bertawakkal kepada Allah untuk menentukan hasil daripada apa yang telah kami usahakan. Alllah Maha Adil untuk memberikan apa yang sepatutnya diperolehi oleh hamba-hambaNya. Dan semoga ibu bapa kami boleh tersenyum melihat apa yang telah kami usahakan dan kami capai sepanjang berada di bawah asuhan IPG dan seterusnya keluar sebagai guru berijazah yang dapat mencurahkan bakti kepada anak bangsa. Ameen~

6/02/2010 01:12:00 AM

Qunut Nazilah

Dihantar oleh thoyyibah

Qunut nazilah dalam solat lima waktu

KUALA LUMPUR. 1 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan seluruh ahli kepimpinan dan penyokong PAS serta meminta umat Islam di seluruh dunia agar membaca Qunut Nazilah dalam tiap-tiap solat lima waktu bermula hari ini.

Demikian dimaklumkan oleh setiausaha politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily, sebentar tadi.
Ini, katanya bagi memohon kepada Allah agar dibinasakan rejim zionis Israel serta diberikan kekuatan kepada kumpulan sukarelawan yang sedang ditahan dan berhadapan dengan rejim zionis itu di Gaza dan seluruh dunia.

Sumber: Harakahdaily

Bacaan Qunut Nazilah dan terjemahannya:

5/10/2010 11:33:00 AM

Realiti Derita

Dihantar oleh thoyyibah

Terkejut apabila melihat status Facebook sahabat saya, yang asrama kami mengalami gegaran kecil petang semlam. Terus dalam fikiran saya terlintas, "Mungkin ada kawasan lain yang mengalami gempa bumi yang kuat hingga dapat dirasai tempiasnya di sini..." Dengan segera saya mencari maklumat di internet untuk mengetahui andai ada gempa bumi yang kuat di mana-mana kawasan yang berdekatan. Dan........... sah! Ada gempa bumi di Acheh. Saya beristighfar panjang.............

Saya kira, dalam masa yang sama berlaku gegaran tersebut, saya sedang berada di The Mines bersama adik angkat saya. Saya sudah pasti berada dalam keadaan yang seronok dan bahagia. Rupa-rupanya, ketika saya bergelak ketawa, ada saudara-saudara saya yang menangis ketakutan di sana... Zalimkah saya?? Semoga Allah mengampunkan kekhilafan saya... dan semoga mereka beroleh kekuatan dalam menghadapi ujian Allah ini..... ameen~

Dalam pada itu, bila saya mengetahui gempa bumi tersebut berlaku di Acheh, serta merta saya teringatkan tragedi tsunami tahun 2004 yang meragut ratusan ribu nyawa di serata dunia terutama di Acheh. Sesungguhnya tangan-tangan manusia jua lah yang menjadi asbab turunnya peringatn dan amaran dari Allah seperti yang dirakamkan dalam Surah Al-Ruum, ayat 41, yang bermaksud, "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insan dan bertaubat)"

Di sini saya kongsikan sajak yang saya tulis pada tahun 2005 yang menceritakan tentang tsunami di Acheh. Semoga kita sentiasa beringat akan setiap ketetapan yang terjadi adalah datang dari kehendakNya. "KepadaMu kami berserah, kepadaMu jua kami memohon pertolongan...."





Realiti Derita

Suatu ketika,
Ikan gelisah berkata bisu petanda,
Bangau bertebaran rapat litupi awan sirna,
Tuntas tersentak gelora, menggeletak dunia,
Ditujah tsunami, menjemput nyawa siapa?

Bertempiaran segala terkesan kencang di dada,
Menggapai harap antitesis norma derita,
Dan hitam arus perlina manjanya,
Membaham hanyut turut telunjuk Yang Esa,

Di sisi lesu bersimpuh si ibu,
Mendakap anaknya, terbujur terkaku,
Bergenang air mata hibanya rasa,
Yang dimiliki semalam berkecai sekelip mata,

Sedarkah kita mengapa berlaku,
Dek rakusnya jiwa bertandang alpa,
Amaran Allah menerjah tiba-tiba,
Namun merana bukan hanya pada yang leka,
Insan zuhud turut dijemput dan diduga Pencipta,

Jelaslah janji Tuhan tak kenal siapa,
Yang pasti...
Kita yang bernyawa perlu mengambil iktibar darinya...

Nukilan: thoyyibah (2005)


(sila klik pada gambar)

5/06/2010 09:56:00 PM

Taare Zameen Par [Kanak-kanak Disleksia]

Dihantar oleh thoyyibah

Taare Zameen Par bermaksud "setiap kanak-kanak adalah istimewa". Ia menjadi tajuk sebuah filem yang diarah oleh Aamir Khan yang juga menjadi antara pelakon utama dalam filem ini. Untuk hari ini dan semalam, kami telah menggunakan masa subjek Bimbingan & Kaunseling untuk membuat analisa tentang filem ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Zuraidah (Pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan) yang memberi kami peluang tersebut. Ternyata, filem ini banyak memberi pengajaran yang bermanfaat kepada kami, bakal-bakal guru.

Cerita ini sebenarnya mengisahkan seorang kanak-kanak yang berusia 8 tahun yang mempunyai masalah disleksia. Disleksia bukanlah sejenis penyakit, tetapi merupakan salah satu bentuk gangguan pembelajaran yang lazimnya dihadapi oleh kanak-kanak lelaki. Antara ciri kanak-kanak yang menghadapi disleksia ialah:

  1. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
  2. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
  3. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'p' dan 'p' dianggap 'q'.
  4. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
  5. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.

Dalam filem ini, kanak-kanak yang bernama Ishaan telah menunjukkan ciri yang disebutkan di atas. Dan beliau juga turut menunjukkan sikap seperti, sering mengelamun, tidak mudah merasa sakit, cepat menangis, suka meniru perbuatan orang lain, manja, tidak dengar bila orang memanggilnya dan sebagainya. Ibu bapa Ishaan pula ditonjolkan sebagai ibu bapa yang kurang berpengetahuan terhadap masalah anaknya dan sering mengganggap Ishaan sengaja malas untuk belajar. Bagi mereka, mereka tidak dapat menerima apabila ada guru yang mengajar Ishaan ingin mengatakan bahawa Ishaan tidak normal seperti kanak-kanak lain. Guru-guru pula bersikap terlalu tegas terhadap Ishaan tanpa mereka tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak malang ini.

Disebabkan malu dan tertekan, dengan bantuan seorang rakan, bapa Ishaan telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan Ishaan daripada sekolah biasa dan dimasukkan ke sebuah sekolah berasrama penuh yang jauh daripada rumahnya. Ishaan memberontak. Si Ibu pula mengharapkan agar suaminya dapat menunggu sekurang-kurangnya hingga hujung tahun agar Ishaan dapat menghabiskan persekolahannya pada tahun tersebut. Namun, dorongan dari ego si ayah, yang konon-kononnya ingin memastikan anaknya mendapat didikan yang sempurna, telah menghantar juga Ishaan ke sekolah berasrama penuh di pertengahan penggal persekolahan. Maka bermulalah lembaran baru kehidupan Ishaan di sekolah tersebut.

Jangkaan ayah Ishaan yang anaknya akan menunjukkan peningkatan apabila disekolahkan di situ benar-benar meleset. Malah guru-guru di sekolah tersebut lebih bengis daripada guru sekolah Ishaan sebelum ini. Hal ini menyebabkan jiwa Ishaan tertekan. Minatnya dalam lukisan telah "dibunuh" oleh keadaan persekitarannya. Terlalu banyak konflik yang dihadapi oleh Ishaan semasa berada di sekolah ini, hinggalah pada suatu hari datang seorang guru ganti bagi mata pelajaran seni. Guru tersebut bernama Ram Shankar Nikumbh (yang dilakonkan oleh Aamir Khan). Sebagai seorang yang pernah mengalami disleksia sewaktu kecil, Nikumbh cepat mengesan masalah yang di hadapi oleh Ishaan tanpa ada sesiapa memberitahunya. Maka bermulalah misi Nikumbh untuk mengeluarkan potensi yang terpendam dalam diri Ishaan yang tidak diambil peduli oleh orang lain sebelum ini termasuklah ibu bapanya. Dalam plot ini, jelas memaparkan pengorbanan seorang guru yang perlu bekerja lebih masa bagi memberi perhatian yang khusus untuk murid seperti Ishaan, malah usahanya turut diperlekehkan oleh guru-guru lain. Dan di akhir cerita ini ditonjolkan bakat sebenar Ishaan dalam seni lukisan sehingga berjaya memenangi pertandingan melukis dan mewarna yang disertai oleh seluruh warga sekolah tersebut termasuk murid dan guru. Malah, hasil usaha dan tunjuk ajar Nikumbh, Ishaan sudah menunjukkan peningkatan yang baik dalam pelajarannya serta menguasai sepenuhnya asas membaca, menulis dan mengira.



Ulasan

Taare Zameen Par amat menyentuh jiwa saya terhadap keseluruhan jalan ceritanya. Tambahan pula ia menceritakan kisah seorang pendidik yang begitu kuat semangat untuk mengubah kehidupan seorang kanak-kanak di kala guru-guru lain telah menghukum kanak-kanak tersebut sebagai tidak normal dan berpenyakit. Watak Nikumbh digambarkan sebagai seorang guru yang bukan sahaja berjaya mengubah siapa Ishaan sebelum kehadirannya, malah beliau berjaya mengubah persepsi warga sekolah dan ibu bapa Ishaan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai bakat yang istimewa dalam diri mereka. Saya cadangkan agar setiap guru dan bakal guru malah para ibu bapa dan bakal ibu bapa menonton filem ini bagi mendapat gambaran jelas tentang apakah itu disleksia serta cara-cara untuk mengatasinya. Walaupun plotnya agak perlahan, namun ia akan tetap membuat penonton terpaku bagi melihat perkembangan watak Ishaan dalam cerita ini.

Tidak seperti filem-filem barat, filem ini hampir bersih daripada adegan-adegan yang tidak sopan dan memualkan. Jadi, siapa sahaja boleh menonton tanpa risau akan terlihat babak yang tidak sepatutnya. Sejujurnya, saya lihat filem ini berani menentang arus pada alaf 21 ini yang dibanjiri dengan karya filem tentang cinta yang terlalu bebas, thriller, mistik dan aksi. Semoga akan banyak lagi filem yang membuka mata hati masyarakat tentang golongan-golongan yang sering dipinggirkan dalam pendidikan arus perdana.



Selepas menonton filem ini juga, saya mula tertanya-tanya, adakah saya mampu melakukan perkara seumpama yang dilakukan oleh Nikumbh kepada Ishaan? Adakah saya tergolong dalam golongan guru yang cukup peka atas setiap masalah murid dalam kelas saya, atau saya akan bersikap sama seperti guru-guru Ishaan yang terlalu cepat memberi hukuman kepada murid? Hal ini membuatkan saya sentiasa sedar tentang tanggungjawab berat yang perlu saya pikul sebagai seorang pendidik. Jika saya mengabaikan seorang murid dalam keadaan sengaja atau tidak disengajakan, terutama murid sekolah rendah, ia akan memberi impak negatif apabila dia semakin meningkat usia.

Oleh itu, ketika saya berikrar untuk melaksanakan tugas sebagai pendidik, maka saya perlu bersedia untuk berhadapan dengan lebih ramai Ishaan di luar sana, malah mungkin ada yang mempunyai masalah lebih teruk dari Ishaan. Jadi saya sematkan di hati agar sentiasa sabar dan istiqamah dalam memegang amanah sebagai pendidik. Semoga saya tidak menjadi manusia yang menggelapkan masa depan anak murid saya. Sebaliknya saya akan cuba melorongkan jalan kepada insan bergelar murid agar meneroka setiap keistimewaan yang ada dalam diri mereka. InshaAllah...

Ketika tayangan video Taare Zameen Par dijalankan dalam kelas Bimbingan & Kaunseling

5/03/2010 04:18:00 PM

Mengasah Pedang!

Dihantar oleh thoyyibah

Bila saya menggunakan terma pedang, ia amat sinonim dengan peralatan pahlawan. Soalnya, mengapa saya gunakan perkataan tersebut? Adakah saya ingin pergi ke Palestin, atau ke Iraq atau ke Selatan Thailand? Dengan kudrat yang saya ada, mungkin saya akan digelakkan oleh ramai orang jika ingin bertindak sedemikian. Kita perlu mengukur baju di badan sendiri dan melihat kapasiti kemampuan yang kita ada. Makanya di sini saya mengambil 'pedang' sebagai perlambangan kuasa yang ada pada pena seorang penulis. Tak kiralah pena tersebut dalam bentuk maya atau yang maujud. Tetapi itulah 'senjata' yang ada bagi seorang penulis. Penulis mampu mencantas pemikiran konservatif dengan kuasa tulisan penanya dan berupaya membina batu bata ketamadunan ketika negara tersebut di ambang kejatuhan. Dalam masa yang sama, perlu diingat, penulis juga mampu membunuh ketamadunan manusia dengan hanya menggunakan pena yang sama!


Kem Penulis Muda

Jadi dengan kesedaran itu, muncullah Kem Penulis Muda anjuran IluvIslam.com bersama Oasis Buku dengan kerjasama Karangkraf. Program ini selamat dilaksanakan pada hari Ahad, 2 Mei 2010 bertempat di Akademi Karangkraf di Shah Alam. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan peluang yang dibukakan olehNya, saya juga dapat turut serta dalam program ini walaupun perlu keluar dari kolej seawal 6.30 pagi. Dalam keheningan pagi, saya berjalan seorang diri dan memohon perlindungan Allah agar dipermudahkan saya untuk sampai ke tempat kem dengan selamat. Alhamdulillah, saya tiba dengan selamat di akademi tersebut tepat jam 8.00 pagi.

Maka bermulalah misi saya untuk 'mengasah pedang'. Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang punya minat dan latar belakang yang jelas untuk dikaitkan dengan bidang penulisan. Seperti ramai penulis di luar sana, medan blog inilah banyak melatih saya untuk memerah otak bagi menyusun idea seterusnya menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Mungkin sikap saya yang suka memerhati keadaan sekeliling buat saya banyak berfikir tentang perkara-perkara yang dilihat. Jadi, rasa sangat rugi jika saya bersikap tamak dan hanya menyimpan segala pengalaman tersebut sendirian. Bukankah bila kita memberitahu sesuatu kepada orang lain, maka ilmu dan pengalaman tersebut akan makin kuat tersimpan dalam memori kita? Jadi, itulah yang saya harapkan. Mungkin penulisan juga boleh jadi penawar kepada penyakit pelupa.


Slot Penulisan Berita

Berbalik tentang kem penulis muda ini, IluvIslam.com telah menampilkan panelis-panelis yang mantap dan tidak boleh dipertikai pengalaman mereka. Bagi slot pertama, En. Nordin yang merupakan Ketua Pengarang Akhbar Sinar Harian telah menyampaikan slot tentang penulisan berita. Ringkas dan padat. Itu mungkin gambaran tepat yang boleh diberikan kepada penyampaian En. Nordin. Selain menceritakan tentang berita dan apakah yang perlu diambil kira oleh penulis untuk menulis sesuatu berita, beliau secara tidak langsung membuat saya terasa ingin terjun dalam bidang kewartawanan. Bukan kerana income yang bakal diperolehi, tetapi melihat kepada hebatnya seseorang yang bergelar wartawan dan segala bebanan kerja yang mereka pikul buat saya rasa cemburu dengan bakti yang mereka taburkan.

Abaikan tentang wartawan yang hanya cari makan dengan menulis sesuatu yang bohong atau menokok tambah dari situasi yang berlaku. Masih ramai sebenarnya wartawan kita yang telus dalam menyampaikan sesuatu berita. En. Nordin berpegang bahawa setiap apa yang ditulis akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita di akhirat kelak. Jika kita menulis kepada kebaikan dan membawa maslahah kepada masyarakat, maka nikmat Allah itu adalah pasti. Tetapi, andai seorang penulis atau wartawan hanya menulis untuk mengaut keuntungan dengan mencampuradukkan antara yang benar dan yang palsu, nah... tunggulah penyesalan yang tidak berpenghujung di sana.

Dengan pendirian En. Nordin yang sangat jelas, saya berasa amat kagum dengan beliau. Dan apabila beliau menyampaikan baris perkataan ini; "Jangan meninggalkan Tuhan dalam tikar sejadahmu... Bawalah Allah dalam setiap apa yang kita kerjakan" saya seperti tersentak. Pedas sungguh kata-kata ini. Saya bermuhasabah diri.

En. Nordin menutup slotnya dengan beberapa potong ayat AlQuran daripada Surah Al-Hujurat. Sungguh.... ia amat menginsafkan saya tentang tanggungjawab yang terpikul di bahu seluruh manusia umumnya dan setiap penulis khasnya. Semoga anda dapat melihat perkaitan ayat-ayat tersebut dengan dunia penulisan dan menyebaran berita ini.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesunggunhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." ayat 1.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." ayat 6.

"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi ornag-orang yang berlaku adil." ayat 9.

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." ayat 10.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." sebahagian ayat 12.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semualia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." ayat 13.


Slot Penulisan Rencana

Seperti ada yang kurang dalam slot ini. Mungkin Cik Darina yang menjadi panelis, kelihatan agak keletihan dan beliau sendiri sebenarnya belum pulih daripada batuk dan selesema. Jadi, beliau sedaya upaya memberi input yang terbaik buat semua peserta. Dengan memberi ruang yang amat luas kepada setiap peserta kem untuk melontarkan idea kepada setiap provokasi soalan yang beliau ajukan, slot kelihatan amat 'hidup' dengan interaksi dua hala antara beliau dan peserta. Beliau tetap tidak mengecewakan dengan segala input yang bermakna dalam slotnya dan membuka minda peserta tentang apakah sebenarnya yang dikatakan dengan rencana. Moga-moga saya juga berupaya menghasilkan sebuah rencana kelak.


Slot Penulisan Novel

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang kaki novel. Malah jika diberikan kepada saya sebuah novel yang mampu dibaca oleh orang lain dalam masa seminggu, mungkin saya mengambil masa sebulan, dua bulan atau lebih untuk menghabiskan pembacaan saya, bergantung kepada fokus saya terhadap jalan cerita novel tersebut. Jadi saya tidak begitu teruja untuk mengikuti slot ini. Namun... Puan Sri Diah atau nama sebenarnya Radhiah bt. Shaharuddin telah mencabar diri dan minda saya untuk menjadikan novel sebagai antara bahan bacaan saya. Beliau sangat bijak mencuri hati saya dan peserta lain agar melihat novel sebagai suatu yang sangat positif. Sudah tentu beliau turut berkongsikan beberapa pengalaman tentang royalti yang diterima oleh sesetengah penulis hanya dengan satu novel. MashaAllah! Sangat mengejutkan!

Dalam slot yang sama, beliau tanpa lokek, telah melakarkan peta minda bagi memberi gambaran kepada peserta bagaimana ingin memulakan sesuatu penulisan novel. Seperti yang disangka, memang tidak mudah dan memerlukan istiqamah yang tinggi bagi menyiapkan satu-satu cerita. Tempoh paling cepat untuk beliau menghasilkan novel adalah dalam lingkungan 4-6 bulan. Itupun kerana segala bahan dan rujukannya telah dikumpulkan dan berada di depan mata. Jika pengumpulan maklumat tentang cerita tersebut membabitkan penjelajahan negara lain atau perlu diselidiki lagi tentang maklumat serta data yang diterima, proses pengumpulan data sahaja akan memakan masa setahun atau lebih. Dan menulis selama setahun lagi. Fuhhh...mungkin saya tak sanggup bersengkang mata sebegitu sekali. Menulis blog ini saja sudah buat saya rasa berat. Maka, setiap penulis yang dapat menyiapkan novel yang baik, memang terbukti mereka tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar dan tekun dalam menyudahkan penulisan mereka.

Bila pula saya akan mula menulis novel? Hmm... masih cuba mencungkil bakat diri. Tak pasti sama ada saya mampu atau tidak untuk menghasilkan novel yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat. Masih cuba memikirkannya. Pendek kata, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Mungkin saya perlu memulakannya dengan cuba meminati bahan bacaan ini. Mana mungkin seorang penulis novel bukan seorang kaki buku. Dan bila saya lihat rak buku saya, masih banyak lagi buku yang belum saya habiskan. DISPLIN... Itu yang saya perlu lakukan. Disiplinkan diri untuk mengkhatamkan segala buku yang telah saya beli dan 'terbeli'. Selepas itu, barulah saya boleh mengorak langkah untuk membaca novel pula. Doakan saya... (^_^)


Apa akan jadi pada 'pedang'?

Kem ini hebat. Penganjurnya hebat. Presidennya hebat. Pengarah projeknya hebat. Malah makanannya pun hebat-hebat. :) Jadi, bagaimana pula hala tuju pesertanya dan saya khususnya? Adakah akan turut menjadi hebat atau hanya kembali hanyut semangatnya dibawa arus semasa dan tekanan kerja seharian? Adakah 'pedang' yang diasah seharian di kem ini akan kembali tumpul dan berkarat dek kerana tidak digunakan? Saya cuba memprovok diri dengan persoalan sebegini. Moga saya tidak hanya berangan-angan seperti mat jenin. Jika tidak menghasilkan buku pun, saya akan cuba mengoptimumkan penggunaan blog ini untuk menjadi wadah saya berkongsi sesuatu dengan masyarakat. Moga saya tidak cepat lupa tujuan asal saya untuk menulis.



Di akhir kem ini Saudara Imran selaku Presiden IluvIslam telah mengingatkan semua peserta agar menjalankan misi masing-masing untuk menjadi seorang penulis yang memberi manfaat kepada ummah. Saya ucapkan tahniah kepada beliau dan seluruh krew IluvIslam yang berusaha menganjurkan program yang sangat memberi kesan kepada saya juga peserta lain. Tidak ketinggalan tahniah kepada Ustaz Rashidi selaku pengarah program kerana bertungkus lumus memastikan segala perancangan aktiviti berjalan dengan baik dan teratur. Semoga akan ada lagi kem penulis muda ke-2 bagi memberi kesinambungan kepada kem yang pertama ini. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua! Hanya Allah sajalah yang akan memberi ganjaran kepada usaha gigih kalian. Sekian, wassalam...


Dato' Husamuddin, Saudara Imran dan Ustaz Rashidi ketika perasmian Kem Penulis Muda


En. Nordin menunjukkan beberapa contoh penulisan berita


Antara peserta yang hadir


Cik Darina menyampaikan input tentang penulisan rencana


Lawatan ke kilang Karangkraf


Helaian buku yang belum dibindingkan



Tempat menghasilkan surat khabar yang beroperasi pada waktu malam


Puan Sri Diah menunjukkan cara memulakan sesuatu penulisan novel


Ustaz Rashidi, Pengarah Program

Saudara Imran Koyube menyampaikan ucapan penutupnya


Sebahagian peserta Kem Penulis Muda (sumber: ILUVISLAM.com)


Artikel tentang program di akhbar Sinar Harian (sumber: ILUVISLAM.com)