Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

4/16/2010 09:19:00 PM

Beringatlah Sebelum Menulis...

Dihantar oleh thoyyibah

Setelah agak lama berehat daripada mengeluarkan buah fikiran, malam ini dengan kelapangan masa yang Allah beri, ingin saya coretkan sesuatu. Moga ada manfaat buat ingatan saya dan sahabat-sahabat sekalian.

Melihat kepada tajuk yang saya nyatakan di atas, saya lebih menjuruskan entri ini khas untuk artikel yang "ditulis" di laman-laman sesawang. Saya fokuskan kepada blog kerana inilah medium paling mudah dan murah untuk para penulis meluahkan apa yang terpendam di hati, terlintas di fikiran dan ditafsir pula dengan kata-kata yang pelbagai. Bukanlah niat di hati ingin mengajar, jauh sekali untuk menilai tahap penulisan yang dicetuskan oleh ramai blogger masa kini. Siapalah saya untuk membuat penilaian tersebut. Saya sekadar meluahkan sesuatu yang bersarang dalam fikiran sekian lama.


Medan blog memberi peluang yang cukup luas untuk generasi kini berkongsikan segala idea dan pengalaman yang dirasai oleh seseorang. Luasnya peluang itu hingga ia mewujudkan kebebasan yang tiada batas. Saya tidak mahu memanjangkan entri ini dengan mengulas beberapa kes yang terjadi disebabkan eksploitasi yang dilakukan oleh sesetengah blogger terhadap kebebasan "menulis" dalam blog hingga mencemarkan agama dan negara serta mencetuskan permusuhan. Apa yang perlu diperhalusi lagi, berapa ramai dalam kalangan kita yang menjadikan blog untuk menghentam orang lain? menfitnah? menyebarkan khabar angin tak berasas? membuat tuduhan-tuduhan yang belum pasti kesahihannya? Ya... memang betul ada yang mengatakan itu blog mereka, dan mereka boleh menulis ikut kehendak hati masing-masing.


Tapi ingatkah kita bahawa setiap tulisan entri yang kita "terbitkan" dalam blog, akan dibaca oleh ramai orang? Andai kata kita menulis sesuatu yang berbentuk tomahan walaupun ketika itu belum betul-betul dapat dipastikan sejauh mana benarnya "fakta" yang kita tulis, dan sehingga suatu masa terbukti apa yang kita tulis itu salah sama sekali dan membawa fitnah kepada diri orang lain, maka akhirnya kita menerima saham dosa yang tidak putus-putus hinggalah entri itu dipadamkan. Soalnya sekarang, berapa ramai blogger yang masih ingat untuk memadamkan entri yang membawa kepada musibah tersebut? Dan lebih teruk lagi andai kata si blogger telah pergi menyahut seruan Ilahi, apa pula akan jadi pada entri-entri berunsur fitnah, tomahan, makian dan cacian tadi? Sempatkah dia mewasiatkan kepada waris atau sahabatnya untuk menutup blognya atau memadamkan entri-entri tersebut?


Maka dengan itu, haruslah kita sentiasa beringat bahawa bukan kita atau orang tertentu sahaja yang mengunjungi blog kita. Jadi, cubalah sedaya upaya untuk menulis sesuatu yang dirasakan boleh memberi manfaat kepada kita dan kepada pembaca, agar ia boleh menjadi medium perkongsian ilmu dan bekalan amal jariah kita yang berterusan, insyaAllah... Bukan hanya sekadar menjadikan blog sebagai tempat melepaskan perasaan marah dan tidak puas hati hingga akhirnya kita yang terkena semula tempias negatifnya. Di sini saya lebih suka menyatakan lebih baik seseorang itu mengambil artikel/entri orang lain yang dirasakan bermanfaat untuk diletakkan pula di blognya sebagai perkongsian pula di blognya berbanding dia menulis secara semberono dengan penulisan berbentuk seperti yang saya nyatakan tadi. Mungkin ada yang tidak suka dengan cara ini kerana ia dianggap melanggar hak cipta dan mempunyai nilai intelek yang rendah kerana sekadar copy paste dari orang lain. Tetapi pada saya, mengapa perlu ditegah copy paste itu jika tuan empunya artikel itu tadi akan mendapat pahala hasil dari maklumat dan ilmu yang disebar-sebarkan tadi? Dan untuk menghargai penulis asal tersebut, boleh sahaja diletakkan alamat URLnya, menyampaikan ucapan terima kasih dan sebagainya. Jangan juga dilupa kepada Pemilik asal kepada idea-idea yang timbul itu. Dipulangkan semula "hak cipta" sebenar, iaitu kepada Allah. Jadi, salahkah menyebarkan ilmu Allah? Tentu sekali tidak.


Cubalah untuk bersederhana untuk menyampaikan sesuatu perkara. Tidak kira dalam isu politik, pendidikan, sukan, pengalaman dan sebagainya. Manusia memang tidak boleh lari dari melakukan dosa. Namun jika kita punya pilihan untuk tidak melakukan dosa, mengapa kita terus menerus lari dari pilihan tersebut. Jika kita memang punya pilihan untuk menghasilkan entri yang bermanfaat, mengapa kita memilih untuk menulis entri yang hanya menghentam orang lain? Saya faham bahawa konteks "bermanfaat" itu juga berbeza mengikut kaca mata setiap individu. Ada setengah orang beranggapan gosip artis itu suatu yang bermanfaat kepada dirinya. Ada juga orang yang sangat berminat dengan provokasi politik yang sentiasa mencari celah-celah kelemahan sesama sendiri. Namun, cukup hanya saya mengelaskan "bermanfaat" di sini sebagai perkara yang lebih menyuluh kepada jalan ilmu. Ilmu yang membuka minda dan menyegarkan akal budi.


Firman Allah dalam Surar At-Thuur, ayat 21, bermaksud: "..dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya" dan dalam Surah Muddathir, ayat 37-38: " Bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam menerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada menegrjakannya). Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya" dan Allah menyambung dalam surah yang sama di ayat 45 bagi menggambarkan kekesalan perbuatan orang-orang yang sering sahaja menyokong perkara yang tidak tentu kesahihannya dan yang dusta. Maksud ayat tersebut: "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya"


Jadi sangat jelas bahawa kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap tulisan kita. Jangan sampai ia menjadi fitnah dan membawa malu kepada orang lain, melainkan fakta tersebut telah sahih sumbernya. Itupun perlulah disampaikan dengan ayat yang teratur dengan tujuan memberi maklum kepada yang tidak mengetahui dan bukan untuk menghina dan sebagainya. Semoga kita dijauhkan daripada melakukan kesalahan dan dosa yang disengajakan atau yang tidak disengajakan... ameen~ "PadaMu kami berserah, dan padaMu kami memohon pertolongan..."