Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

Judul karyanya ialah "50 KATA-KATA TOKOH BERPENGARUH & CERITA DI SEBALIKNYA". Setelah beberapa bulan saya mengintai-ngintai peluang untuk membeli buah tangan Ustaz Dzul ini, akhirnya dapat juga saya miliki karya ini. Ketika saya pergi ke Bangi untuk menghadiri forum Mencari Cinta Sempurna di INSPEN, tanpa saya sangka yang menggantikan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre adalah Ustaz Dzul. Maka apabila selesai forum, saya cuba mencari buku ini di luar dewan seperti mana yang diberitahu oleh pengerusi majlis. Alhamdulillah...kini saya telah habis membacanya.

Secara ringkas saya boleh katakan buku ini yang kelihatan agak nipis, tetapi mempunyai isi yang amat padat. Malah terasa sangat rugi jika kita membaca dengan melangkah-langkathperkataan atau perenggan kerana pada saya setiap perkataan itu, adalah isi kepada buku ini. Sesuai dengan tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk pembaca mendapat maklumat yang mudah tentang sejarah Islam dan kehebatan tokoh-tokoh Islam, maka bahasa yang digunakan juga mudah difahami. Pembaca tidak dibebani dengan tarikh-tarikh dan penjelasan yang panjang lebar seperti layaknya sebuah buku sejarah. Tetapi cukup dengan 3, 4 baris ayat, Ustaz Dzul telah memberi pengenalan yang agak jelas kepada setiap tokoh yang ditulisnya. Jadi sekiranya para pembaca menginginkan maklumat lanjut berkenaan tokoh tersebut, maka saya sarankan untuk diri saya dan anda juga membuat bacaan lanjutan.

Cuma mungkin beberapa penambahbaikan boleh dibuat seperti meletakkan daftar kata untuk istilah-istilah arab yang digunakan. Ia dapat memudahkan lagi pembaca yang mempunyai pengetahuan dalam Bahasa Arab yang agak kurang, memahami maksud yang cuba disampaikan.

Membaca buku ini membawa kita mengenali tokoh Islam yang unggul dan ada sesetengahnya kisah mereka kurang didendangkan. Mana tidaknya. Dalam keadaan masyarakat kita yang ralit menghafal, mengikuti dan membaca kisah hidup artis, pemain bola sepak dan selebriti, kisah tokoh-tokoh Islam dahulu seakan dikuburkan dalam kehidupan kita. Alangkah ruginya kita jika mengenepikan tokoh yang telah mengangkat Islam dan menyebarkan haruman kesyumulan Islam ke seantero dunia. Malah setiap kata-kata mereka sebenarnya sangat menusuk kalbu dan menjana motivasi dalaman yang luar biasa. Itulah usaha yang telah ditunjukkan oleh penulis buku ini, Ustaz Mohd Dzul Khairi bin Mohd Noor (gambar).

Melalui buku ini, saya sendiri sebenarnya seperti baru mengenali tokoh-tokoh agung yang dicoretkan kata-kata mereka, lantaran kesibukan atau "buat-buat sibuk" dengan segala urusan dunia yang menyesakkan. Antara tokoh-tokoh yang diketengahkan ialah:
Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Al-Abbas bin Ubadah bin Nadharah, Al-Miqdad bin 'Amru, Ummu Aiman, Saad bin Abi Waqqas, Saad bin al-Rabi', Abu Dujanah, Abdullah bin Rawahah, Abdullah bin Huzafah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Khalid al-Walid, Panglima al-Muthanna bin al-Harithah al-Syaibani, Asim bin 'Amru, al Zubair bin al-Awwam, Abu Mihjan al-Thaqafi, Ibrahim al-Harbi, Junaid al-Baghdadi, Umar bin Abdul Aziz, Tariq bin Ziyad, Gabenor Syarifuddin Barghisy, Nuruddin Mahmud al-Zanki, Ibnu Taimiyah, Hassab al-Banna, Sir Iqbal dan sebagainya.

Penulis yang menggali kisah di sebalik kata-kata tokoh ini berjaya meruntun hati saya dengan semangat jihad yang terpancar dalam diri tokoh-tokoh Islam. Beberapa kali perasaan hiba menyerang hati saya tatkala menyedari betapa kecilnya jiwa ini jika dibandingkan dengan mereka. Malah sebenarnya tidak boleh dan tidak layak langsung rasanya untuk saya membuat perbandingan tersebut. Semoga syurga Allah sahajalah yang layak buat membalas semangat juang, keperwiraan, karisma dan ketokohan mereka.

Kepada sahabat-sahabat yang tercari-cari buku motivasi yang sekaligus mendekatkan lagi diri kita dengan kisah silam tokoh Islam, maka buku ini amat sesuai untuk anda. Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Dzul di atas terbitnya karya sulung ini. Saya ternanti-nanti pula karya seterusnya daripada beliau. Dan rasanya masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah di atas "masjid" yang beliau baru sahaja beliau bina bersama isteri pada 29 November yang lalu. Semoga bahagia di dunia dan di akhirat.

12/24/2009 06:04:00 PM

Forum: Mencari Cinta Sempurna

Dihantar oleh thoyyibah

Alhamdulilah… sangat gembira dapat mengikuti forum anjuran ILUVISLAM.com di bawah program “Fun & Exciting Weekend with ILI Team” (FEWWIT) pada 19 Dis 2009, di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi. Forum yang bertajuk “Mencari Cinta Sempurna” digarap dengan begitu indah sekali. Pengajuran forum ini juga merupakan salah satu usaha ILUVISLAM event untuk memberi respon kepada pengunjung-pengunjung setia laman sesawang mereka tentang topik yang paling mendapat sambutan dalam laman sesawang tersebut yakni yang bersangkutan dengan “CINTA”.

Saya bertambah teruja apabila di hari tersebut, buat kali pertama saya dapat mendengar buah fikiran secara langsung daripada Ustaz Dzul Khairi Mohd Nor selepas setahun lebih mengenali beliau melalui tulisan-tulisan beliau di alam maya. Walaupun rancangan asalnya Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre yang sepatutnya menjadi antara ahli panel, namun atas sebab tertentu tempat beliau telah digantikan dengan Ustaz Dzul. Suatu replacement yang sangat berbaloi pada pendapat saya. Ustaz Dzul merupakan seorang ikon dalam dunia kepimpinan mahasiswa dan dunia dakwah yang amat saya kagumi. Kini beliau diberi amanah mengemudi sayap Pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) beberapa bulan yang lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada beliau kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Jadi, dalam forum tersebut, kisah beliau bertemu dengan permata hatinya menjadi antara isi ucapan beliau. Selama ini, saya mengenali Ustaz Dzul sebagai orang yang tegas dalam berkata-kata terutama dalam penulisan dan video-video ceramah dan ucapan beliau yang terdapat dalam Youtube. Tetapi pada hari tersebut saya berpeluang mendengar penyampai Ustaz Dzul yang sedikit berlainan daripada yang biasa. Kata-katanya sangat santai tetapi tetap terkesan dalam hati. Banyak juga jenaka yang diselitkan bagi menggamatkan keadaan. Semuanya itu membuatkan penyampaian Ustaz Dzul menjadi sangat versatile, sebagai pendakwah muda yang berjiwa besar.

Namun dua ahli penel lagi tetap tidak mengecewakan. Datin Zaleha yang telah bergiat dalam dunia motivasi selama 30 tahun melontarkan pandangan-pandangan tentang takrifan “Cinta Sempurna” dengan begitu berkesan. Dan seorang lagi ahli panel, Saudara Mohd. Fadzli Yusof yang juga merupakan seorang motivator berpengalaman, sebaik mungkin cuba menyelami hati penonton forum dan berkongsi banyak cerita menarik tentang kisah-kisah cinta. Buat moderator pula, nampaknya walaupun beliau baru pertama kali diamanahkan menjadi moderator, namun cara beliau mengendalikan forum sangat menarik. Dengan berlatarbelakangkan kelulusan dalam bidang seni bina daripada universiti luar negara, beliau sering sahaja membuat analogi yang memaksa para hadirin membuat “brain storming” sebelum persoalan-persoalan tersebut dijawab oleh ahli panel.

Dalam masa yang terasa begitu singkat, forum ini dapat meluaskan lagi pemikiran sempit saya tentang pemburuan cinta sempurna. Tahniah saya ucapkan kepada Team ILUVISLAM yang berjaya menganjurkan forum seperti ini yang sebenarnya sedikit sebanyak dapat membetulkan persepsi salah tentang cinta yang bersarang dalam minda para belia dan remaja hari ini. Semoga pada masa akan datang Team ILI akan membuka pula topik-topik lain untuk dijadikan bahan diskusi pula… I Love ISLAM!



Perasmian Akhbar ILUVISLAM

Antara muslimat yang menghadiri forum

Barisan ahli panel (dari kiri; Saudara Fadzli Yusuf, Ustaz Dzul Khairi, Datin Zaleha Omar) dan moderator

Jika anda berminat untuk mendengar buah fikiran yang dilontarkan oleh Ustaz Dzul Khairi dalam forum ini, anda boleh melawat link berikut:

Ustaz Dzul 1
Ustaz Dzul 2
Ustaz Dzul 3
Ustaz Dzul 4

11/28/2009 01:58:00 PM

Jangan politikkan masa depan pendidikan negara

Dihantar oleh thoyyibah

Artikel daripada: Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah


Mingguan Malaysia 22 Nov 2009

Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengikhtiraf sijil yang dikeluarkan (UEC). Cukuplah dengan lebih 1300 SJKC yang telah sedia ada, dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya, yang menggunakan bahasa ibunda sepenuhnya seperti di Kajang, Kuala Lumpur dan sebagainya. Saya boleh namakan satu persatu. Biarlah saya simpan dahulu. Apakah ini semangat 1Malaysia?


Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan UPSR pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran. Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?


Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita. Sebenarnya, menteri pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menolak semua sekolah vernakular ini. Tetapi kuasa itu tidak digunakan. Fikirkanlah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.


Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC/T. Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.


Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1). Menurutnya, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.


Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang, daripada pendidikan pra-sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).


Sebenarnya, akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding akta pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain. Kepada golongan ultra kiasu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini. Sayapun tidak faham kenapa mereka begitu baik hari ini sedangkan sebelum itu akta 1961 yang paling ditakuti ultra kiasu.

Namun, sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negeri China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu? Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Bila membesar agak sukar untuk mereka memberikan kerjasama sama antara satu lain. Sekolah vernakular pada asalnya diwujudkan bagi membolehkan orang Cina India belajar asal-usul negara mereka. Tetapi hari ini mereka telah menjadi rakyat Malaysia, sepatutnya keadaan sedemikian tidak perlu wujud lagi. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.


Saya amat mengharapkan mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular ini supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka sebenarnya? Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular. Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM. Kedua, peratus kegagalan BM. Ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM. Keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu. Kalau tidak mahu buat kajian juga, ambil sampel beberapa pemimpin politik dan NGO yang lantang ini, termasuk pensyarah-pensyarah di jabatan pengajian Tionghua, cubalah uji keupayaan BM mereka?


Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan kementerian pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di SK dan SJKC. Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar? Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu. Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?


Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah. Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.


Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Saya tidak akan sentuh soal pendidikan vernakular. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan atau unity within diversity. Terlalu banyak berbeza juga tidak membawa kebaikan. Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing. Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu. Kita tetap Cina tetapi jangan jadi terlalu ultra Cina, ultra Melayu, ultra India dan lain-lain ultra bangsa di Sabah dan Sarawak. Itu sudah ekstrim dan melampau.


Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman. Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

11/15/2009 10:45:00 AM

Kem Pemantapan Sahsiah [SK (L) JALAN PASAR 1]

Dihantar oleh thoyyibah

Pada hari Sabtu (14 November 2009), bertempat di SK (L) Jalan Pasar 1, kami (seramai 5 orang) telah dijemput oleh sekolah tersebut untuk mengendalikan Kem Pemantapan Sahsiah kepada murid-murid Tahun 3, 4, 5 dan 6. Disebabkan enrolmen murid sekolah tersebut hanya sekitar 30 orang murid yang merupakan sekolah kedua terkecil di Kuala Lumpur, jadi untuk kem tersebut ia hanya melibatkan 24 orang murid. Seperti biasa, dalam mana-mana program, pasti ada yang tidak hadir atas pelbagai alasan dan sebab. Jadi, yang hadir ke program tersebut, hanya seramai 17 orang. Tapi.... 18 orang pun, dah cukup buat kami berlima kepenatan melayan karenah mereka dari 7.30 pagi - 4.00 petang.

Mungkin ada yang berpandangan, sekolah besar tetapi mempunyai murid yang sedikit akan menyebabkan murid-murid ini sepatutnya menerima ilmu dengan mudah dan bijak. Namun, ia tidak seperti yang dijangka. Murid ini banyak yang datang dari pelbagai latar dan masalah. Dan masalah tersebut terdiri dari masalah keluarga dan masalah yang datang dari diri murid itu sendiri. Disebabkan itu, prestasi sekolah ini hanya berada pada paras sederhana.

Wan Amali telah memberi nama kumpulan kami sebagai "TEMAN JUARA". Disebabkan masing-masing antara kami belum mempunyai banyak pengalaman dalam mengendalikan program seperti ini, jadi Kem Pemantapan Sahsiah ini merupakan platform terbaik untuk kami mengasah bakat dan kemahiran dalam mengendalikan program bercorak pembinaan kendiri. Kem ini telah dibahagikan kepada 3 slot, iaitu:
  • Slot Motivasi diketuai oleh Mohd Wan Nor Amali
  • Slot Sahsiah & Disiplin diketuai oleh saya
  • Slot Aktiviti Kumpulan (outdoor) diketuai oleh Mohd Hanif
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah atas jasa baik dan kepercayaan mereka pada kami untuk mengendalikan sepenuhnya kem ini... Salam JUARA! :)

murid2 melaungkan perkataan "JUARA!"

Fasilitator yang ceria

Salah seorang peserta, Mikail (9 tahun)

Slot Sahsiah & Disiplin

Slot Aktiviti Kumpulan (outdoor)




Barisan Fasilitator: (dari kiri) Mohd. Hanif, Wan Amali, Syafiqah, Mira, Thoyyibah

Menerima cenderahati drpd Guru Besar, Miss Lee Chu Lan
(Beliau merupakan bekas guru saya di SK Bandar Tun Razak (1) 1998-1999. jejak kasih la pula..)

Guru, murid (tahun 3, 4, 5 dan 6) dan fasilitator.

11/13/2009 01:47:00 AM

Ujian kecil yang dirasakan BESAR...

Dihantar oleh thoyyibah

Hari ni bermula 1st paper exam.

Selepas selesai berperang 2 jam 30 minit dengan paper Kaedah P&P, datang pulak paper M-Test, pilot test je la. tapi tetap menyakitkan kepala.

Habis M-Test, turun je blok exam, jumpa dengan Dr. Lawrence. Maka diberitahulah olehnya tentang pemantauan MQA yang akan mengakreditasi kursus kami (PISMP-IPGM) sama ada lulus utuk dapat ijazah atau tak. Yang lagi best, Dr.Lawrence bagitau, kami kena kumpul SEMUA portfolio mula daripada zaman hingusan Foundation 4 tahun setengah lepas... MasyaAllah....mana nak cari portfolio tu semua...... Kepala mula berdenyut... terkumat-kamit mulut berzikir cuba menenangkan hati.. Itulah manusia..dalam susah baru ringan mulut menyebut nama Allah....

Selesai taklimat bebanan dari Dr.Lawrence, kami satu kelas duk pakat nak pegi pejabat pentadbiran nak bertanya tentang klaim praktikum yang dah kami buat dari bulan Ogos lagi. Sampai di pejabat, maka, saya menyerahkan tugas kepada mereka yang berani dan lantang dalam berkata-kata.. Sementara saya pergi menguruskan hal lain di pejabat HEP. Selesai je, semua pulang ke hostel. Seperti biasa, kami yang duk serumah ini akan makan tengahari bersama. Maka sesi usrah pun bermula. Saya bertanya tentang duit klaim kepada sahabat yang pergi menghadap pentadbiran. Nampaknya memang tak ada cerita yang menyedapkan hati. Keluarlah segala cerita yang tidak sedap didengar telinga dan boleh membakar hati yang dah mula panas sejak dari tadi.. Macam-macam alasan diberi mereka untuk melengah-lengahkan penyaluran wang klaim dalam kantung kami. Kalaulah mereka tahu payahnya hidup dengan duit antara nampak dengan tidak ni, mungkin timbul jgak rasa nak mempercepatkan proses tu. Tapi ntah la...mungkin mereka tak paham...atau buat-buat tak paham.. Jadual makan berubah sebab kena jimat. Bile sebut kena bayar pape, hati dah duk fikir, bape ringgit sangat la yang tinggal dalam bank tu.. Nak mintak dengan mak ayah, aduhai segannya dan besar-besar camni.. Ada terfikir-fikir reunion SMART-MAI kelas saya nak buat di Sungkai. bulan 12 nnt. Nak kena bayar RM120.. Manala nak cari duit agaknya.. Maka hati berat kata, mungkin tak ada rezeki untuk bersama semula dengan kawan2 lama.. Hati kecewa... InsyaAllah, lain kesempatan, harap dapat bertemu jugak sahabat-sahabat dari Maahad Al-Islah...

Tak cukup sampai di situ, selang beberapa minit, kami terima pula panggilan daripada pensyarah penyelaras praktikum yang kami kena pergi ke Jabatan Kajian Sosial(JKS) untuk "PILIH" sekolah praktikum tahun hadapan. Jadi dengan mengambil sedikit masa borak, makan dan solat, maka pergilah kami ke JKS.. Sebelum sampai, kami yang perempuan terima pulak panggilan dari pelajar lelaki bagitau sekolah-sekolah tu dah ditetapkan, area yang lebih kurang sama dengan praktikum semester lepas2... Dalam hati kecewa lagi.. Sebab sebelum ini kami dah dijanjikan bahawa kami boleh pilih sekolah untuk praktikum kali ketiga. tapi akhirnya hampa... Sudahlah tu, belum pun sampai kat JKS, dapat pulak panggilan sekali lagi daripada pensyarah tadi bertanyakan sama ada saya dan seorang lagi rakan saya dapat terima tak kalau dipraktikumkan di SK LA SALLE (2). Agak fobia dengar sekolah ni sebab ni sekolah laki semua dan sesi petang pulak tu.. Walaupun pensyarah tu minta persetujuan saya, tapi sebenarnya saya dah tak ada pilihan untuk ubah disebabkan beberapa ugutan yang tak dapat saya dedahkan di sini... Aduhai...nampaknya pintu untuk "MEMILIH" sekolah tu sebenarnya tertutup rapat2 untuk saya dan sahabat saya seorang lagi (Nadiha).. Memang retorik semata.. Kawan-kawan yang lain sekurang-kurangnya ada peluang untuk pilih 9 sekolah yang lain yang dah dilistkan..memang bukan rezeki saya nampaknya...

Dalam perjalanan balik ke hostel..otak mula terfikir-fikir nak pegi sekolah naik apa.. selama ni, menumpang orang je.. walaupun ade lesen keta, nampaknya keberanian tu belum ada lagi. tapi ni nampak memang tak ada pilihan. Nak tak nak, masa cuti kena praktis bawak keta... Ya Allah...gayat rasenya... Tu macam fear factor dah... cam orang takut tinggi, macam tu la perasaannya nak bawak keta tu.. Wahai Yang Maha Berkuasa, berilah aku secebis keberanian untuk melawan perasaan sendiri..

Bila tiba malam, ada rasa letih yang amat, menghinggap segenap saraf. Ada lagi hal-hal lain yang jadi hari ni yang rasanya tak perlu dicoretkan di sini. Tapi yang pasti hari ini, ujian datang bertimpa-timpa. Terasa seakan ujian ini ujian yang terlalu besar sedangkan hakikatnya ia tidak seberapa bila dibandingkan dengan ujian yang Allah timpakan kepada hambanya yang lebih taqwanya, lebih imannya... Ya Allah.. Ampunkan hambaMu ini yang melalui hari ini dalam keadaan keluh kesah dan kecewa.. Diri ini terlalu lemah nampaknya.. Aku bersyukur kerana Kau tetap melimpahkan ketenangan dalam hati ini bila mana malam menjelma.. Maka beterbanganlah rasa keluh kesah, gelisah dan kecewa.. Aku redha atas ujian-ujian Mu ini.. Alhamdulillah...aku diberi ruang untuk sedar dan memperbaiki diri.. Semoga hari yang dilalui pada esok hari membawa mentari ceria dalam usaha mendekatkan diri dengan Pencipta atas segala sesuatu yang tercipta...ameen..


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" Surah Al-'Ankabut : 2



"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata) : "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." Surah Al Baqarah : 286

11/11/2009 12:38:00 AM

To A Non-Muslim Woman

Dihantar oleh thoyyibah


From: Rashid Khan rkhan@ee.tufts.edu

When you look at me
All that you can see
is the scarf that covers my hair
My words you can't hear
because you're too full of fear,
mouth gaping, all you do is stare

You think it's not my choice
in your own "liberation" rejoice.
You think I'm uneducated,
trapped, oppressed and subjugated,
You're so thankful that you're free.

But non-Muslim woman you've got it wrong
You're the weak and I'm the strong.
For I've rejected the trap of man.
Fancy clothes - low neck, short skirt
those are devices for pain and hurt.
I'm not falling for that little plan.

I'm a person with ideas and thought.
I'm not for sale, I can't be bought.
I'm me - not a fancy toy,
I won't decorate anyone's arm,
nor be promoted for my charm.
There is more to be than playing coy.

Living life as a balancing game - mother,
daughter, wife, nurse, cleaner, cook, lover
and still bring home a wage.
Who thought up this modern "freedom"?
Where man can love'em and man can leave'em.
This is not free, but life in a cage.
Always jumping to a male agenda
competing on his terms.
No job share, no creche facilities,
no feeding and nappy changing amenities
No time off for menstrual pain,
"hormones" they laugh "what a shame"
No equal pay equal skill
your job they can always fill.
No promotion unless you're sterilised.
No promotion unless you're sexually terrorised.
And this is liberation?

Non-Muslim woman you can have your life.
Mine - it has less strife.
I cover and I get respected
surely that's to be expected,
for I won't demean the feminine,
I won't live to male criterion,
I dance to my own tune
and I hope you see this very soon.
For your own sake - wake up and use your sight.
Are you so sure that you are right?

-From a Muslim Woman

Saya tidak membuat sebarang suntingan terhadap karya ini.. buat renungan bersama dan bukan sebagai provokasi mana-mana pihak.. semoga ada manfaat yang dapat diperolehi oleh semua wanita bergelar "MUSLIMAH"..



11/10/2009 03:46:00 PM

Salam Kejayaan...

Dihantar oleh thoyyibah

Dalam entri yang ringkas ini saya nak mengucapkan selamat berjaya kepada semua sahabat-sahabat yang bakal dan sedang menduduki peperiksaan. Terutama kepada sahabat seIPG, seKURSUS dan seKELAS. Tujuan kita semua sama, "Dididik untuk Mendidik". Semoga kita semua beroleh kejayaan yang gemilang...ameen... Chaiyok!!!

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan - IPG KBA
gambar oleh: pert
2006




11/06/2009 12:25:00 AM

Kuliah "Terakhir" Ustaz Nasarudin

Dihantar oleh thoyyibah

Ustaz Nasarudin Bin Hussin (berkopiah) dan Puan Nor'aini Tahir (Penyelaras PISMP) pada hari terakhir kuliah beliau bersama kami. (klik gambar untuk saiz sebenar)

Sekali pandang, susuk fizikal jelas memperlihatkan peribadi seorang yang bergelar "ustaz". Namun jauh daripada itu, selain mengajar dan menyampaikan ilmu agama, di dadanya sarat dengan ilmu ekonomi. Tanya saja tentang isu semasa yang berkait dengan ekonomi, Bajet 2010, PTPTN, pola kemiskinan, DEB, K-ekonomi, KDNK dan sebagainya, pasti beliau ada jawapan dan hujjahnya.

Terlalu bersyukur sebenarnya apabila mendapat seorang yang bergelar ustaz yang datang ke IPBA sebagai pensyarah jemputan untuk memberi kuliah bagi subjek Pertumbuhan dan Perkembangan Ekonomi Malaysia untuk kelas kami. Untuk rekod, sepanjang 4 tahun setengah kami di IPBA, hanya kelas bersama Ustaz Nasarudin sahaja yang kami dapat istiqamah hadir pada waktu petang. Bagai ada perasaan bersalah yang teramat jika tertinggal satu sesi kuliah bersama beliau. Ditambah pula setiap kali kelas beliau, kami bukan sekadar mendapat ilmu dunia (ekonomi dan isu semasa), malah beliau turut membekalkan kepada kami ilmu akhirat. Sering sahaja dia memberitahu, "...ilmu yang saya sampaikan kepada pelajar ini akan menjadi hujjah apabila saya berhadapan dengan Allah S.W.T..."

Ustaz Nasarudin ketika memberikan kuliahnya.

Setelah dua bulan mengajar, kini tibalah kuliah terakhir kami bersama beliau. Tajuk pembelajaran pada hari tersebut ialah "Senario Kemiskinan di Malaysia". Ada rasa sedih yang berbuku dalam hati bila mengenangkan payahnya untuk bertemu lagi dengan seorang murabbi yang sangat dekat hatinya dengan pelajar-pelajarnya. Semoga ustaz tenang dan bahagia menghadapi hari-hari mendatang.

Pada permulaan kuliah hari tersebut (5/11/09), ustaz telah menyentuh serba sedikit mengenai Surah Ar-Rahman. Sebenarnya telah menjadi kelaziman kapada beliau membaca beberapa ayat permulaan surah ini apabila ingin memulakan kelas, kemudian disusuli pula dengan tazkirah ringkas sekitar 5-10 minit. Cuma, pada hari tersebut, beliau menjadikan surah ini sebagai isi tazkirahnya. Beliau memberitahu bahawa Surah Ar-Rahman adalah "surah pengantin" bagi Al-Quran. Dan ada beberapa lagi kupasan beliau mengenai surah ini yang saya tidak sempat tulis dalam buku (sebab khusyuk sangat mendengar lupa nk tulis..hehe.. )

Di akhir kuliah, seperti biasa juga, beliau mengambil masa 10 minit untuk memberi tazkirah penutup. Sempat beliau bercerita tentang kisah kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang baru beliau ketahui melalui video seorang ulama' di Tanah Arab di Youtube. Ketika hampir baginda wafat, baginda telah meminta untuk bersiwak. Disebabkan kayu siwak yang ingin digunakan itu masih keras, isterinya Saidatina Aisyah telah menggigit kayu tersebut bertujuan melembutkannya. Jadi air liur isterinya itu telah lekat pada kayu siwak ini. Tanpa membasuh, Nabi telah menggunakan kayu siwak tersebut. Oleh itu bercampurlah air liur isteri baginda dengan air liur Nabi sebelum baginda wafat. Selain itu, terdapat juga sesetengah sahabat yang apabila melihat nabi menghampiri saat kewafatannya, mereka telah berdoa kepada Allah agar dibutakan mata kerana mereka tidak sanggup lagi melihat dunia selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. Dan doa ni telah dimakbulkan Allah.

Dan ada dua pesanan terakhir Ustaz Nasarudin kepada kami:
  1. Jika pergi ke mana-mana, jadilah diri kamu sendiri, yakni menjadi muslim yang bertaqwa kepada Allah dan katakanlah " Aku tidak akan tukar hal dan nikmat dunia dengan nikmat syurga Allah".
  2. Jangan sesekali biarkan anak murid kamu meninggalkan kelas, sebelum kamu memberi mereka ilmu agama. Biarlah kamu mengajar Kajian Tempatan sekalipun, tapi pastikan selitkan sekali ilmu agama supaya ilmu ini dapat menjadi hujjah kamu apabila berhadapan dengan Allah kelak.
Semoga ada rezeki dan kesempatan lagi insyaAllah kami akan berjumpa lagi dengan ustaz di masa dan ketika yang lebih baik hendaknya... Semoga ustaz terus istiqamah menegakkan yang hak dan menentang yang bathil seperti yang ustaz lakukan sekarang. Jasa ustaz akan kami kenang sentiasa... : ) Syukran ya ustaz..

11/05/2009 03:15:00 PM

Menjawab Kesesatan RUFAQA’ Di Dalam AURAD, AL-MAHDI Dan BANI TAMIM

Dihantar oleh thoyyibah

Sebelum ini ada beberapa entri saya seperti Al-Arqam, Rufaqa' Corporation dan kini Global Ikhwan Sdn. Bdn (GISB) dan Konsep "Bank Tuhan" yang menyentuh tentang pergerakan Al-Arqam atau kini lebih dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn. Bhd (GISB). Walaupun kerap kali mereka menegaskan bahawa GISB tiada kena mengena dengan Arqam, tapi hakikatnya, syarikat yang bernakhodakan Abuya Ashaari ini masih berpegang kepada apa yang mereka telah bawa ketika Al-Arqam diharamkan dahulu. Malah pengikut-pengikut Abuya ini terlalu taa'sub dengan pemimpin mereka yang seorang ini dengan pelbagai dakwa dakwi yang mereka utarakan bagi menguatkan hujah menyokong Abuya.


Entri Pautan:
http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=324&Itemid=70
http://rufaqa-sesat.blogspot.com/2006/12/kesesatan-buku-abuya-asaari-muhammad.html
http://rufaqa-sesat.blogspot.com/


Entri Pro- Abuya:
http://pemimpinpalingajaib.blogspot.com/2007/09/abuya-ashaari-muhammad-di-umur-satu.html
http://pemimpinpalingajaib.blogspot.com/
http://mcbatistuta.multiply.com/reviews/item/70


Dan akibat dari artikel yang saya telah tulis sebelum ini, ada yang beranggapan saya adalah pengikut dan penyokong kumpulan ini. Saya kurang pasti atas sandaran apa dakwaan ini dikeluarkan. Mungkin mereka tidak membaca dengan teliti entri saya sebelum ini. tak mengapalah.

Di sini saya lampirkan artikel yang telah diberi oleh salah seorang pengunjung blog saya untuk dikongsi kepada pembaca. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau yang telah memberi saya link kepada artikel ini.



MENJAWAB KESESATAN RUFAQA’ DI DALAM AURAD, AL-MAHDI DAN BANI TAMIM


Pada 6 Oktober 1986 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-17 telah memutuskan bahawa buku ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, Sekaligus Menjawab Tuduhan’ oleh Asaari Muhammad hendaklah ditahan penyebarannya, kerana ia mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan syariat Islam dan mengelirukan masyarakat Islam. Dalam buku tersebut antara lain Asaari mengatakan Syeikh Muhammad al-Suhaimi tidak mati dan bakal diutuskan Allah SWT sebagai Imam al-Mahdi.


Buku ini sekaligus membuktikan temberang Asaari dalam satu pertemuan dengan S.S. Mufti Wilayah Persekutuan di Pusat Islam pada 19 Julai 1979. Dalam pertemuan tersebut Asaari menafikan beliau berpegang dengan kepercayaan tersebut, lalu dalam akhbar rasmi keluaran al-Arqam pada Disember 1979 pengakuan Asaari tentang penafian tersebut disiarkan. Namun selepas tujuh tahun menyembunyikan aqidah sesatnya, Asaari membuka pekungnya dengan menegaskan kembali bahawa Syeikh Muhammad al-Suhaimi bakal menjadi Imam al-Mahdi. Ia termaktub dalam buku tersebut di halaman 176-186. Apakah Asaari juga menggunapakai prinsip taqiyyah sebagaimana yang diimani oleh puak Syiah?


Antara perkara pelik yang termaktub di dalam Aurad Muhammadiyah ialah rekaan Asaari dengan menambah lafaz baru selepas dua kalimah syahadah. Asaari dilihat terlalu obses untuk untuk menjadi orang kanan Imam al-Mahdi sehingga sanggup mereka-reka kalimah syahadah yang baru. Lafaznya berbunyi “Muhammad al-Mahdi, khalifah Rasulillah”. Tahukah Asaari bahaya menambah kalimah ini ke dalam lafaz syahadat umat Islam?



Bahaya yang paling besar, penambahan ini menyalahi nas-nas hadith sahih Rasulullah SAW yang meriwayatkan bahawa syahadah itu adalah “aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad pesuruh Allah”. Oleh itu perbuatan Asaari menambah syahadah dengan kalimah yang lain adalah bid’ah munkarah dan ia sama dengan perbuatan Syiah yang menambah kalimah “aku bersaksi Ali waliyullah”. Adakah Asaari dan al-Arqam mengetahui bahawa lafaz kalimah syahadah yang diucapkan oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini adalah ijma’ para ulama tanpa boleh ditokoktambah lagi. Melainkan sekiranya Asaari cenderung mengikuti mazhab Syiah yang menolak ijma’ tetapi memaksumkan diri para imam mereka. Jika begitu ini bermakna Asaari mengaku dirinya adalah imam yang maksum dan ia sekaligus tiada
bezanya dengan golongan Syiah.


Kedua, siapakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Asaari sebagai Imam al-Mahdi sehingga beliau tergamak melanggar ijma’ ummah dengan memasukkan lafaz tambahan di dalam syahadah? Tidak syak lagi, orang yang diisyaratkan oleh Asaari itu ialah Syeikh Muhammad al-Suhaimi yang telah meninggal dunia di Kelang pada tahun 1925 lalu bakal muncul setelah ghaib untuk menjadi Imam al-Mahdi. Alangkah fasadnya pegangan dan pemikiran Asaari sehingga sanggup sekali lagi merobek dan merungkai aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang telah sekian lama bertapak di negara ini hanya kerana ketaksuban untuk menjadi seorang pemimpin suci.



Tahukah Asaari dan pengikutnya, fikrah ghaibat al-imam (imam menyembunyikan diri) ini tidak wujud dalam fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah kecuali Syiah. Malah mereka telah menjadikan kepercayaan kepada al-ghaibah ini sebagai dasar aqidah Syiah. Malangnya selepas kematian imam kesebelas Syiah iaitu Imam al-Hasan al-Askari pada tahun 260H, Syiah masih tertunggu-tunggu kemunculan imamnya yang kedua belas. Syiah lupa bahawa kitab-kitab sejarah telah merakamkan bahawa Imam al-Hasan al-Askari sebenarnya tidak mempunyai anak keturunan. Tetapi kerana ketaksuban Syiah terpaksa mereka-reka cerita kononnya Imam al-Hasan ada meninggalkan anak bernama Muhammad namun telah ghaib ketika berumur empat tahun dan bakal muncul sebagai Imam al-Mahdi di akhir zaman nanti. Walau bagaimana pun sehingga ke hari ini, setelah lebih ribuan tahun, Imam al-Mahdi versi Syiah tersebut masih tetap menyembunyikan diri.



Adakah ini pegangan yang diimani dan diterap oleh Asaari Muhammad kepada pengikutnya? Jika benar, ini bermakna aqidah Asaari lebih dahsyat berbanding dengan aqidah Syiah kerana Syiah menetapkan imam itu hendaklah susur galurnya daripada keturunan imam Alul-Bayt, tetapi ia tidak bagi Asaari Muhammad.


Ketiga, adakah Asaari mengetahui ciri-ciri Imam al-Mahdi sebagaimana yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW? Malah persoalan paling utama yang mampu membungkamkan dakwaan Imam al-Mahdi versi Asaari dan Syiah ialah, riwayat-riwayat telah menunjukkan bahawa Imam al-Mahdi itu bukan muncul daripada ghaibnya tetapi ia dilahirkan sebagaimana bayi yang lain jua. Jika Asaari membaca dan mengkaji riwayat-riwayat tersebut tiada suatu pun riwayat yang mengatakan bahawa ia merupakan seorang imam yang ghaib pada asalnya.


Perlu juga difahami bahawa kemunculan Imam al-Mahdi juga berlaku tanpa disedari oleh dirinya sendiri bahawa dia adalah bakal Imam al-Mahdi. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW: “Imam al-Mahdi itu daripada keturunan kami Alul-Bayt, Allah akan mengislahkannya dalam satu malam”1. Maksud mengislah di sini iaitu Allah SWT akan memberinya persiapan untuk menjadi khalifah dan memimpin kaum muslimin dalam menghadapi huru-hara dan peperangan-peperangan dalam satu malam. Kemudian al-Mahdi akan dibai’ah di hadapan Ka’bah walaupun beliau sendiri tidak menyukainya2.



Di samping itu, kita juga perlu memahami mengapa Allah SWT sengaja menyembunyikan dari arah manakah sebenarnya akan muncul al-Mahdi. Menurut para ulama yang melakukan pengkajian terhadap riwayat, tiada satu pun dalil kukuh yang boleh mensabitkan dari arah manakah Imam al-Mahdi akan muncul sebelum beliau akan dibai’ah di Ka’bah. Bagaimana pun terdapat tiga pendapat yang diperselisihkan oleh mereka. Pendapat pertama mengatakan Imam al-Mahdi akan keluar dari arah timur sebagaimana disebut oleh Ibnu Kathir3. Kedua, al-Mahdi akan keluar dari arah barat atau maghrib. Ini pandangan Imam al-Qurtubi4. Pendapat ketiga pula mengatakan al-Mahdi berasal daripada penduduk Madinah yang melarikan diri ke Mekah sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith lain, namun dalam sanadnya terdapat beberapa kecacatan5.
Melalui perdedahan ringkas di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa ada hikmahnya tempat muncul al-Mahdi itu disembunyikan Allah SWT daripada pengetahuan manusia. Barangkali ia sengaja tidak didedahkan bagi memelihara dan melindungi tempat atau negeri bakal lahirnya Imam al-Mahdi agar ia terhindar daripada segala perancangan dan niat jahat musuh-musuh Islam. Kita sendiri sedia maklum bagaimana golongan zionis yang bertopengkan orientalis sentiasa menjalankan kajian terperinci terhadap sumber-sumber Islam bagi mencari jalan untuk memadamkan perjalanan agama Allah SWT ini.


Nampaknya konsep Imam al-Mahdi yang difahami oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah melalui perkhabaran riwayat-riwayat yang sahih berbeza sekali dengan Imam al-Mahdi versi Asaari Muhammad. Asaari telah sekian lama menobatkan kononnya Imam al- Mahdi adalah Syeikh Muhammad al-Suhaimi. Bahkan Asaari menambah pula kononnya Imam al-Mahdi tersebut telah pun bertemu dengan Rasulullah SAW secara yaqazah bagi menerima aurad di dalam Ka’bah. Sesungguhnya semua ini hanyalah khayalan yang diangan-angankan oleh Asaari untuk mengangkat martabat dirinya di kalangan pengikut. Ini kerana tiada sebarang riwayat pun sama ada sahih atau dhaif, jelas atau kabur yang mengisyaratkan bahawa Imam al-Mahdi itu bernama Muhammad al-Suhaimi yang menerima aurad sebagaimana telahan Asaari.



Setelah memahami kesesatan Asaari menamakan Syeikh Muhammad al-Suhaimi sebagai Imam al-Mahdi. Asaari juga telah melakukan kesesatan yang lain. Asaari sebenarnya telah meletakkan dirinya melampaui Imam al-Mahdi sendiri walaupun Asaari pada awalnya menganggap dirinya hanya sebagai pembantu Imam al-Mahdi. Adakah Asaari sudah lupa apakah tanggungjawab sebenar Imam al-Mahdi? Rasulullah SAW bersabda: “Al-Mahdi berasal daripada keturunanku, berkening lebar, berhidung panjang dan mancung, ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kemakmuran, sebagaimana ia (bumi ini) sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kesemena-menaan, dia akan berada selama tujuh tahun”6.



Ringkasnya, tugas Imam al-Mahdi adalah untuk memakmurkan bumi ini dengan menegakkan keadilan. Ia tiada kena mengena langsung dengan khayalan-khayalan Asaari yang tidak masuk akal termasuk mendakwa dirinya sebagai pemuda Bani Tamim. Terkini Asaari menganggap dirinya sebagai putera Bani Tamim. Tahukah Asaari siapakah Bani Tamim. Dalam sahih Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Mereka iaitu Bani Tamim adalah umatku yang paling kuat menghadapi Dajjal”7.



Ini bermakna komitmen Bani Tamim di akhir zaman nanti adalah untuk berhadapan dengan Dajjal. Tiada sebarang riwayat yang mengatakan bahawa Bani Tamim itu nanti akan menjadi sahibuz zaman, membuat ramalan, jadual tuhan, mujaddid, orang tuhan, menerima wahyu dan lain-lain. Semua ini tidak lain hanyalah tokok tambah daripada Asaari yang tiada kena mengena langsung dengan konsep Bani Tamim yang sebenar. Lebih mengejutkan lagi, lafaz sahibuz zaman yang digunapakai oleh Rufaqa’ pada hari ini, tidak bersumberkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi ia diceduk daripada gelaran Syiah kepada Imam al-Mahdi mereka yang masih ghaib!


Doktrin Asaari yang mendakwa mempunyai hubungan langsung dengan Imam al-Mahdi, Syeikh Muhammad al-Suhaimi juga jelas ditiru daripada fahaman Syiah. Syiah mengatakan bahawa para naib imam mereka mempunyai hubungan langsung yang berterusan dengan Imam-al-Mahdi yang ditunggu-tunggu. Penantian yang berkurun lama menyebabkan ramai di kalangan pengikut Syiah yang membuat dakwaan palsu kononnya mempunyai hubungan langsung dengan Imam al-Mahdi. Semua ini direka oleh Syiah untuk meluluskan al-aqidah al-mahdiyah yang dicipta oleh mereka. Kepercayaan ini wujud di dalam aqidah sama ada Syiah Imam Dua Belas (al-Ithna al-‘Asyriyyah) mahupun Syiah Isma’iliyyah. Apa yang jelas dasar aqidah ini adalah tertegak di atas doktrin batiniyyah yang mengatakan: “Tiap-tiap benda yang zahir itu ada batinnya, dan bagi tiap-tiap ayat yang diturunkan itu ada takwilnya’. Bertitik tolak dari sinilah maka Asaari gemar mengadakan takwilan-takwilan dan ramalan-ramalan batilnya.


Kesimpulannya, Asaari Muhammad telah melakukan kesilapan yang besar dalam aqidahnya. Ia bermula dengan penyelewengan di dalam Aurad Muhammadiyah, salah faham konsep Imam al-Mahdi dan penyalahtafsiran konsep Bani Tamim yang sebenar. Semua ini adalah berpunca daripada kejauhan beliau mengambil agama daripada sumber-sumbernya yang muktamad iaitu al-Qur’an, al-Hadith, Ijma’ ulama dan al-Qiyas.


Wallahu ‘alam.

Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM
Fail pp(appa)



nota:
1 Ini ialah hadith sahih diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan Ibnu Majah dalam Sunannya dari Ali r.a. Ia juga disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir ketika memberikan komentarnya dalam Musnad Ahmad.

2 Ia boleh dilihat melalui athar yang diriwayatkan oleh Nu’aim bin Hammad daripada Abdullah bin Mas’ud dalam kitab al-Fitab,Bab: Berkumpulnya Manusia di Mekah dan Pembai’atan Mereka Terhadap al-Mahdi”, hal. 214.

3 Rujuk kitab al-Fitan Wa al-Malahim tentang fasal: Riwayat tentang al-Mahdi

4 Rujuk kitab al-Tazkirah, Bab “Dari manakah keluarnya al-Mahdi dan tanda-tanda keluarnya”.


5 Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dari Ummu Salamah. Riwayat Ibnu Abi
Syaibah dan Tabrani dalam al-Ausat. Al-Haithami berkata dalam kitabnya “Majma’ al-Zawa’id”, para perawinya adalah perawi hadith sahih. Dihasankan oleh Ibnu Qayyim. Akan tetapi menurut al-Albani pada sanadnya terdapat perawi yang dilemahkan oleh lebih daripada seorang ulama hadith.

6 Hadis hasan diriwayatkan oleh Abu Daud dan Hakim dari Abu Said al-Khudri. Berkata Ibnu Qayyim al- Jauziyyah dalam kitab “al-Mannar al-Munif”: “Sanadnya adalah baik”. Hadis ini dihasankan oleh al-Albani dalam kitab “Takhrijul Misykat” dan “Sahihul Jami’”.

7 Sahih Muslim, hadith no. 2525, Kitab Fadha’il al-Sahabah.