Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

3/24/2009 05:07:00 PM

Konsep "Bank Tuhan"

Dihantar oleh thoyyibah




Sekali lagi saya terpegun dengan konsep yang dipakai oleh GISB (Global Ikhwan Sdn. Bhd.). Konsep ini telah digunakan sejak Al-Arqam menukar nama kepada Rufaqa' Corporation dan kini mendaftarkan syarikat mereka dengan nama Global Ikhwan Sdn. Bhd.

Apa konsep "bank tuhan" yang mereka maksudkan itu? setelah saya baca artikel-artikel berkaitan GISB, dan melihat beberapa video di Youtube, barulah saya faham tentang istilah ini. Anda sudah tentu pelik mengapa Al-Arqam ini masih hidup hingga hari ini, malah kewujudannya semakin diiktiraf dalam arus ekonomi masa kini walaupun menggunakan nama dan pendekatan yang berbeza. Rahsianya ialah mereka mempunyai pengikut yang teramat ramai, merentas segala sempadan negara, bahasa, budaya dan latar belakang.. dan daripada pengikut yang ramai ini, terdapat golongan-golongan elit yang mengganggotai syarikat ini. Maka modal mereka datang daripada golongan ini. Golongan yang setia yang akan menggadaikan apa sahaja untuk Cinta Agung yang mereka pegang. .


Di sini saya sertakan sebahagian artikel yang saya baca berkenaan konsep ini. Sebagai pembaca yang budiman, anda nilailah sendiri artikel ini...



Global Ikhwan Sdn. Bhd.



SUMBER DANA DAN KEKUATAN

Sumber kekuatan yang disediakan Tuhan kepada orang Islam tidak sama dengan sumber untuk orang bukan Islam.

Orang bukan Islam diberi dari sumber alam dunia yang lahir. Sedangkan orang Islam yang bertaqwa sumbernya dari alam ghaib oleh kekuatan roh. Maksudnya dan contohnya; Rasulullah memenangi Perang Badar adalah oleh adanya sokongan 5000 malaikat yang datang dari alam ghaib. Maka walaupun lahirnya para sahabat cuma 313, sedangkan kafir Quraisy 1000 orang, tapi Rasulullah memenanginya. Peperangan perniagaan di zaman ini, orang bertaqwa akan Tuhan hantarkan wang dari Bank Tuhan. Iaitu dari tangan orang kaya-Nya, yang menyalurkan untuk Islam atas dasar cinta Tuhan tanpa meminta balasan. Mereka memberi bukan sebagai pinjam atau hutang. Pemberian adalah untuk buktikan cinta sekaligus ingin melihat syiar Islam bangun di muka bumi Tuhan. Usaha menanamkan cinta dan takut Tuhan kedalam hati insan untuk lahirkan Bank Tuhan ini, itulah kerja paling asas yang dibuat oleh para pemimpin yang dilantik Tuhan sama ada Rasul atau Mujaddid.


PELAKSANA

Mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah s.a.w.di Madinah mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan kapitalis atau orang bukan Islam Madinah? Rahsianya ialah setiap malam yang sepi waktu dinihari, para pelaksana diketuai oleh Saidina Abdur Rahman bin 'Auf r.a. memanggil Allah dan Rasul untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam perniagaan mereka. Mereka sembahyang hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, baca Quran, selawat dan lain-lain demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah s.a.w. mengajarkan bagaimana perniagaan menurut Tuhan atau cara berniaga yang disuruh Tuhan. Iaitu dengan menawan hati orang. Para penyokong dari alam ghaib berdatangan selepas mendapat 'call' dari orang lahir. Hati penduduk Madinah ditawan. Datang ke Pasar Ansar orang dapat Tuhan, dapat pemimpin, dapat ibu ayah, dapat kasih sayang, dapat kebahagiaan. Rindu untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Mahal pun tak apa demi cinta. Lalu sunyilah gelanggang perniagaan kapitalis bukan Islam hingga membawa mereka gulung tilam bantal meninggalkan Madinah.

Demikianlah sejarah bagaimana jauh hebatnya kekuatan sistem ekonomi oleh Allah dan Rasul dibandingkan dengan sistem perniagaan akal. Ia sudah berlaku tapi pasti berulang bilamana berulangnya kemunculan orang bertaqwa di muka bumi Tuhan ini sekali lagi. Rasulullah berjanji akan kemunculan itu di akhir zaman oleh satu etnik bernama Ikhwan. Mari kita berdoa dan berusaha untuk realitikan janji agung ini.

Maka bagi menjayakan sistem hidup Islam, Abuya Syeikh Ashaari Muhamad, melalui GISB telah mendidik para kakitangannya untuk untuk berusaha melayakkan diri menjadi orang-orang yang bertaqwa. Moga-moga dengan mengusahakan taqwa itu, Tuhan datangkan pertolongan sama ada di sudut rohaniah mahupun materialnya. Untuk itu, melalui program-program motivasi, para kakitangannya sentiasa diberikan ilmu dan panduan untu mengusahakan taqwa di bidang masing-masing.

Melalui GISB juga, Abuya Syeikh Ashaari Muhammad sangat berharap, masyarakat Islam dan bukan Islam akan mendapat manafaat yang besar hasil bekerjasama melalui hubungan perniagaan dan khidmat masyarakat.

Moga-moga semua golongan akan mendapat pembelaan dan hiburan dari GISB, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW dahulu. Amin.



0 Komen:

Post a Comment