Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

1/07/2011 02:30:00 AM

Kewangan: Bagaimana Sikap Kita?

Dihantar oleh thoyyibah

Bila seseorang mengutarakan perbincangan tentang pelaburan, saya menjadi keberatan untuk mendengar.


Bila ke udara berita dalam segmen ekonomi di televisyen; biz world, laporan bursa saham, dsb. saya segera menukar channel atau mengalihkan perhatian kepada perkara lain.


Bila membelek akhbar, saya langkaui bahagian berita berkaitan pelaburan dan dunia kewangan.


Pada saya ketika itu, pelaburan hanya untuk orang kaya. Orang berada. Yang banyak masa lapangnya untuk duduk menyilang tangan sambil menekuni indeks di Bursa Saham. Berkira-kira ingin dijual sahamnya, atau membeli saham baru. Jadi, mana mungkin insan sederhana yang belum punya kerja ini ingin terlibat atau mengambil tahu perihal pelaburan.


Buat apa saya ingin sibuk-sibuk menguruskan kewangan, sedangkan duit saya tidaklah sebanyak mana hingga perlu dicatatkan segala urusan keluar masuknya.


Sebagai pelajar, elaun yang saya perolehi saya gunakan “sebaiknya”. Saya tidaklah boros hingga melarat di hujung semester. Malah saya tidak menyediakan sebarang back up untuk masa hadapan. Jika saving pun tiada, mustahil saya ingin terlibat dengan dunia pelaburan.




Cuba Belajar


Di atas adalah keadaan saya ketika zaman ignorance. Penuh dengan persepsi dangkal yang akhirnya membawa kerugian yang amat besar.


Syukur alhamdulillah, keadaan itu tidak berterusan. Di tahun akhir pengajian, saya mula sedar tentang keperluan menyimpan. Maka, adalah sedikit wang selepas saya menamatkan pengajian pada Nov 2010 sementara menunggu penempatan guru yang diura-urakan bermula pada Mac-Jun 2011.


Ada rasa penyesalan di sudut hati kerana jika tidak pun saya terlibat dengan pelaburan, sekurang-kurangnya saya perlu sentiasa buat perancangan kewangan ketika belajar. Elaun RM690/sebulan rasanya patut dibahagi-bahagikan. Bukan dibelanjakan kesemuanya sekali! hmm...


Sekarang saya cuba belajar dari kesilapan. Allah temukan saya dengan insan-insan yang concern tentang keperluan mempunyai ilmu mengenai pengurusan kewangan dan long term investment. Syukur...


Dari kesedaran menyimpan, saya mula membaca buku-buku kewangan. Dan buku pertama yang telah saya tela'ah adalah “How to ruin your financial life”. Seperti diketuk-ketuk kepala bila membaca buku tersebut kerana terlalu banyak panduannya telah pun saya turuti. Memang selama ini saya membawa diri kepada kesusahan. Mujur menyedarinya dalam keadaan boleh diperbetulkan lagi.




Pelaburan


Laman sesawang Ustaz Zaharuddin (UZAR) sentiasa saya lawati. Saya biasa mendengar tentang pelaburan Amanah Saham Berhad, perniagaan MLM, perniagaan internet, takaful & insurans dan pelbagai lagi topik kewangan, pelaburan dan perniagaan. Saya tahu ada pertikaian dan kepelbagaian pendapat dalam perkara-perkara tersebut bersangkutan dengan hukum dalam Islam. Cuma seperti yang saya katakan tadi, saya tidak ambil pusing atau membuat sebarang kajian dan bacaan lanjut untuk memahami isu-isu tersebut. Oleh itu, melalui laman sesawang UZAR, hampir kesemua isu di atas terjawab.


Sebelum itu, seorang sahabat baik saya ada menerangkan tentang pelaburan emas. Katanya harga emas dari sehari ke sehari akan meningkat. Jadi, bila kita beli hari ini, inshaAllah dalam masa 2, 3 tahun atau lebih, harga emas yang kita miliki akan meningkat dan bolehlah dijualkan bila perlu. Memang menarik. Tapi malangnya saya tak punya cukup modal untuk bermula dek kerana simpanan yang ada perlu saya stand by kan sebagai persediaan untuk mengajar.


Walaupun saya tidak memulakan langkah dalam pelaburan emas, tapi saya mula berminat untuk mengetahuinya. Sekali lagi tulisan UZAR banyak membantu. Malah, saya bukan sekadar mula berjinak-jinak mempelajari tentang pelaburan emas, tetapi turut cuba menekuni jenis pelaburan-pelaburan lain. Pelaburan hartanah, Tabung Haji, Unit Trust/Amanah (mutual fund) dan beberapa pelaburan lain. Dan, Allah membantu saya lagi dengan mempertemukan saya dengan seorang Unit Trust Consultant (UTC) yang rupa-rupanya belajar satu tempat dengan saya. Subhanallah... Cuma kami tidak pernah bertegur sapa semasa di IPG. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Hj. Azahari Khuzaifah yang juga merupakan seorang consultant telah refer soalan-soalan saya tentang pelaburan kepada sahabat saya ini untuk dijawab kerana beliau sendiri agak sibuk ketika itu.


Bermulalah penerokaan saya untuk serius mempelajari tentang pelaburan. Pelbagai artikel saya baca dan cuba untuk memahami setiap satunya. Buku “Wang, Anda & Islam” yang saya pinjam dari sahabat tersebut banyak memberi pencerahan tentang sistem kewangan Islam. Menyuluh jalan tentang pelaburan yang haram dan halal. Buku dari Singapura “Profit from the panic” pula saya jadikan panduan bagi melihat trend pelaburan dan situasi kritikal yang terjadi terhadap atmosfera ekonomi dunia dalam jangka masa 50 tahun lepas. Belajar daripada sejarah sentiasa memberi banyak pengajaran kepada kita. Laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut membantu saya melihat senarai syarikat korporat (kewangan & pelaburan) yang patuh shariah. InshaAllah, bila mana saya telah bekerjaya kelak, akan saya cuba uruskan kewangan saya sebaiknya dan melaburkan beberapa bahagian wang tersebut dalam pelaburan yang sesuai.. Semoga Allah membantu...


Selain itu, saya sering membuat diskusi bersama beberapa insan yang bergelar sahabat dan guru untuk memahami apa yang dibaca. Bahaya rasanya jika belajar hanya bergurukan buku semata-mata. Takut sesat barat jadinya. Dan mereka ini memang banyak memberi tunjuk ajar.




Hijrah


Setelah apa yang saya lalui, hijrah saya dari zaman ignorance kepada manusia yang lebih peka tentang hal-hal kewangan, saya ingin memberi saranan yang sama kepada sahabat-sahabat; tamatkanlah zaman tidak ambil peduli kita dalam pengurusan kewangan, terutamanya kewangan Islam. Bukan bermaksud kita perlu memasuki mana-mana pelaburan, main saham dan sebagainya. Tapi cukuplah kita mengetahui apakah jenis transaksi kewangan yang kita lalui saban hari? Ada melibatkan unsur riba’, gharar atau syubhah? Di mana duit simpanan kita? di bank konvensional atau bank islam? apakah jenis perlindungan yang kita gunakan, insurans atau takaful? apa beza antara keduanya?


Saya masih cuba memahami sebaiknya persoalan-persoalan di atas dan banyak lagi persoalan lain untuk dijawab dan mengambil solusi yang disarankan kerana saya masih bertatih dalam mempelajarinya. Dan pencarian ilmu tersebut tidak mungkin pernah tamat. Penyelesaian yang ada tidak bersifat muktamad dan sentiasa boleh ditambah baik. Sedangkan para ulama’ sendiri mengkaji persoalan kewangan ini sabah hari dan waktu. Jadi mana mungkin kita sebagai orang awam dengan mudah berpuas hati dengan ilmu yang telah ada di dada. Hingga kelam hati, gelap jiwa dek kerana kesombongan yang sia-sia.Berlagak pandai dengan manusia seluruhnya.


Mari sama-sama kita mengambil peluang yang masih ada. Menggunakan umur yang masih bersisa. Untuk memahami sesuatu yang sangat hampir dengan kita. Yang boleh menjadikan kita sangat “kaya” ketika menghadap Allah kelak. Dan boleh menjadikan kita begitu “fakir” juga. Sentiasa berusaha untuk membuat pilihan yang tepat. Dan pilihan tepat tidak hadir dengan miskinnya ilmu. Semoga Allah melorongkan jalan kepada kita untuk menjadi hambaNya yang lebih peka dan waspada. InshaAllah...