Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

8/26/2010 10:16:00 AM

RAIHAN feat. ANA MUSLIM

Dihantar oleh thoyyibah

Pada 13 Ogos 2010 yang lalu, Raihan bersama syarikat Ana Muslim melancarkan Album Nasyid Animasi. Melalui album ini, Raihan telah menyanyikan satu lagu bergandingan dengan Ana Muslim, menghasilkan lagu "Salam Ramadhan".

Rentak lagu ini agak berlainan daripada genre biasa yang dibawa oleh Raihan. Agak
catchy dan sesuai menjadi halwa telinga kepada semua peringkat umur di samping mengekalkan mesej-mesej dakwah.

Anda boleh mendengar lagu ini melalui
Facebook Raihan Friends di bahagian music player. Anda juga boleh mendapatkan album ini di kedai-kedai cd yang berhampiran.

Untuk melihat koleksi gambar ketika album ini dilancarkan anda boleh ke Facebook Ana Muslim.

Untuk membaca liputan berita tentang album, sila klik di pautan berikut:
- "Usahlah terlalu harap tajaan"
- Album nasyid animasi Ana Muslim




Salam Ramadhan
Munsyid: Raihan feat. AnaMuslim


Bulan apakah yang penuh kemuliaan,
Bulan Ramadhan...
Di bulan apakah puasa diwajibkan,
Bulan Ramadhan...

Marilah kita sambut
kedatangan bulan suci Ramadhan
dengan hati gembira...
Hilangkanlah kesedihan
kegundahan di hatimu dan juga kegelisahan...
Sambut Ramadhan...

Di bulan apakah malam seribu bulan,
Bulan Ramadhan...
Di bulan apakah zakat fitrah diberikan,
Bulan Ramadhan...

Marilah kita sambut
kedatangan bulan suci Ramadhan
dengan hati gembira...
Hilangkanlah kesedihan
kegundahan di hatimu dan juga kegelisahan...

Marilah kita sambut
kedatangan bulan suci Ramadhan
dengan hati gembira...
Tingkatkanlah amal kebajikan
dengan solat berjamaah
dan bertilawah Quran,
Di bulan Ramadhan...

Sambut Ramadhan,
Dengan hati yang riang berceria,
Hilangkan segala gundah,
Kesedihan,
Yang ada dalam hatimu,
Sambut Ramadhan,
Dengan penuh cinta,
Dengan penuh rasa,
Hidup dalam hatimu,
Dalam jiwa,
Senantiasa menantikan,
Hidup aman semata...
Sambut, sambut Ramadhan

8/22/2010 12:28:00 AM

3 Idiots: Mengongkah arus kebiasaan

Dihantar oleh thoyyibah

3 IDIOTS

Kisah 3 Idiots yang dibintangi oleh Aamir Khan (Rancho), Madhavan (Farhan) dan Sharman (Raju) adalah suatu kisah yang menggambarkan betapa tempangnya sistem pendidikan yang berlandaskan kepada kaedah "hafalogi". Ketiga-tiga mereka menuntut di salah sebuah kolej kejuruteraan yang terkemuka di India. Mereka belajar di kolej yang sama, menjadi rakan akrab dan duduk dalam bilik yang sama, namun masing-masing punya konflik diri yang berbeza.

Filem ini merupakan filem kedua Aamir Khan yang saya telah tonton, yang berunsurkan pendidikan setelah filem Taare Zameen Par yang berjaya merungkai konflik masyarakat dan ibu bapa yang prejudis terhadap kanak-kanak yang istimewa (khususnya kanak-kanak disleksia).


Lelaki = JURUTERA; Wanita = DOKTOR

Ibu bapa yang begitu mengharapkan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, sekolah terbaik dengan fasiliti yang terbaik adakalanya cuba menetapkan takdir hidup anaknya. Maka dalam cerita ini, jantina seorang anak akan menetapkan kerja akan dilakukannya 20 tahun akan datang. Di sinilah kita dapat lihat dua watak utama iaitu Farhan dan Raju yang mempunyai konflik besar dalam memenuhi kehendak keluarga. Bijakkah mereka kerana berusaha menyenangkan hati ibu bapa yang bertindak seperti Hitler? Atau mereka hanya boneka yang tercipta hasil daripada sistem masyarakat yang menekan dan mendesak?



Lahirnya manusia-manusia "MESIN"


Garapan kreatif daripada Pengarah filemnya Rajkumar Hirani (gambar), menghasilkan filem yang membuka pemikiran kita agar keluar dari kepompong pemikiran biasa. Pemikiran yang sangat percaya bahawa dengan markah tinggi yang terpampang di kertas peperiksaan akan menjamin masa depan yang terbaik. Saya percaya di negara kita juga pemikiran ini telah lama "dipupuk". Namun, melalui 3 Idiots, penyangkalan terhadap stigma seperti ini, digambarkan dengan begitu sempurna. Watak Chatur a.k.a Silencer dilakonkan sebagai pelajar yang "hebat" menghafal setiap kandungan buku daripada kulit ke kulit tanpa menghiraukan praktikalitinya. Silencer lahir menjadi manusia "mesin" yang akalnya hanya digunakan untuk menjadi yang pertama dan yang terhebat! Tapi, adakah benar dia yang terhebat??


VIRUS

Di kolej pula, Prof. Viru Sahastrabudhhe a.k.a ViruS, mentadbir kolej yang tersohor itu dengan percaya pada sistem yang secara tidak langsung menyekat kreativiti. Padanya kreativiti yang tidak mengikut seperti norma yang ditetapkan di kolej tersebut hanya akan merosakkan reputasi. Yang penting ialah reputasinya diukur melalui prestasi kolejnya yang sentiasa berada di tempat pertama dalam senarai kolej-kolej terbaik. Perkataan simpati, belas kasihan seakan dipadamkan terus daripada kamus hidupnya kerana padanya perkataan itu akan melumpuhkan strategi "peperangan tekanan" ciptaannya. Dia menanam falsafah dalam diri setiap pelajar "..jika anda ingin berjaya, maka ikutlah cara saya!" Jadi penghasilan pelajar di kolej tersebut sentiasa mengikut acuan tersebut hinggalah hadir the "3 Idiots" menjadi pelajar-pelajar yang cuba membenam falsafah seorang yang bergelar PROFESOR! Berjayakah usaha mereka?


Terima kasih Datuk Saifuddin!

Dalam entri ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memperkenalkan cerita ini. Hal ini berlaku ketika saya mengikuti program Muslim Super anjuran ILuvIslam.com, beliau selaku penceramah pertama, telah serba sedikit menceritakan tentang watak-watak dalam filem ini dan mencadangkan kepada kami untuk menontonya. Malah beliau turut menyewa sebuah panggung wayang semata-mata untuk memberi peluang mahasiswa universiti menonton sendiri cerita ini! Jadi hal ini benar-benar membangkit rasa ingin tahu saya tentang apakah benar-benar terdapat keunikan dalam kisah 3 Idiots.


Sedikit butir mengenai beliau, Datuk Saifuddin Abdullah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau jugalah orang yang bertanggungjawab menongkah pemikir hebat Malaysia, apabila beliau menyuarakan, mahasiswa perlu diberi peluang beraksi di pentas politik. Padanya, biarlah kreativiti mahasiswa itu dikembangkan dalam apa jua bidang, dan bukan membunuhnya! Pemikirannya dan pendapatnya sering sahaja menjadi perhatian saya melalui entri-entri yang ada di laman sesawangnya. Semoga dia berjaya memperjuangkan apa yang diketengahkan.


Refleksi


Akhirnya saya berjaya membuat sedikit review tentang 3 Idiots dalam entri ini setelah agak lama menangguhkan penulisan ini kerana kekangan waktu dan hal-hal lain.

Setelah dua kali saya menonton filem ini, ia sentiasa membuatkan saya bertanya kepada diri, adakah matlamat saya belajar selama ini benar-benar bermatlamatkan ilmu? atau sekadar ingin mendapat kerja? atau sekadar mengejar segulung ijazah? atau hanya ingin menunjuk gah? Adakah sistem pendidikan kita sudah menjamin lahirnya generasi yang inovatif dan saintifik yang dilengkapi dengan nilai-nilai moral sebagai manusia yang holistik?

Dalam hirarki Maslow, tingkat keperluan yang tertinggi bagi seorang manusia adalah self-actualization. Jadi ketika saya mempelajari teori ini saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya kita ingin mencapai tingkat tersebut? Nah! dalam filem ini anda akan bertemu jawapannya.

Jadi saya cadangkan kepada sesiapa yang belum menonton filem ini terutama kepada mahasiswa, ibu bapa, pelajar sekolah dan mereka yang ingin memahami makna sebenar pendidikan, untuk memberi sedikit ruang dan masa melihat sendiri bagaimana dunia ini bukan mustahil untuk diubah sistemnya walaupun ia akan mengambil masa yang lama. Yang penting ialah kita punya daya usaha dalam merencana dan melaksana. Selamat Menonton!

8/11/2010 01:43:00 PM

Ramadhan bertamu, Palestin tetap dalam sendu

Dihantar oleh thoyyibah

Di permulaan Ramadhan yang mulia ini, ingin saya kongsikan coretan penderitaan rakyat dan kanak-kanak Palestin khususnya, yang hingga saat ini mengharungi pelbagai kesulitan yang tidak tergambar seksanya. Tapi apa agaknya yang telah kita lakukan untuk mereka? Berjayakan usaha boikot kita? Adakah kekuatan ekonomi kita lebih hebat daripada Yahudi Laknatullah? Adakah telah sampai segala sumbangan yang kita ingin salurkan kepada mereka? dan adakah doa kita untuk memerdekakan Palestin telah dimakbulkan Yang Esa?

Kembalilah menginsafi diri, kerana setelah pelbagai usaha dilakukan, hasilnya masih tidak kelihatan. Sebelum kita meminta saudara kita di Palestin dibebaskan, hendaknya kita sendiri membebaskan diri dari penjara nafsu dan sifat mazmumah yang menipu. Semoga berkat bulan al Mubarak ini, doa kita kepada mereka akan semakin hebat dan semoga Allah memenangkan Islam akhirnya di Palestin dan setiap penjuru dunia... ameen~



TRAUMA PENDERITAAN KANAK-KANAK PALESTIN

Pada 27 Disember 2008, Israel memulakan serangan dan pengeboman selama 23 hari di Gaza menyebabkan 1400 penduduk wilayah itu terkorban.

Kini, satu generasi kanak-kanak Palestin terus membesar bersama ingatan ngeri kemusnahan dan kesengsaraan yang mereka alami. Namun, di sebalik trauma dan penderitaan, pengalaman getir menjadikan jiwa mekera semakin kental.

Ghiada Abu Elaish hanya memandang sayu sambil meramas-ramas jari jemarinya, sewaktu mengenang kembali hari paling memilukan itu, apabila serangan bom tentera Israel membunuh empat orang sepupunya dan menyebabkan dia sendiri koma selama 22 hari.

Namun di sebalik penderitaan, kecederaan dan berpuluh pembedahan yang sudah dan akan dijalaninya, Ghiada ternyata seorang yang tabah dan masih mampu mengukir senyuman manakala keyakinan terhadap masa depan dirinya yang lebih baik tidak pernah goyah.

Ghiada tidak akan melupakan tarikh 16 Januari apabila tragedi menimpanya ketika dia mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Bapanya seorang ahli farmasi baru saja bangun tidur, meminta teh dan menyuruh kanak-kanak yang lebih kecil agar tidak membuat bising.

"Tiba-tiba saya terdengar sepupu saya di tingkat bawah berteriak... "mati! mati!". Sebutir bom terkena bangunan lima pangsapuri yang menempatkan kediaman keluarga kami. Tingkap pecah dan pangsapuri di tingkat bawah rosak teruk," katanya.

"Saya nampak sepupu saya, Aya terlentang di lantai dengan serpihan perabot di atas tubuhnya. Ada sebuah lubang besar di dinding," katanya.

Ghiada cuba menarik Aya dari perabot itu, tetapi satu lagi letupan bom kedengaran.

"Saya nampak sinaran cahaya yang besar. Saya melihat tingkap pecah dan jeritan di merata tempat. Serpihan bom terkena saya dan saya sempat menjerit sebelum rebah tidak sedarkan diri." katanya.

Serangan yang berlaku ke atas keluarga Ghiada adalah antara tindakan rejim Zionis yang tidak terkira jumlahnya dalam tempoh 23 hari peperangan di Gaza dikenali sebagai Operation Cast Lead yang bermula 27 Disember.

Ia juga antara serangan paling kejam kerana bapa saudara Ghiada yang juga bapa Aya adalah seorang doktor yang bekerja di hospital Israel dan amat dikenali kerana memperjuangkan keamanan dan perdamaian di wilayah itu.

Sepanjang tempoh konflik, Dr. Izzeldin Abu Elaish terus menerus memberi maklumat melalui telefon dalam bahasa Hebrew kepada stesen televisyen Israel.

Beberapa minit selepas serangan ke atas keluarganya, beliau menelefon studio di Tel Aviv sambil menangis dan merayu meminta pertolongan dalam siaran yang turut didengar penduduk Israel... "Anak perempuan saya terbunuh".

Aya, 14, sepupunya Bissan 20, Miar, 15 dan seorang lagi sepupu Nour, 17, terbunuh dalam serangan itu, manakal Ghiada sendiri cedera parah. Seorang lagi anak Dr. Izzeldin turut cedera.

Remaja yang cedera itu segera dibawa ke hospital di Tel Aviv di mana Ghiada dikesan menghadapi pelbagai masalah jantung, buah pinggang, perut dan kaki. Dia beraa di hospital berkenaan selama empat setengah bulan sebelum dibenarkan keluar.

Ghiada berkata dia selalu teringat akan tragedi yang menimpanya tetapi cuba melindungi perasaannya.

"Apabila saya menangis saya masuk ke dalam bilik dan menangis sendirian," katanya.

Tragedi yang menimpa keluarga Abu Elaish dianggap luar biasa kerana ia menarik perhatian penduduk awam Israel, tetapi penderitaan yang dialami Ghiada turut dikongsi kira-kira 750,000 kanak-kanak di Gaza, yang juga separuh populasi wilayah itu.

Perang 23 hari itu hanyalah sebahagian kisah keperitan yang mereka alami. Serangan demi serangan oleh Israel ke atas Gaza dan sekatan sejak dua setengah tahun lalu apabila Hamas mengembil alih kuasa, menjejaskan semua aspek kehidupan kanak-kanak wilayah itu.

Kajian oleh Program Kesihatan Mental Masyarakat Gaza (GCMHP) awal tahun ini mendapati kira-kira 75% kanak-kanak berusia lebih enam tahun mengalami satu atau lebih masalah kemurungan dan tekanan.

"Majoriti mereka mengalami tekanan psikologi dan sosial teruk. Perasaan tidak selamat dan tidak berdaya amat ketara. Mereka mudah gementar, sukar tidur, kerap mengigau, kencing malam dan enggan tidur bersendirian. Sebilangan yang lain menjadi lebih agresif." kata pakar psikologi GCMHP Dr. Hasan Zeyada.

Profesor psikiatri di Universiti Al-Quds, Dr. Abdel Aziz Mousa Thabet berkata konflik itu memberi kesan berbeza antara kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Kanak-kanak perempuan menjadi semakin resah dan murung, manakal kanak-kanak lelaki lebih hiperaktif. Sebilangan lagi beranggapan rumah bukan lagi tempat selamat manakala yang lain tidak lagi mempunyai rumah. Serangan Israel memusnahkan lebih 20,000 buah rumah menyebabkan penghuninya terpaksa tinggal di khemahatau menumpang saudara mara. Ibu bapa yang kecewa tidak lagi dapat menjadi contoh yang baik kepada anak," katanya.

Pengarah Operasi PBB di Gaza, John Ging berkata antara masalah yang ketara ialah kurangnya tempat untuk berhibur bagi kanak-kanak. Hanya ada beberapa taman, tiada panggung atau teater, manakala kebanyakan kemudahan sukansama ada rosak teruk atau musnah sama sekali.

Salah satu tempat menarik di Gaza ialah pesisir pantai sepanjang 40 KM menghadap laut Maditerranean, malangnya ia mempunyai bahaya tersembunyi.

"Pada musim panas, ramai keluarga Palestin pergi ke pantai itu untuk berkelah. Malangnya di pantai itu jugalah 20 juta gelen sisa kumbahan dibuang setiap hari, selepas kemudahan pembuangan sisa kumbahan dimusnahkan bom Israel pada 2006, menyebabkan ramai kanak-kanak menderita sakit kulit dan jangkitan bakteria kerana berenang dalam air tercemar," katanya.

Jumlah sekolah yang ada juga tidak mencukupi. Dua pertiga daripada 221 sekolah PBB dan sejumlah sekolah milik kerajaan, musnah dalam satu serangan Israel. Tidak ada satu pun daripada sekolah ini dapat diperbaiki kerana rejim Zionis melarang bahan binaan dibawa masuk ke Gaza dengan alasan ia boleh digunakan untuk membuat senjata.

"Mereka juga kekurangan peralatan menuli, manakal keadaan begitu teruk sehingga tiga murid terpaksa berkongsi satu meja. Seorang dariapda setiap lima murid dalan kalangan 200,000 pelajar, gagal dalam mata pelajaran Bahasa Arab dan Matematik," katanya.

Ging berkata PBB juga mula menyediakan makanan untuk murid kerana ramai di antara mereka datang ke sekolah tanpa bersarapan, kelaparan dan menyebabkan mereka tidak dapat memberi perhatian kepada pelajaran.

Badan bukan kerajaan, Save the Children, berkata semakin ramai bayi yang dilahirkan mengalami masalah kekurangan zat makanan dan penyakit kurang darah semakin menjadi perkara biasa dalam kalangan bayi perempuan.

Zeyada pula berkata, kanak-kanak menyaksikan penderitaan ibu bapa yang gagal memenuhi keperluan mereka.

"Mereka mengadap Tuhan, kembali kepada agama dan menjadi lebih fanatik, manakala sebilangan menyertai pejuang Hamas dan kumpulan pemisah lain."

"Tanpa harapan, kanak-kanak terbabit akan menjadi semakin agresif. Jika sekatan dihapuskan, anda akan melihat perubahan positif dalam kalangan mereka."

"Israel sedang mewujudkan generasi baru kanak-kanak yang percaya kepada keganasan sebagai cara mengatasi penderitaan. Zionis membentuk musuh masa depan mereka sendiri," katanya.


Sumber: Berita Harian (Shamsiah Sanin, Wartawan Meja Luar Negara)



Jika anda ingin mnghulurkan sumbangan,
sila berbuat demikian melalui

TABUNG KEMANUSIAAN
&
PENDIDIKAN PALESTIN

nombor akaun:
RHB Islamic
21401360010196


TELL ME WHY
[Declan Galbraith]

8/06/2010 12:43:00 PM

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Dihantar oleh thoyyibah



Ahlan wasahlan marhaban
Ahlan wasahlan ya Ramadhan
Ahlan wasahlan marhaban
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Ramadhan menjelma lagi
Menghimpun rahmat dan maghfirah
Bertambah keberkatannya
Dengan amal ibadah
Diri Tunduk keinsafan
Dan rasa berdosa

Bulan kemuliaan
Yang dikurniakan ini
Usah biarkan berkatnya
Berlalu sia-sia saja
Ia hadir bagai air bah
Membasuhi daki dunia

Sambutlah ramadhan dengan jiwa terbuka
Seperti ketibaan orang yang kita cinta
Dengan ucapan ahlan wasahlan
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Hati gembira
Pintu terbuka
Rahmat Allah Yang Maha Besar

Ditaburi mutiara hikmah Al-Quran
Lantas dibelenggu nafsu dan syaitan
Didatangkan pula Lailatul Qadar
Pengorbanan yang dibuat
Balasannya syurga