Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

3/12/2011 09:53:00 PM

Ujian pasti datang...

Dihantar oleh thoyyibah

Ujian dari Allah itu suatu perkara yang pasti. Cumanya kita tidak mengetahui bila dan jenis ujian yang bakal menimpa. Segalanya hanya berada di bawah pengetahuan Yang Esa. Dan bila ujian menimpa, bagaimanakah caranya pula kita ingin menghadapinya? Mudah menyebut redha dan sabar... Tapi ia amat sukar jika kita menjadi insan yang sentiasa ingin menyalahkan takdir atau menyatakan ujian itu hanya satu kebetulan. Ujian boleh meningkatkan takwa. Tapi ramai juga yang terheret lebih jauh dari menginsafi jauhnya diri dengan Ilahi.

Keruntuhan moral, kemelaratan penyakit, kemiskinan, krisis makanan, pergolakan politik dan bencana alam adalah antara ujian berskala besar yang menimpa banyak negara ketika ini. Ia menuntut muhasabah bukan seorang dua, tapi keseluruhan rakyatnya dan semua penduduk dunia.


Pergolakan Politik


Politik itu tentang kuasa dan pengaruh. Bila politik itu dikendali mereka yg buta pada keadilan dan amanah, maka keduanya itu menjadikan manusia merasakan diri mereka boleh memonopoli dan melakukan apa sahaja. Tidak kira dengan cara apa sekalipun, kedudukan di atas tu sentiasa menjadi kegilaan mereka...

Baru-baru ini, di Sudan, Mesir, Yaman, Tunisia, Bahrain, Libya dan beberapa lagi negara mengalami pergolakan politik yang hebat. Rakyat mula bangkit menentang penguasa kuku besi di negara masing-masing. Manifestasi kebangkitan ini memberi gambaran bahawa rakyat yang di bawah ini boleh bangkit bila-bila masa. Umpama bom jangka yang tersembunyi di balik kerakusan pemerintah zalim. Ketika ini "bom" tersebut seakan meletus hampir serentak. Namun begitu, lebih sedih ialah pergolakan ini berlaku di negara-negara Islam. Tapi entah ke mana menghilangnya prinsip Islam dalam amalan politik mereka. Diharap pemerintah di Malaysia mengambil pengajaran atas setiap pergolakan yang berlaku di negara-negara ini.


Bencana Alam

Sesungguhnya tangan-tangan manusia jua lah yang menjadi asbab turunnya peringatan dan amaran dari Allah seperti yang dirakamkan dalam Surah Al-Ruum, ayat 41, yang bermaksud, "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insan dan bertaubat)"


Dalam beberapa waktu ini, banyak negara yang ditimpa bencana yang tak terduga. New Zealand dan Australia diuji dengan gempa bumi juga banjir. Malah kita di Malaysia juga baru sahaja pulih dari musibah banjir di beberapa buah negeri.

Dan semalam, kita dikejutkan pula dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di negara matahari terbit. Negara Jepun yang sangat gah dengan kemajuan teknologi langsung tidak dapat berbuat apa-apa bila bencana ini melanda. Kerdilnya "kuasa" manusia yang dikata paling maju dan hebat itu...

Takziah buat mereka yang kehilangan ahli keluarga dan mengalami kemusnahan harta benda. Semoga mereka sentiasa tabah menghadapi hari-hari mendatang dan bangkit dari kesedihan.



Realiti Derita


Suatu ketika,
Ikan gelisah berkata bisu petanda,
Bangau bertebaran rapat litupi awan sirna,
Tuntas tersentak gelora, menggeletak dunia,
Ditujah tsunami, menjemput nyawa siapa?

Bertempiaran segala terkesan kencang di dada,
Menggapai harap antitesis norma derita,
Dan hitam arus perlina manjanya,
Membaham hanyut turut telunjuk Yang Esa,

Di sisi lesu bersimpuh si ibu,
Mendakap anaknya, terbujur terkaku,
Bergenang air mata hibanya rasa,
Yang dimiliki semalam berkecai sekelip mata,

Sedarkah kita mengapa berlaku,
Dek rakusnya jiwa bertandang alpa,
Amaran Allah menerjah tiba-tiba,
Namun merana bukan hanya pada yang leka,
Insan zuhud turut dijemput dan diduga Pencipta,

Jelaslah janji Tuhan tak kenal siapa,
Yang pasti...
Kita yang bernyawa perlu mengambil iktibar darinya...

Nukilan: thoyyibah (2005)



Pedulikah kita??


Jika ini caranya Allah menegur kekhilafan manusia, sejauh mana kejadian ini menyedarkan kita seterusnya membuat koreksi pada lisan dan tindakan? Tapi nampaknya kedegilan manusia untuk belajar dan mengambil iktibar mungkin menjadi sebab Allah mendatangkan musibah-musibah seperti ini berkali-kali.

Impak dari segala yang terjadi mungkin akan menjejaskan ekonomi banyak negara seperti yang digembar gemburkan oleh media massa. Namun yang lebih penting, adakah ia akan memberi kesan perubahan kepada peradaban dan sahsiah manusia? Adakah kita akan menjadi lebih bertamadun? atau..... kita kembali rakus dan lupa pada segala musibah yang telah berlaku...

Sedarlah diri wahai thoyyibah... bumi ini milik Allah... patuhlah padaNya agar hidup tenang di dunia dan bahagia di sana... ameen ya Rabb~