Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

6/07/2011 10:21:00 AM

Aib dan Benci

Dihantar oleh thoyyibah

"Aku bukan nak mengumpat, tapi kau nak tahu, si pulan tu DULU pernah minum... sekarang je duk berlagak alim..." kata Peah kepada Joyah.

Joyah menambah ajinomoto, "Oh, ye ke... aku pun ada dengar DULU dia tu kaki perempuan. Tak sangka kan. Ingatkan baik sangat!"

....


"Huh! panas telinga aku dengar ceramah dia... tak sedar diri DULU banduan... ada hati nak nasihat orang lain!" seorang pak cik tua menggomel ketika berada dalam majlis ilmu.

"Tak baik mengata orang. Mungkin dulu dia pernah melakukan noda. Tapi mungkin juga sekarang dia telah bertaubat. Sebab itu dia nak lakukan kebaikan setakat yang dia mampu" kata Zul kepada pak ciknya yang sedang panas hati.

"Ah! mana kau tau dia dah bertaubat?? Ini semua topeng je. Masa dia buat semua tu, kau mana kenal dunia ni lagi!" sergah pak cik tua itu lagi.

...

"Si pulan tu sebenarnya anak luar nikah. Dah asalnya macam tu, dah tentu dia pun sama macam mak bapak dia. Kau jangan nak berkawan dengan dia. Mak tak nak anak mak berkawan dengan orang jahat" kata seorang ibu yang ingin menjadi 'savior' anaknya.

...





Insafi diri sendiri sebelum berhajat untuk membuka aib saudara kita


Dulu, dulu dan dulu... penghakiman kita kepada seseorang seolah-olah menamatkan segala episod kebaikan yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya atau setelah dia menagih taubat pada Yang Esa.

Adilkah kita bersikap demikian, prejudis pada setiap kata dan perilaku hanya kerana perkara DULU. Apakah kita punya hak untuk menentukan nilai taubat seseorang? Sudah tentu jawapannya tidak.

Lupakah kita akan keburukan dan aib diri kita sendiri yang Allah telah pelihara dari dimomokkan di khalayak ramai? Atau kita beranggapan kita manusia suci, putih, bersih tanpa sebarang daki sepanjang kita bernafas di bumi, makanya kita layak menjadikan kejian sebagai penghakiman kepada setiap insan yang kita benci?

"...maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa." (sebahagian ayat 32, Surah An Najm)


Rasulullah S.A.W. bersabda, mafhumnya;

"Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya." -HR. Muslim, Abu Daud & At Tarmizi



Benci membenih sikap zalim

Hate the sin, not the sinner.

Sering sahaja kita dengar ayat ini. Namun praktikalitinya masih kurang kerana dalam diri kita sendiri cenderung untuk membenci secara pukal. Tambah buruk, kita bukan sahaja membenci pelaku dosa itu. Tapi kita heret juga insan-insan yang berada di sekelilingnya dan segala keturunannya.

Benci dalam hati yang membusut itulah menimbulkan keinginan membuak-buak untuk membuka aib orang lain agar dia dapat lihat insan tersebut, jatuh tersungkur dan hidup terhina. Dari membuka aib juga terlahir fitnah apabila cerita sebenar ditokok tambah.

Andai si pulan itu ingin berkahwin, maka rosaklah segala impiannya apabila dirinya dikata orang pernah melakukan onar.

Andai si ibu dalam kesyukuran ingin menyambut kelahiran, tiba-tiba dimaki suaminya kerana si suami termakan dengan kata orang anak itu bukan anaknya.

Andai dia anak yang baik, tapi dihambat bapanya, bila si bapa di'beritahu' bahawa anaknya pernah mencuri.

Andai seorang yang pak kiyai di usia senja ingin berkongsi dan didekati masyarakat, tapi dipulaukan kerana kisah zaman mudanya disebarluaskan.


Segala harapan hancur. Maruah seakan dipijak-pijak.

Dan padanya penyebar aib, itu adalah suatu kepuasan! Dia seakan merasa dirinya diangkat menjadi hero sepanjang zaman.

Ah...zalimnya manusia...


Andai kata kita tidak termasuk dalam golongan di atas, seharusnya kita akan mampu mendoakan kebaikan dan keampunan kepada si pulan serta memohon agar dia ditunjuki jalan hidup yang sebenar jika benar dia melakukan kesilapan.


Hentikan!

Perbuatan membuka aib saudara seIslam kini sudah menjadi suatu kebiasaan. Lihat sahaja dalam dunia hiburan dan politik. Ia seakan dianggap hiasan dan kemestian, bukan kecelakaan.

Malah salah satu cara untuk menaikkan populariti dan reputasi diri sendiri adalah dengan mendedahkan pekung pesaing sekelilingnya.

Trend jatuh menjatuhkan ini takkan ada kesudahan andai al-Qalb tidak dirawat. Salah satu caranya adalah dengan menyedari dosa-dosa yang kita lakukan setiap detik.

Begitu banyak masa yang kita peruntukkan untuk mencari bukti keaiban orang lain, sehingga kita lupa memperuntukkan waktu untuk diri sendiri; untuk menyedari kelemahan dan mensyukuri kelebihan.

"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya, Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya." -HR. At Tarmizi

Ingatlah semakin banyak aib orang lain yang kita buka, ia semakin memperlihatkan keaiban kita. Jika hormat dan martabat dalam kalangan manusia yang kita damba, menjadi asbab aib orang lain menjadi senjata ampuh kita, maka tiadalah keduanya melainkan diri kita semakin hina di sisiNya.

Kembalilah kepada fitrah diri kita yang ingin mengasihi dan dikasihi. Dan kasih sayang itu tidak hadir dengan kita menyubur benci dan iri.

Siapa pun kita dahulu, biar Allah sahaja yang tahu. Begitu juga saudara-saudara kita. Setiap insan punya jalan kehidupan yang tersendiri. Segala kisah itu terhimpun buat pedoman agar kita mencari celah-celah sunyi untuk mengabid diri pada Ilahi. Semoga Allah mengampuni keterlanjuran lidah ini dan segala cela yang ada padanya... ameen~



Firman Allah;

Katakanlah (wahai Muhammad) "Ingin aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?". Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (ada pula) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah, Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.

(Iaitu) orang-orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka"

-Surah Ali Imran: 15 - 16