Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

7/28/2009 02:42:00 AM

Berperasaan dan Berfikir

Dihantar oleh thoyyibah

Beberapa hari ini, ada beberapa video yang sempat saya lihat isinya. Mungkin sahabat-sahabat telah melihatnya. Cuma ini sekadar perkongsian saya di sini. Mungkin boleh menjadi halwa jiwa dan penenang hati. InsyaAllah...
















7/28/2009 02:09:00 AM

Model Teori Realiti Glasser

Dihantar oleh thoyyibah

Semenjak menjejakkan kaki ke sekolah ni, saya mula memerhatikan murid berdasarkan segala macam teori yang telah dipelajari masa dalam kuliah. Orang kata, bila kita dah mengajar, biasanya teori-teori yang menimbun tu hanya akan dibakulsampahkan sahaja.. betul ke? Pandangan saya, ini adalah kenyataan orang yang malas untuk menganalisa dan malas untuk berfikir. Saya tidak tujukan pernyataan kepada orang lain kerana saya sendiri ada sikap ini. Buat apa kita nak menyusahkan diri memikirkan teori-teori yang dikemukakan orang lain sedangkan kita sendiri ada cara yang lebih baik. Wah...hebat betul bunyinya tu.. Sinis kepada diri sendiri.

Saya cuba mengheret diri sendiri ke zon yang kurang selesa yang memaksa saya untuk lebih menggunakan nikmat akal yang Allah beri ini. Melihat dan memerhatikan tingkah laku anak murid dan guru-guru lain yang ada di sekeliling saya. Membandingkan tabiat dan sikap mereka dengan latar belakang mereka setakat yang saya tahu.

Saya mula membaca semula tugasan-tugasan yang saya siapkan beberapa tahun lepas tentang Model Teori Realiti Glasser yang bersangkutan dengan cara mendisiplinkan murid menggunakan pelbagai langkah dan peringkat. Kalau anda berminat, anda boleh teruskan pembacaan untuk melihat isi kandungan teori ini. Jika tidak, berhenti sahaja membaca entri ini. Banyak lagi urusan yang mungkin anda boleh selesaikan. Jika ada sebarang kemusykilan, ada boleh google atau rujuk kepada buku-buku tentang ilmu pendidikan.

http://www.strategiesforliving.com/images/Dr_William_Glasser2.jpg

Tahun 1965, William Glasser mengemukakan Model Terapi Realiti yang menerima bahawa tingkah laku secara luarannya dipandu motivasi dalaman. Model ini adalah berdasarkan tiga prinsip berikut:

i. Individu bertanggungjawab terhadap tingkah lakunya sendiri. Tingkah laku tidak dihasilkan dari persekitaran masyarakat, pewarisan atau masa lampaunya.

ii. Individu boleh hidup dengan lebih baik apabila diberi bimbingan dan sokongan.

iii. Individu berkelakuan dalam pelbagai tingkah laku supaya persekitarannya sesuai seperti mana yang ia kehendaki.

Teori ini sering dikaitkan dengan Teori Kawalan dan Teori Pilihan.

TEORI KAWALAN (1970):

“Kita cuba mengawal tingkah laku supaya apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang paling memuaskan hati kita pada waktu tersebut.”

TEORI PILIHAN (1988, 1997)

“Semua tingkah laku manusia dihasilkan melalui apa yang terjadi dalam diri manusia (diluahkan dari dalam diri kepada tingkah laku dan perbuatan).”

Menurut Glasser (1984, 1996), pelajar memerlukan 4 keperluan, iaitu:

i. Keperluan untuk memiliki. (memiliki kawan, terlibat dalam aktiviti kelas bersama guru)

ii. Keperluan terhadap kuasa/pengaruh. (mempunyai rasa diperlukan, disedari kehadirannya oleh orang lain, dan rasa ingin bersaing)

iii. Keperluan terhadap kebebasan.(pelajar bebas membuat pilihan menggunakan kemahiran membuat keputusan mereka sendiri)

iv. Keperluan untuk berseronok.

Dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar tentang tanggungjawab mereka dan bagaimana membuat pilihan yang tepat, Glasser telah menghasilkan 10 langkah disiplin, iaitu:

1. Apabila masalah disiplin berlaku, guru perlu mengambil masa memikirkan tingkah laku pelajarnya bagi mengetahui adakah guru tersebut menjadi penyebab berlakunya masalah disiplin tersebut. (Guru buat analisis tingkah laku pelajar)

2. Guru perlu menentukan cara untuk menguruskan tingkah laku pelajar berdasarkan pengalamannya berhadapan dengan situasi yang sama pada masa lepas.

3. Guru mengatasi masalah tingkah laku dengan 2 cara:

i. Sesi pengajaran dan pembelajaran yang relevan dan menarik

ii. Membina hubungan baik dengan pelajar

4. Guru perlu bertanyakan kepada murid “Apa yang kamu lakukan?” daripada bertanyakan “ Mengapa kamu lakukan perkara tersebut?” bagi mengelakkan pelajar menjadi bingung. Apabila pelajar menyedari apa yang dilakukannya itu salah, maka dia akan mula berfikir tentang kesalahan tersebut dan tidak mengulanginya.

5. Guru membuat perbincangan dengan pelajar tersebut.

6. Pelajar akan disuruh membuat perjanjian untuk mengubah tingkah laku mereka kepada yang lebih baik.

7. Jika tidak berkesan, pelajar perlu diasingkan dengan menggunakan kaedah “time-out” yang dilakukan dalam kelas. Ketika ini pelajar tidak boleh terlibat dalam aktiviti kelas sehingga dia memperbaiki perjanjiannya, atau membuat perjanjian yang baru.

8. Jika tidak berhasil, pelajar tersebut perlu diberi kelas tahanan. Dicadangkan guru yang menyelia kelas tahanan tersebut adalah guru yang berhemah dan menjadi pilihan pelajar yang ditahan.

9. Apabila pelajar tidak dapat dikawal, ibu bapa perlu diberitahu dan pelajar digantung persekolahan selama sehari.

10. Langkah terakhir ialah, pelajar perlulah tinggal di rumah atau dirujuk kepada agensi dapat mengendalikan masalah dan kehendak pelajar tersebut.


7/22/2009 11:30:00 PM

Hati Seorang Guru..

Dihantar oleh thoyyibah


Hari ini masuk minggu keempat aku menjalani praktikum ke-2 di SK SENTUL (1). Sekolah yang mempunyai enrolmen murid melebihi 1000 orang. Makin kemas rasanya langkahku untuk berhadapan dengan cabaran bergelar seorang pendidik. Walaupun masih ada ketempangan di sana sini, semua itu akan aku cuba perbaiki berbekalkan nasihat daripada guru senior yang ada. Di sekolah ini aku mengajar 5 daripada 6 kelas Tahun 5 dan 1 kelas Tahun 4. Jadi semuanya ada 6 kelas. Untuk Tahun 5, aku berpeluang mengajar kelas yang dikatakan bijak hinggalah kelas yang sebahagian ahlinya masih tidak boleh mengeja. Jadi pendekatan untuk setiap kelas berbeza mengikut tahap mereka.

Seronok mengajar. Terharu setiap kali masuk ke kelas, dan mereka memberi salam kepadaku. Ada satu kelas yang menarik perhatianku apabila mereka mengucapkan "terima kasih". Apabila aku menyuruh mereka duduk atau aku ingin menamatkan kelas, mereka akan mengucapkan "terima kasih cikgu thoyyibah, tambah rezeki, ameen..." Setiap kali aku mendengar ucapan mereka, aku akan tersenyum sendiri. Mungkin guru kelas mereka yang mengajarkannya. Aku tak pasti. Yang pasti, aku senang mendengar mereka melafazkan ucapan tersebut.

Ada satu peristiwa yang sangat menyentuh emosiku ketika di kelas 5 Zuhal (kelas keempat drpd 6 kelas) ketika aku mengajarkan mata pelajaran Kajian Tempatan untuk tajuk "Pembukaan Melaka". Disebabkan minatku dalam mata pelajaran Sejarah yang agak kuat, maka aku cukup bersemangat mengajar mata pelajaran ini. Sebaik mungkin aku cuba menyampaikan fakta-fakta yang terkandung dalam buku teks dalam bentuk naratif. Berjalan di sekeliling kelas. Bertanya kembali kepada mereka. Sehinggalah aku pasti semua murid benar-benar faham apa yang aku sampaikan. Lontaran suaraku seboleh mungkin aku tingkatkan agar semua murid mendengar. Dan ketika habis kelas tersebut, seorang murid berkata kepadaku, "Cikgu, seronoklah cikgu mengajar. kalau macam ni, ktorg boleh jadi pandai.." terkedu seketika aku mendengar kata-kata ini. Aku pandang wajah murid tadi untuk melihat riak mukanya. Dari telahanku, aku melihat keseronokan dan keikhlasan di wajahnya. Lantas aku menjawab "Baguslah.. semua cikgu nak awak pandai.." Benarlah..kejayaan murid adalah hadiah yang paling bermakna buat guru. Dan yang lebih bermakna ialah, apabila kita melihat murid yang kita didik menjadi insan yang tahu menghormati dan menjaga perasaan orang lain. Sopan dalam tutur kata dan beradab ketika berada bersama kita. Ya Allah..berilah kehidupan yang terbaik buat murid-muridku....ameen...

Kini, bila aku merenung satu-satu wajah anak muridku, hatiku yang paling dalam terasa sayu. Sungguh... kasih sayangku pada insan bergelar murid kini telah mengalir. Aku tidak sedar bila ia bermula. Tapi yang aku pasti, aku sentiasa ternanti-nanti waktu untuk melangkahkan kaki, masuk ke kelas. Aku tahu amanah mencurah ilmu bukanlah tugas yang mudah. Namun tekad di hati aku bulatkan dalam menjalankan amanah tersebut semampu aku..

Murid-muridku ada yang nakal, ada yang patuh, ada yang aktif, ada yang pasif. Semua ini adalah warna-warni setiap kelas yang aku masuki. Dahulu aku biasa dimarahi guru. Kini aku pula yang memarahi anak muridku dek kerana kedegilan mereka. Tapi marahku kerana aku sayang pada mereka. Ya......memang ini yang selalu cikgu-cikguku ucapkan. Aku sangat2 memahaminya sekarang. Dan aku mula mengerti bagaimana hati seorang guru bila berada bersama muridnya. Kerana sangat jelas setiap kali aku memandang mereka, aku melihat siapakah mereka 10 atau 20 tahun akan datang. Aku tidak mahu mengabaikan setiap seorang daripada mereka. Berdosalah aku jika disebabkan ketidakprihatinan aku itu menyebabkan masa depan muridku kelam.

Tugas seorang guru diakui amat berat. Terpikul satu2 dibahunya harapan setiap ibu ayah yang ingin anaknya dibentuk dengan baik. Ditambah pula dengan kerja-kerja sampingan yang pelbagai. Tapi buat masa ini aku merasakan, masuk ke kelas dan mengajar itu adalah perkara yang menjadi kekuatan utama untuk aku terus berada dalam lapangan pendidikan ini.

Untuk minggu-minggu akan datang sebagai guru praktikum, aku akan cuba manfaatkan sebaiknya. Agar pengalaman yang dikutip dapat menjadi penguat diri dalam menghadapi ujian sebagai seorang guru insyaAllah pada tahun 2011... "Pengalaman Adalah Kekuatan"...

Banyak sebenarnya kisah sepanjang menjalani praktikum kali kedua ini. InsyaAllah, pada minggu terakhir atau selepas aku tamat praktikum di sekolah ini, aku akan cuba nukilkan serba sedikit pengalaman praktikum dalam entri di blog ini. Sehingga lain kali...

7/18/2009 02:41:00 AM

K.A.D '09 (GAMIS & Rabbani)

Dihantar oleh thoyyibah


(klik pada gambar di atas untuk maklumat lanjut)



(klik pada gambar di atas untuk membuat tempahan tiket secara online.)


Assalamua'laikum.. kepada mana-mana pelajar IPGM KBA yang berminat untuk pergi ke Konsert Antara Dunia (KAD '09) anjuran GAMIS bersama-sama dengan Rabbani Production ini, bolehlah berhubung dengan saya,
sofizz08@yahoo.com.my (0133839882). Sekiranya penyertaan daripada warga IPGM KBA amat menggalakkan, tempahan bas IPGM KBA akan cuba dibuat secepat yang mungkin. Wassalam...

7/18/2009 12:48:00 AM

Selamat Datang ke Dunia Pendidikan

Dihantar oleh thoyyibah

Pada 13 Julai yang lepas seramai 250++ pelajar baharu ambilan Julai 2009 utk kursus Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (P PISMP) mendaftarkan diri ke IPGM KBA. Seperti biasa MPP terlibat dalam menguruskan perjalanan Program Minggu Pengurusan Pelajar Baharu. Jadi bagi MPP yang terlibat dengan praktikum di sekolah turut perlu turun padang untuk memastikan program dilaksanakan dengan baik. Saya ucapkan terima kasih kepada Fazril n d team yg membentuk j/k untuk melancarkan program seminggu ini. Memang j/k yang dibentuk sangat2 membantu kelancaran seluruh gerak kerja program.

Saya meluangkan masa setiap malam untuk bersama-sama dengan junior dan berkenalan dengan mereka kerena pada siang hari saya akan ke SK Sentul (1) menjalani praktikum. Kalau diikutkan dengan kesibukkan praktikum, memang tak sempat sebenarnya nak ikut turun melihat program mereka. Tapi bila difikirkan pentingnya untuk saya dan mereka saling kenal, maka saya tetap luangkan masa yang sedikit tu. Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang perlu disiapkan setiap malam terpaksa bertangguh sebab tak sempat nak buat Jadi malam Jumaat kena berjaga sampai pukul 4.30 pagi siapkan 7 RPH sekaligus. Fuh..pastu mata jadi zombie..hehe..

Sebenarnya seronok melihat warga IPGM KBA makin bertambah walaupun ia menyebabkan kesesakan di bahagian penempatan kolej kediaman Pantai Puri. Gembira tengok profesyen keguruan semakin mendapat tempat di hati pelajar-pelajar sekarang. Yang masuk pun bukan calang-calang. Ada yang result SPM mantap, ada yg bekas pelajar SBP, ada dari sekolah sains dsb. InsyaAllah, lepas latihan 5 tahun setengah kt IPG, mereka inilah akan menjadi guru-guru yang berkaliber, menjana manusia menjadi manusia.

Saya ucapkan selamat datang ke dunia pendidikan kepada semua pelajar baharu... Selamat datang ke IPGM KBA. Tetapkanlah matlamat kalian. Tidak perlu lagi ragu atas keputusan yang telah kalian pilih. Walaupun bidang perguruan bukanlah bidang yang menjanjikan kehidupan yang mewah, menjadi jutawan atau hartawan, dan anda juga tidak dapat membuat orang lain jadi kaya dengan memberikan wang bantuan setiap hari. Tetapi sebenarnya di sebalik semua itu yang lebih bermakna lagi ialah, kalian diberi ruang untuk menikmati suatu kepuasan dalam setiap hela nafas kalian dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada orang lain. Semoga kita semua dapat menjalin ukhuwah fillah dalam dunia perguruan ini dalam usaha menguatkan semangat kekitaan dan bekerjasama dalam melahirkan generasi masa hadapan yang mampan jiwa dan akalnya. InsyaAllah...

7/16/2009 02:32:00 AM

Nilai Tudung Wanita

Dihantar oleh thoyyibah

Artikel ini adalah untuk peringatan dan renungan buat diri saya dan muslimah-muslimah yang prihatin di luar sana.

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita. Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Tidak lengkap dan sempurna. Malah menambahkan FITNAH !!


Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya. Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain.

Tudung di Luar dan Dalam

Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah.

Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.

Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Sumber: Darul Nu'man


7/11/2009 01:21:00 AM

Tragedi Natrah.. Pedulikah Kita?

Dihantar oleh thoyyibah












Sebelum ini saya ada menulis tentang Natrah (klik sini). Tapi kini Natrah telah pergi buat selama-lamanya. Saya sertakan artikel yang ditulis oleh Dr. Fatini Yaacob buat tetapan para pembaca. Semoga kisah hidup dukanya ini memberi pengajaran kepada umat Islam di seluruh dunia….

Sumber : Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 di m/s 20.

"Ummat Islam sangat pantang kalau agama suci mereka disentuh atau dipermain-mainkan. Bila terkenang kembali kisah Natrah (bekas isteri Mansor Abadi) yang mana ummat Islam Tanah Melayu membuat rapat umum di Singapura dihadiri lebih 2,000 orang, yang mengakibatkan seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera parah bagi mempertahankan akidah seorang muslimah.

Kisah Natrah; ia amat menyayat hati....

1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.


September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.


19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura


24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura

28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.

28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah.

2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian ? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.

12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh. Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.


1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.

20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru danpeguam , hidup mewah.

16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.

26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans

1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

Natrah kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda......

9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.
Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.


7/11/2009 01:19:00 AM

Wanita Besi, Asma' Binti Abu Bakar

Dihantar oleh thoyyibah

Asma binti Abu Bakar, turut dikenali sebagai wanita besi yang berumur panjang. Nama wanita ini pendek saja, tetapi, perjalanan hidupnya tidak pendek seperti namanya. Allah memberinya umur panjang dan kecerdasan berfikir, hingga dia dapat mewarnai perjalanan hidup generasi tabiin (pengikut Rasulullah) dengan perjalanan kehidupan pada zaman Rasulullah. Asma’, termasuk kelompok wanita yang pertama masuk Islam. Permulaan Asma’ tidak boleh dipisahkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah dan ayahnya, Saidina Abu Bakar.

Dialah yang mengirimkan bekalan makanan dan minuman kepada mereka. Lantaran peristiwa inilah, Asma’ digelar sebagai “dzatun nithaqain” yang ertinya wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.

Gelaran ini diberikan ketika Asma’ hendak mengikat karung makanan dan tempat minuman yang akan dikirim kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Pada waktu itu, Asma’ tidak memiliki tali untuk mengikatnya, maka dia memotong ikat pinggangnya menjadi dua,satu untuk mengikat karung makanan dan satu lagi untuk mengikat tempat air minum. Ketika Rasulullah mengetahui hal ini, baginda berdoa semoga Allah akan menggantikan ikat piinggang Asma’ dengan dua ikat pinggang yang lebih baik dan indah di syurga.

Asma’ menikah dengan Zubir bin Awwam, seorang pemuda dari golongan biasa yang tidak memiliki harta, kecuali seekor kuda. Namun demikian, Asma’ tidak kecewa. Dia tetap setia melayani suaminya. Sekiranya suaminya sibuk menyebarkan tugas daripada Rasulullah, Asma’ tidak segan merawat dan menumbuk biji kurma untuk makanan kuda suaminya. Hasil perkawinannya, Allah menganugerahi mereka seorang anak yang cerdas yang diberi nama Abdullah bin Zubir.

Asma’ memiliki beberapa sifat istimewa. Selain cantik, dia mempunyai sifat yang hampir sama dengan saudaranya Aisyah, cerdas, pantas dan lincah. Sifatnya yang pemurah menjadi teladan kepada ramai orang. Waktu terus berlalu, anaknya Abdullah bin Zubir diangkat menjadi Khalifah menggantikan Yazid bin Mu’awwiyah yang wafat. Bani Umaiyah tidak rela dengan kepemimpinan Abdullah bin Zubir. Mereka menyiapkan tentara yang besar dalam pimpinan Panglima Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi untuk menggulingkan Khalifah Abdullah bin Zubir. Perang di antara dua kekuatan itu tidak dapat dihindari. Lalu, Abdullah bin Zubir turun ke medan perang untuk memimpin pasukannya.

Tetapi, tentaranya membelot dan pergi kepada pihak Bani Umaiyah. Akhirnya, dengan jumlah tentara yang sedikit, pasukan Abdullah bin Zubir berundur ke Baitul Laham, bersembunyi di bawah Kaabah. Beberapa saat sebelum kekalahannya, Abdullah bin Zubir menemui ibunya. Ibunya bertanya,”Mengapa engkau datang ke sini, padahal batu besar yang dilontarkan pasukan Hajjaj kepada pasukanmu menggetarkan seluruh kota Makkah? “Aku datang hendak meminta nasihat daripada ibu,” jawab Abdullah dengan rasa hormat. “Mengenai apa?” tanya Asma’ lagi. “Tentara aku banyak yang membelot. Mungkin karena takut kepada Hajjaj atau mungkin juga mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikan.

Tentara yang ada sekarang nampaknya tidak akan sabar bertahan lebih lama bersama aku. “Sementara itu, utusan Bani Umaiyah menawarkan kepadaku apa saja yang aku minta berupa kemewahan dunia, asal aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai Khalifah. Bagaimana pendapat ibu?”tanya Abdullah. Asma’ menjawab dengan suara tinggi,”Terserah engkau, wahai Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang lebih tahu tentang dirimu. Apabila engkau yakin dalam kebenaran, maka teguhkan hatimu seperti tentera engkau yang gugur. ”

Tetapi apabila engkau menginginkan kemewahan dunia, tentu engkau seorang lelaki yang pengecut. Bererti engkau mencelakakan diri sendiri, menjual murah sebuah kepahlawanan.”

Abdullah bin Zubir, menundukkan kepala di depan ibunya yang kecewa. Ibunya, walaupun tua dan buta, namun Abdullah seorang khalifah dan panglima yang gagah berani tidak sanggup melihat wajah ibunya karena rasa hormat dan kasih kepadanya. “Tetapi aku akan terbunuh hari ini, ibu,” kata Abdullah lembut. “Itu lebih baik bagimu, daripada engkau menyerahkan diri kepada Hajjaj.

Akhirnya kepala kamu akan diinjak-injak oleh Bani Umaiyah dengan memberikan janji mereka yang sukar untuk dipercayai,” kata ibunya tegas. “Aku tidak takut mati, ibu! Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazah aku dengan kejam,” ujar Abdullah lagi. “Tidak ada apa yang perlu ditakuti dengan perbuatan orang hidup terhadap orang mati. Bukankah kambing yang disembelih tidak merasa sakit lagi ketika disiat?” jawab Asma’. “Yang ibu kuatir kalau engkau mati di jalan yang sesat,” sambung Asma’ lagi. “Percayalah ibu, aku tidak memiliki fikiran sesat untuk melakukan perbuatan keji. Aku tidak akan melanggar hukum Allah. Aku bukan pengecut dan aku lebih mengutamakan keredhaan Allah dan keredhaan ibu,” ucap Abdullah bersemangat.

Nasihat Asma’ memberi semangat kepada Abdullah untuk mempertahankan dan membela kebenaran. Sebelum matahari terbenam, Abdullah mati syahid menemui Allah.