Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

7/22/2009 11:30:00 PM

Hati Seorang Guru..

Dihantar oleh thoyyibah


Hari ini masuk minggu keempat aku menjalani praktikum ke-2 di SK SENTUL (1). Sekolah yang mempunyai enrolmen murid melebihi 1000 orang. Makin kemas rasanya langkahku untuk berhadapan dengan cabaran bergelar seorang pendidik. Walaupun masih ada ketempangan di sana sini, semua itu akan aku cuba perbaiki berbekalkan nasihat daripada guru senior yang ada. Di sekolah ini aku mengajar 5 daripada 6 kelas Tahun 5 dan 1 kelas Tahun 4. Jadi semuanya ada 6 kelas. Untuk Tahun 5, aku berpeluang mengajar kelas yang dikatakan bijak hinggalah kelas yang sebahagian ahlinya masih tidak boleh mengeja. Jadi pendekatan untuk setiap kelas berbeza mengikut tahap mereka.

Seronok mengajar. Terharu setiap kali masuk ke kelas, dan mereka memberi salam kepadaku. Ada satu kelas yang menarik perhatianku apabila mereka mengucapkan "terima kasih". Apabila aku menyuruh mereka duduk atau aku ingin menamatkan kelas, mereka akan mengucapkan "terima kasih cikgu thoyyibah, tambah rezeki, ameen..." Setiap kali aku mendengar ucapan mereka, aku akan tersenyum sendiri. Mungkin guru kelas mereka yang mengajarkannya. Aku tak pasti. Yang pasti, aku senang mendengar mereka melafazkan ucapan tersebut.

Ada satu peristiwa yang sangat menyentuh emosiku ketika di kelas 5 Zuhal (kelas keempat drpd 6 kelas) ketika aku mengajarkan mata pelajaran Kajian Tempatan untuk tajuk "Pembukaan Melaka". Disebabkan minatku dalam mata pelajaran Sejarah yang agak kuat, maka aku cukup bersemangat mengajar mata pelajaran ini. Sebaik mungkin aku cuba menyampaikan fakta-fakta yang terkandung dalam buku teks dalam bentuk naratif. Berjalan di sekeliling kelas. Bertanya kembali kepada mereka. Sehinggalah aku pasti semua murid benar-benar faham apa yang aku sampaikan. Lontaran suaraku seboleh mungkin aku tingkatkan agar semua murid mendengar. Dan ketika habis kelas tersebut, seorang murid berkata kepadaku, "Cikgu, seronoklah cikgu mengajar. kalau macam ni, ktorg boleh jadi pandai.." terkedu seketika aku mendengar kata-kata ini. Aku pandang wajah murid tadi untuk melihat riak mukanya. Dari telahanku, aku melihat keseronokan dan keikhlasan di wajahnya. Lantas aku menjawab "Baguslah.. semua cikgu nak awak pandai.." Benarlah..kejayaan murid adalah hadiah yang paling bermakna buat guru. Dan yang lebih bermakna ialah, apabila kita melihat murid yang kita didik menjadi insan yang tahu menghormati dan menjaga perasaan orang lain. Sopan dalam tutur kata dan beradab ketika berada bersama kita. Ya Allah..berilah kehidupan yang terbaik buat murid-muridku....ameen...

Kini, bila aku merenung satu-satu wajah anak muridku, hatiku yang paling dalam terasa sayu. Sungguh... kasih sayangku pada insan bergelar murid kini telah mengalir. Aku tidak sedar bila ia bermula. Tapi yang aku pasti, aku sentiasa ternanti-nanti waktu untuk melangkahkan kaki, masuk ke kelas. Aku tahu amanah mencurah ilmu bukanlah tugas yang mudah. Namun tekad di hati aku bulatkan dalam menjalankan amanah tersebut semampu aku..

Murid-muridku ada yang nakal, ada yang patuh, ada yang aktif, ada yang pasif. Semua ini adalah warna-warni setiap kelas yang aku masuki. Dahulu aku biasa dimarahi guru. Kini aku pula yang memarahi anak muridku dek kerana kedegilan mereka. Tapi marahku kerana aku sayang pada mereka. Ya......memang ini yang selalu cikgu-cikguku ucapkan. Aku sangat2 memahaminya sekarang. Dan aku mula mengerti bagaimana hati seorang guru bila berada bersama muridnya. Kerana sangat jelas setiap kali aku memandang mereka, aku melihat siapakah mereka 10 atau 20 tahun akan datang. Aku tidak mahu mengabaikan setiap seorang daripada mereka. Berdosalah aku jika disebabkan ketidakprihatinan aku itu menyebabkan masa depan muridku kelam.

Tugas seorang guru diakui amat berat. Terpikul satu2 dibahunya harapan setiap ibu ayah yang ingin anaknya dibentuk dengan baik. Ditambah pula dengan kerja-kerja sampingan yang pelbagai. Tapi buat masa ini aku merasakan, masuk ke kelas dan mengajar itu adalah perkara yang menjadi kekuatan utama untuk aku terus berada dalam lapangan pendidikan ini.

Untuk minggu-minggu akan datang sebagai guru praktikum, aku akan cuba manfaatkan sebaiknya. Agar pengalaman yang dikutip dapat menjadi penguat diri dalam menghadapi ujian sebagai seorang guru insyaAllah pada tahun 2011... "Pengalaman Adalah Kekuatan"...

Banyak sebenarnya kisah sepanjang menjalani praktikum kali kedua ini. InsyaAllah, pada minggu terakhir atau selepas aku tamat praktikum di sekolah ini, aku akan cuba nukilkan serba sedikit pengalaman praktikum dalam entri di blog ini. Sehingga lain kali...

0 Komen:

Post a Comment