Saya cuba mengheret diri sendiri ke zon yang kurang selesa yang memaksa saya untuk lebih menggunakan nikmat akal yang Allah beri ini. Melihat dan memerhatikan tingkah laku anak murid dan guru-guru lain yang ada di sekeliling saya. Membandingkan tabiat dan sikap mereka dengan latar belakang mereka setakat yang saya tahu.
Saya mula membaca semula tugasan-tugasan yang saya siapkan beberapa tahun lepas tentang Model Teori Realiti Glasser yang bersangkutan dengan cara mendisiplinkan murid menggunakan pelbagai langkah dan peringkat. Kalau anda berminat, anda boleh teruskan pembacaan untuk melihat isi kandungan teori ini. Jika tidak, berhenti sahaja membaca entri ini. Banyak lagi urusan yang mungkin anda boleh selesaikan. Jika ada sebarang kemusykilan, ada boleh google atau rujuk kepada buku-buku tentang ilmu pendidikan.
Tahun 1965, William Glasser mengemukakan Model Terapi Realiti yang menerima bahawa tingkah laku secara luarannya dipandu motivasi dalaman. Model ini adalah berdasarkan tiga prinsip berikut:
i. Individu bertanggungjawab terhadap tingkah lakunya sendiri. Tingkah laku tidak dihasilkan dari persekitaran masyarakat, pewarisan atau masa lampaunya.
ii. Individu boleh hidup dengan lebih baik apabila diberi bimbingan dan sokongan.
iii. Individu berkelakuan dalam pelbagai tingkah laku supaya persekitarannya sesuai seperti mana yang ia kehendaki.
Teori ini sering dikaitkan dengan Teori Kawalan dan Teori Pilihan.
TEORI KAWALAN (1970):
“Kita cuba mengawal tingkah laku supaya apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang paling memuaskan hati kita pada waktu tersebut.”
TEORI PILIHAN (1988, 1997)
“Semua tingkah laku manusia dihasilkan melalui apa yang terjadi dalam diri manusia (diluahkan dari dalam diri kepada tingkah laku dan perbuatan).”
Menurut Glasser (1984, 1996), pelajar memerlukan 4 keperluan, iaitu:
i. Keperluan untuk memiliki. (memiliki kawan, terlibat dalam aktiviti kelas bersama guru)
ii. Keperluan terhadap kuasa/pengaruh. (mempunyai rasa diperlukan, disedari kehadirannya oleh orang lain, dan rasa ingin bersaing)
iii. Keperluan terhadap kebebasan.(pelajar bebas membuat pilihan menggunakan kemahiran membuat keputusan mereka sendiri)
iv. Keperluan untuk berseronok.
Dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar tentang tanggungjawab mereka dan bagaimana membuat pilihan yang tepat, Glasser telah menghasilkan 10 langkah disiplin, iaitu:
1. Apabila masalah disiplin berlaku, guru perlu mengambil masa memikirkan tingkah laku pelajarnya bagi mengetahui adakah guru tersebut menjadi penyebab berlakunya masalah disiplin tersebut. (Guru buat analisis tingkah laku pelajar)
2. Guru perlu menentukan cara untuk menguruskan tingkah laku pelajar berdasarkan pengalamannya berhadapan dengan situasi yang sama pada masa lepas.
3. Guru mengatasi masalah tingkah laku dengan 2 cara:
i. Sesi pengajaran dan pembelajaran yang relevan dan menarik
ii. Membina hubungan baik dengan pelajar
4. Guru perlu bertanyakan kepada murid “Apa yang kamu lakukan?” daripada bertanyakan “ Mengapa kamu lakukan perkara tersebut?” bagi mengelakkan pelajar menjadi bingung. Apabila pelajar menyedari apa yang dilakukannya itu salah, maka dia akan mula berfikir tentang kesalahan tersebut dan tidak mengulanginya.
5. Guru membuat perbincangan dengan pelajar tersebut.
6. Pelajar akan disuruh membuat perjanjian untuk mengubah tingkah laku mereka kepada yang lebih baik.
7. Jika tidak berkesan, pelajar perlu diasingkan dengan menggunakan kaedah “time-out” yang dilakukan dalam kelas. Ketika ini pelajar tidak boleh terlibat dalam aktiviti kelas sehingga dia memperbaiki perjanjiannya, atau membuat perjanjian yang baru.
8. Jika tidak berhasil, pelajar tersebut perlu diberi kelas tahanan. Dicadangkan guru yang menyelia kelas tahanan tersebut adalah guru yang berhemah dan menjadi pilihan pelajar yang ditahan.
9. Apabila pelajar tidak dapat dikawal, ibu bapa perlu diberitahu dan pelajar digantung persekolahan selama sehari.
10. Langkah terakhir ialah, pelajar perlulah tinggal di rumah atau dirujuk kepada agensi dapat mengendalikan masalah dan kehendak pelajar tersebut.
2 Komen:
tq2.. guna untuk asemen.. =)
thnx for the great info . mohon share as reference for my assignment . :)
Post a Comment