Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

3/26/2010 10:12:00 AM

Berkata Lelaki Soleh kepada Wanita...

Dihantar oleh thoyyibah

"Saudariku.....
Artikel ini ku tulis dengan rasa kasih di hati. Renungkanlah isinya, hayati maknanya, aplikasikan ilmunya dan sematkan di kalbumu selamanya. Jadikanlah pesananku ini sebagai azimat dalam meneruskan perjuangan dan impianmu, untuk muncul unggul sebagai srikandi yang
mempertahankan agama Allah. InsyaAllah....


Saudariku....
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok, menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang.


Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Namun, tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari dirinya. Umpama mawar, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta kilauan warnanya yang memancar indah mengundang kekaguman terhadap sang kumbang. Tapi awas, duri yang melingkari bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.


Saudariku.....
Aku suka sekiranya kau seperti mawar inspirasi setiap mujahid. Bentengilah dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah.

Hiasilah wajah mu dengan titisan wudhuk. Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Umpama sebutir permata yang dipamerkan buat perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup. Sudah pastinya keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu melebihi daripada yang terdedah.
Wanita solehah yang taat dan patuh pada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam. Namun, ianya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana ianya bercanggah dengan nafsu serakah yang bersarang dalam dirimu, lebih-lebih lagi dengan title gadis yang kau miliki. Sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada...


Namun ingatlah saudariku....
Sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah akan memudahkan baginya jalan-jalan
ke arah itu. Yang penting gadisku... engkau mesti punyai azam, usaha dan istiqomah.


Saudariku.....
Akuilah hakikat dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentingimu.

Sesungguhnya Nabi ada mengatakan tentang bahaya dirimu :

" Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita"....

Oleh itu saudariku.....
Setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Jangan biarkan orang lain mengeksploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu.

Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.


Saudariku...
Dalam hidupmu pastinya ingin disayangi dan menyayangi. Itulah fitrah semulajadi setiap insani, namun ramai diantara kamu yang tewas kerana cinta.

Bercinta itu tidak salah tapi memuja cinta itu yang salah. Kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda mudi sebahagian besarnya kerana sebuah cinta. Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan yang batil apabila kau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan tidak kerana Allah SWT.
Sebelum kau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tak berharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah. Semoga di sana mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadapNya dan timbul rasa cinta dan kasih pada penciptamu.


Saudariku...
Mencintai Allah dan rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta yang hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak, apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai. Tetapi apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti ia akan bertaut kembali.
Dalam usia mu sibukkanlah dirimu dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu. Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan ilmu tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.


Buat akhirnya, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiah sebagai renungan bersama :

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kebahagian yang abadi untuk seseorang insan, kerana ia tidak kekal. Cintakan manusia seringkali membuatkan seorang itu gagal, kecewa, menderita dan terseksa. Oleh itu tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia sendiri."

"ANTARA TANDA KEBERKATAN SESEORANG WANITA ITU IALAH, CEPAT PERKAHWINANNYA, CEPAT PULA KEHAMILANNYA DAN RINGAN PULA MAHARNYA."

3/07/2010 08:40:00 PM

Jalan Pulang...

Dihantar oleh thoyyibah

Kisah ini adalah kisah benar yang ditulis oleh sahabat saya Mohamad Azhim ketika lawatannya bersama krew ILuvIslam di Raudhatus Sakinah pada 20 Februari 2010 lalu. Terima kasih kepada beliau yang sudi berkongsi kisah benar ini. Atas izin beliau juga, saya telah membuat sedikit suntingan terhadap kisah ini tanpa mengubah cerita yang asal. Semoga kita semua beroleh pengajaran daripada kisah ini. Selamat membaca...


Petunjuk Tuhan Setelah Kegelapan

Diam-diam ubi berisi. Itulah perumpamaan yang mampu diungkapkan untuk mengisahkan perjalanan hidup seorang penghuni Raudhatus Sakinah, Sungai Buloh. Barangkali kata-kata “Diam itu lebih baik” sangat perlu untuk difahami bahawa ianya “Baik di sesetengah tempat dan perkara”. Syira (bukan nama sebenar), 19, merupakan anak bongsu dalam sebuah keluarga yang bahagia. Kewibawaan ibu-bapanya dalam mendidik anak-anak cukup terserlah apabila Syira dan adik beradik lain dididik dengan didikan agama yang baik. Malah, tugas bapa sebagai imam masjid di kampungnya cukup untuk membuatkan Syira dan keluarganya yang lain dikenali sebagai golongan yang disegani.

Syira seorang yang pendiam. Dirinya memang sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan semenjak di bangku sekolah lagi. Sikapnya yang suka menyendiri itu tanpa disedari sebenarnya menjadi perangkap kepada dirinya sendiri. Ternyata didikan untuk menjadi wanita solehah yang diberi oleh ibu bapanya masih belum mencukupi.

Suatu ketika dulu, Syira memang diberi perhatian penuh oleh ibu bapa. Memandangkan dia adalah anak yang bongsu, situasi dirinya ketika itu ialah apa yang mahu, semua akan dapat. Tapi sayang, keadaan tidak lama. Segalanya berubah ketika ibu bapa Syira menimang cucu dari kakak dan abang Syira. Perhatian ibu bapa mula beralih arah. Perasaan sunyi mula menyelinap dalam hati Syira.


Munculnya Lelaki Dalam Hidup Syira

Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Sang buaya sentiasa mengintai peluang untuk membaham mangsa yang leka. Syira rupanya menjadi sasaran seorang pemuda di kampungnya. Kasim (bukan nama sebenar), 20, dikenali sebagai seorang pemuda licik di kampung Syira. Boleh dikatakan, kerana kenakalan pemuda yang bernama Kassim ini, dia menjadi terkenal di kampung tersebut. Walaubagaimanapun, Kassim seorang yang peramah, pandai bermain dengan kata-kata dan tidak mudah putus asa.

Syira dipikat oleh Kassim dengan begitu susah sekali. Bermula dengan cubaan SMS untuk berkenalan, Syira yang tahu akan nilai-nilai agama pada mulanya amat menjaga batas-batas pergaulan. Dia sering menolak pelawaan Kassim untuk berkenalan, apatah lagi berjumpa. Sungguh tipu daya syaitan itu memang hebat. Hanya yang betul-betul hebat sahaja mampu menangkisnya. Syira akhirnya menerima Kassim sebagai teman, setelah Kassim bertungkus lumus untuk sekian lamanya.

Memandangkan Syira merasakan dirinya kurang mendapat perhatian dari keluarga, Syira menganggap keluarga sudah tidak lagi mempedulikannya. Kehadiran Kassim dilihat dapat mengisi kekosongan tersebut. Segala masalah, suka dan duka semuanya diceritakan pada Kassim. Syira memberanikan diri untuk berjumpa Kassim. Malah hubungan yang kian akrab itu menjadikan mereka pasangan kekasih yang saling memerlukan. Lama-kelamaan, mereka kerap berjumpa dan berdating di sana sini. Apa nak buat, budaya melayu sangat suka meniru barat.


Penderitaan

Syira yang akhirnya tumpas menjadi mangsa kepuasan nafsu Kassim untuk beberapa kali. Dan akhirnya Syira telah disahkan mengandung. Dia memberanikan diri untuk menceritakan perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana itulah langkah terbaik untuk menyelamatkan situasi dirinya yang kian buntu. Dan inilah fenomena yang kerap berlaku dalam remaja kita, “bila dah jadi, baru nak cari mak, baru nak cari bapak”. Ternyata apa yang berlaku, memusnahkan segala perancangan ibu bapa dan kakak serta abang Syira yang lain.

Sebelum ini ibu bapa Syira menyangka didikan agama yang telah mereka berikan sudah sangat mencukupi. Mereka juga tidak pernah membayangkan anak kesayangan mereka ini akan membawa onar dalam keluarga. Tambahan pula dengan status ibunya sebagai guru agama, dan bapanya sebagai imam, menjadikan mereka lebih yakin yang anak-anak mereka bakal mewarisi kesolehan mereka. Di pihak Syira pula yang menyangka dirinya tidak dipedulikan dan tidak lagi disayangi rupanya salah. Kini barulah Syira tahu bahawa keluarganya telah merancang dengan begitu teliti akan perjalanan hidupnya. Tangisan sudah tidak bermakna ketika itu. Namun itu sahajalah yang mampu Syira zahirkan dalam mengenang kesilapannya.


Selamat Datang Ke RS

Syukurlah ibu bapa Syira amat menyayangi anak bongsu mereka yang seorang ini. Syira dihantar ke pusat jagaan remaja puteri Raudhatus Sakinah untuk dipulihkan akhlak dan mendapat bimbingan sebaiknya. Syira kini sedar bahawa, kebiasaannya lelaki tidak akan bertanggungjawab bila mereka sudah terjebak dalam kancah zina. Malah lelaki yang berzina sering sahaja mengimpikan wanita-wanita solehah sebagai isteri mereka kelak. Inilah pandangan hati yang buta dari seorang lelaki.

Di Raudhatus Sakinah, Syira mula mengenal dunia. Dulunya dia sukar bergaul, akhirnya mendapat teman-teman istimewa di rumah itu. Syira dididik untuk bertahajjud dan bermunajat setiap malam, aktiviti usrah dan halaqah, serta rutin-rutin harian yang amat sibuk sehingga Syira tidak sempat untuk memikirkan kesalahannya yang lalu. Baginya, segala pengisian di rumah itu ternyata berkesan dan kini, hidupnya lebih tenteram dan bersemangat serta ceria. Dia bukan lagi Syira yang pendiam seperti dulu. “the old me is dead and gone..” Barangkali inilah yang ingin diungkapkannya.

Syira berhasrat untuk meneruskan apa yang telah dirancang oleh keluarga untuknya. Malah, dia juga tidak pernah mengetahui apakah bidang yang bakal diambil sekiranya keluarga mengaturkan supaya Syira menyambung pengajian. Syira nekad untuk bersungguh-sungguh menjadi manusia hebat untuk menebus kesilapan besar yang pernah dilakukannya.


Perkongsian Bermakna

Kunjungan sehari krew iluvislam.com ke Raudhatus Sakinah merupakan satu program khidmat sosial yang sangat bermakna. Kisah benar yang diceritakan oleh Syira ini, saya dapatkan ketika sesi perkongsian bersama penghuni. Syira bersama dua orang kakak yang senasib dengannya, berkongsi pengalaman dan cerita mereka dengan saya. Puncanya hampir sama tetapi cara mereka mengalaminya sangat berbeza. Konflik ibu bapa, keinginan untuk bebas, lupa untuk menjalankan tanggungjawab pada Tuhan, kurang perhatian daripada keluarga dan banyak lagi, sangat menjadi punca buat mereka.

Syukurlah mereka sedar.

Mereka mendapat cahaya setelah bergelap sekian lama.

Syira dan dua lagi kakaknya itu sempat memberikan pesanan, yang juga hampir sama. “Janganlah tinggalkan solat, utamakanlah family, dan fikir dulu sebelum buat, OK..!!” tegas Syira. Manakala dua orang kakaknya yang senasib itu juga memesan supaya mereka di luar sana, ingat pada Tuhan, dan jaga pergaulan. Sentiasalah fahami akan kasih sayang keluarga pada kita, yang sememangnya tidak jelas bagi sesetengah orang terutaman remaja. “Bila kita kejar ALLAH, kita akan dapat ALLAH. Tapi bila nafsu yang dikejar, memang inilah yang akan kamu dapat..” tambah mereka lagi.

Perkongsian kami pada hari itu ditamatkan dengan gurau senda dari saya, serta sedikit kata-kata semangat buat mereka. Mereka mempunyai cita-cita yang menggunung selepas keluar dari Raudhatus Sakinah. Dari raut wajah mereka,dapat kita lihat bahawa mereka bakal menjadi manusia hebat, kerana mereka kuat berazam dan mereka telah berTAUBAT. Merekalah, penghuni RAUDHATUS SAKINAH.

-Mohamad Azhim

3/07/2010 05:52:00 PM

Kiamat: Manusia kian terdesak

Dihantar oleh thoyyibah


Antara kita percaya atau tidak, kiamat PASTI akan tiba. Sama ada kita bersedia atau tidak, kiamat pasti mengakhiri episod bumi ini. Yang namanya Yahudi dan Kristian juga meyakini hal ini walaupun terlalu banyak penyelewengan yang mereka lakukan dalam mengubah kitab Taurat dan Injil supaya isi kandungannya mengikut selera dan kehendak mereka. Dalam keyakinan mereka, mereka cuba mengira-mengira bilakah tarikh akan berakhirnya hayat dunia ini. Mucul pula pelbagai buku di barat yang menyatakan konon-kononnya hari kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012 kerana dikatakan kalendar maya berakhir pada waktu tersebut. Kerungsingan mereka diperkuatkan lagi dengan munculnya filem 2012. Filem yang sempat saya tonton bersama sahabat saya yang lain bagi melihat apa yang mereka ingin sampaikan. Pada saya jika mereka ingin menggambarkan kerosakkan yang bakal berlaku pada hari kiamat, sememangnya jalan cerita ini memang tidak logik kerana di akhir filem ini masih terdapat manusia yang terselamat. Ternyata mereka sebenarnya cuba melawan takdir Tuhan dengan teknologi mereka. Tidak mengapalah kerana kita tahu hakikatnya tiada satu kuasa melainkan kuasa Allah yang mampu menyelamatkan kita apabila hari kiamat tiba.

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang filem ini. yang saya ingin ketengahkan mengapa tiba-tiba sahaja kiraan kalendar maya dijadikan sebagai sandaran. Apakah kalendar maya? Siapakah pula Suku Maya? Apakah yang menyebabkan tahun 2012 menjadi pilihan? Jadi, saya telah membuat bacaan lanjut daripada buku "Menyangkal Kiamat 2012: Syirik bagi yang mempercayainya. Islam menolak Ramalan!" tulisan Muhammad Nizam. Berdasarkan pembacaan saya, sebenarnya yang menghebahkan penggunaan kalendar maya dalam pengiraan tarikh hari kiamat ialah Lawrence E. Joseph dalam bukunya yang berjudul: Kiamat 2012, Kajian Akhir Zaman. Lawrence tidak punya kaitan khusus dengan suku maya telah mengekploitasi kalendar tersebut sebagai bukti kajiannya. Menurut Wikipedia; The Maya calendar is a system of calendars and almanacs used by the Maya civilization of pre-Columbian Mesoamerica, and by some modern Maya communities in highland Guatemala and Oaxaca, Mexico. Suku maya pula adalah kelompok suku yang tinggal di Semenanjung Yucatan, Amerika Tengah yang bersempadan dengan Samudera Pasifik di bahagian Barat dan Laut Karibia di bahagian Timur. Dalam kehebohan dunia menggunakan kalendar mereka, mereka sebenarnya tidak pernah mengesahkan dan membenarkan ramalan tersebut. Jadi, apa hak Lawrence untuk mengeksploitasi kalendar tersebut?

Berkenaan buku yang ditulis oleh Saudara Muhammad Nizam pula, isi bukunya sangat padat dengan hujjah naqli yang menceritakan tentang hari kiamat. Konklusi dari buku ini juga sangat jelas yang menyatakan kiamat mungkin akan berlaku sebelum 2012, pada 2012 atau selepas 2012. Tetapi berlakunya hari kiamat bukanlah bersandarkan oleh ramalan Lawrence atau kajian sesiapa sahaja. Pengetahuan hari kiamat hanya ada pada Allah. Tidak perlulah kita menyibukkan diri mencari tarikh tersebut. Yang penting ialah kita tetap yakin dengan kedatangan hari kiamat. Lebih penting juga kita mempersiapkan diri dalam erti kata melakukan amal seikhlas-ikhlasnya, beribadah dengan rasa tawaddhuk dan rendah diri seakan kita akan mati esok hari. Bukan bersiap bagi memastikan bila tiba kiamat, kita akan tetap selamat dan menghuni alam fana' ini. Suatu terjemahan yang sangat meleset. Allah berfirman dalam Surah Muhammad, ayat 18, yang bermaksud:
"(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?" -seperti yang tercatat dalam Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN kepada Pengertian Al-Quran. Wa'allahu 'alam...