Kisah ini adalah kisah benar yang ditulis oleh sahabat saya Mohamad Azhim ketika lawatannya bersama krew ILuvIslam di Raudhatus Sakinah pada 20 Februari 2010 lalu. Terima kasih kepada beliau yang sudi berkongsi kisah benar ini. Atas izin beliau juga, saya telah membuat sedikit suntingan terhadap kisah ini tanpa mengubah cerita yang asal. Semoga kita semua beroleh pengajaran daripada kisah ini. Selamat membaca...
Petunjuk Tuhan Setelah Kegelapan
Diam-diam ubi berisi. Itulah perumpamaan yang mampu diungkapkan untuk mengisahkan perjalanan hidup seorang penghuni Raudhatus Sakinah, Sungai Buloh. Barangkali kata-kata “Diam itu lebih baik” sangat perlu untuk difahami bahawa ianya “Baik di sesetengah tempat dan perkara”. Syira (bukan nama sebenar), 19, merupakan anak bongsu dalam sebuah keluarga yang bahagia. Kewibawaan ibu-bapanya dalam mendidik anak-anak cukup terserlah apabila Syira dan adik beradik lain dididik dengan didikan agama yang baik. Malah, tugas bapa sebagai imam masjid di kampungnya cukup untuk membuatkan Syira dan keluarganya yang lain dikenali sebagai golongan yang disegani.
Syira seorang yang pendiam. Dirinya memang sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan semenjak di bangku sekolah lagi. Sikapnya yang suka menyendiri itu tanpa disedari sebenarnya menjadi perangkap kepada dirinya sendiri. Ternyata didikan untuk menjadi wanita solehah yang diberi oleh ibu bapanya masih belum mencukupi.
Suatu ketika dulu, Syira memang diberi perhatian penuh oleh ibu bapa. Memandangkan dia adalah anak yang bongsu, situasi dirinya ketika itu ialah apa yang mahu, semua akan dapat. Tapi sayang, keadaan tidak lama. Segalanya berubah ketika ibu bapa Syira menimang cucu dari kakak dan abang Syira. Perhatian ibu bapa mula beralih arah. Perasaan sunyi mula menyelinap dalam hati Syira.
Munculnya Lelaki Dalam Hidup Syira
Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Sang buaya sentiasa mengintai peluang untuk membaham mangsa yang leka. Syira rupanya menjadi sasaran seorang pemuda di kampungnya. Kasim (bukan nama sebenar), 20, dikenali sebagai seorang pemuda licik di kampung Syira. Boleh dikatakan, kerana kenakalan pemuda yang bernama Kassim ini, dia menjadi terkenal di kampung tersebut. Walaubagaimanapun, Kassim seorang yang peramah, pandai bermain dengan kata-kata dan tidak mudah putus asa.
Syira dipikat oleh Kassim dengan begitu susah sekali. Bermula dengan cubaan SMS untuk berkenalan, Syira yang tahu akan nilai-nilai agama pada mulanya amat menjaga batas-batas pergaulan. Dia sering menolak pelawaan Kassim untuk berkenalan, apatah lagi berjumpa. Sungguh tipu daya syaitan itu memang hebat. Hanya yang betul-betul hebat sahaja mampu menangkisnya. Syira akhirnya menerima Kassim sebagai teman, setelah Kassim bertungkus lumus untuk sekian lamanya.
Memandangkan Syira merasakan dirinya kurang mendapat perhatian dari keluarga, Syira menganggap keluarga sudah tidak lagi mempedulikannya. Kehadiran Kassim dilihat dapat mengisi kekosongan tersebut. Segala masalah, suka dan duka semuanya diceritakan pada Kassim. Syira memberanikan diri untuk berjumpa Kassim. Malah hubungan yang kian akrab itu menjadikan mereka pasangan kekasih yang saling memerlukan. Lama-kelamaan, mereka kerap berjumpa dan berdating di sana sini. Apa nak buat, budaya melayu sangat suka meniru barat.
Penderitaan
Syira yang akhirnya tumpas menjadi mangsa kepuasan nafsu Kassim untuk beberapa kali. Dan akhirnya Syira telah disahkan mengandung. Dia memberanikan diri untuk menceritakan perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana itulah langkah terbaik untuk menyelamatkan situasi dirinya yang kian buntu. Dan inilah fenomena yang kerap berlaku dalam remaja kita, “bila dah jadi, baru nak cari mak, baru nak cari bapak”. Ternyata apa yang berlaku, memusnahkan segala perancangan ibu bapa dan kakak serta abang Syira yang lain.
Sebelum ini ibu bapa Syira menyangka didikan agama yang telah mereka berikan sudah sangat mencukupi. Mereka juga tidak pernah membayangkan anak kesayangan mereka ini akan membawa onar dalam keluarga. Tambahan pula dengan status ibunya sebagai guru agama, dan bapanya sebagai imam, menjadikan mereka lebih yakin yang anak-anak mereka bakal mewarisi kesolehan mereka. Di pihak Syira pula yang menyangka dirinya tidak dipedulikan dan tidak lagi disayangi rupanya salah. Kini barulah Syira tahu bahawa keluarganya telah merancang dengan begitu teliti akan perjalanan hidupnya. Tangisan sudah tidak bermakna ketika itu. Namun itu sahajalah yang mampu Syira zahirkan dalam mengenang kesilapannya.
Selamat Datang Ke RS
Syukurlah ibu bapa Syira amat menyayangi anak bongsu mereka yang seorang ini. Syira dihantar ke pusat jagaan remaja puteri Raudhatus Sakinah untuk dipulihkan akhlak dan mendapat bimbingan sebaiknya. Syira kini sedar bahawa, kebiasaannya lelaki tidak akan bertanggungjawab bila mereka sudah terjebak dalam kancah zina. Malah lelaki yang berzina sering sahaja mengimpikan wanita-wanita solehah sebagai isteri mereka kelak. Inilah pandangan hati yang buta dari seorang lelaki.
Di Raudhatus Sakinah, Syira mula mengenal dunia. Dulunya dia sukar bergaul, akhirnya mendapat teman-teman istimewa di rumah itu. Syira dididik untuk bertahajjud dan bermunajat setiap malam, aktiviti usrah dan halaqah, serta rutin-rutin harian yang amat sibuk sehingga Syira tidak sempat untuk memikirkan kesalahannya yang lalu. Baginya, segala pengisian di rumah itu ternyata berkesan dan kini, hidupnya lebih tenteram dan bersemangat serta ceria. Dia bukan lagi Syira yang pendiam seperti dulu. “the old me is dead and gone..” Barangkali inilah yang ingin diungkapkannya.
Syira berhasrat untuk meneruskan apa yang telah dirancang oleh keluarga untuknya. Malah, dia juga tidak pernah mengetahui apakah bidang yang bakal diambil sekiranya keluarga mengaturkan supaya Syira menyambung pengajian. Syira nekad untuk bersungguh-sungguh menjadi manusia hebat untuk menebus kesilapan besar yang pernah dilakukannya.
Perkongsian Bermakna
Kunjungan sehari krew iluvislam.com ke Raudhatus Sakinah merupakan satu program khidmat sosial yang sangat bermakna. Kisah benar yang diceritakan oleh Syira ini, saya dapatkan ketika sesi perkongsian bersama penghuni. Syira bersama dua orang kakak yang senasib dengannya, berkongsi pengalaman dan cerita mereka dengan saya. Puncanya hampir sama tetapi cara mereka mengalaminya sangat berbeza. Konflik ibu bapa, keinginan untuk bebas, lupa untuk menjalankan tanggungjawab pada Tuhan, kurang perhatian daripada keluarga dan banyak lagi, sangat menjadi punca buat mereka.
Syukurlah mereka sedar.
Mereka mendapat cahaya setelah bergelap sekian lama.
Syira dan dua lagi kakaknya itu sempat memberikan pesanan, yang juga hampir sama. “Janganlah tinggalkan solat, utamakanlah family, dan fikir dulu sebelum buat, OK..!!” tegas Syira. Manakala dua orang kakaknya yang senasib itu juga memesan supaya mereka di luar sana, ingat pada Tuhan, dan jaga pergaulan. Sentiasalah fahami akan kasih sayang keluarga pada kita, yang sememangnya tidak jelas bagi sesetengah orang terutaman remaja. “Bila kita kejar ALLAH, kita akan dapat ALLAH. Tapi bila nafsu yang dikejar, memang inilah yang akan kamu dapat..” tambah mereka lagi.
Perkongsian kami pada hari itu ditamatkan dengan gurau senda dari saya, serta sedikit kata-kata semangat buat mereka. Mereka mempunyai cita-cita yang menggunung selepas keluar dari Raudhatus Sakinah. Dari raut wajah mereka,dapat kita lihat bahawa mereka bakal menjadi manusia hebat, kerana mereka kuat berazam dan mereka telah berTAUBAT. Merekalah, penghuni RAUDHATUS SAKINAH.
-Mohamad Azhim
0 Komen:
Post a Comment