Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

3/07/2010 05:52:00 PM

Kiamat: Manusia kian terdesak

Dihantar oleh thoyyibah


Antara kita percaya atau tidak, kiamat PASTI akan tiba. Sama ada kita bersedia atau tidak, kiamat pasti mengakhiri episod bumi ini. Yang namanya Yahudi dan Kristian juga meyakini hal ini walaupun terlalu banyak penyelewengan yang mereka lakukan dalam mengubah kitab Taurat dan Injil supaya isi kandungannya mengikut selera dan kehendak mereka. Dalam keyakinan mereka, mereka cuba mengira-mengira bilakah tarikh akan berakhirnya hayat dunia ini. Mucul pula pelbagai buku di barat yang menyatakan konon-kononnya hari kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012 kerana dikatakan kalendar maya berakhir pada waktu tersebut. Kerungsingan mereka diperkuatkan lagi dengan munculnya filem 2012. Filem yang sempat saya tonton bersama sahabat saya yang lain bagi melihat apa yang mereka ingin sampaikan. Pada saya jika mereka ingin menggambarkan kerosakkan yang bakal berlaku pada hari kiamat, sememangnya jalan cerita ini memang tidak logik kerana di akhir filem ini masih terdapat manusia yang terselamat. Ternyata mereka sebenarnya cuba melawan takdir Tuhan dengan teknologi mereka. Tidak mengapalah kerana kita tahu hakikatnya tiada satu kuasa melainkan kuasa Allah yang mampu menyelamatkan kita apabila hari kiamat tiba.

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang filem ini. yang saya ingin ketengahkan mengapa tiba-tiba sahaja kiraan kalendar maya dijadikan sebagai sandaran. Apakah kalendar maya? Siapakah pula Suku Maya? Apakah yang menyebabkan tahun 2012 menjadi pilihan? Jadi, saya telah membuat bacaan lanjut daripada buku "Menyangkal Kiamat 2012: Syirik bagi yang mempercayainya. Islam menolak Ramalan!" tulisan Muhammad Nizam. Berdasarkan pembacaan saya, sebenarnya yang menghebahkan penggunaan kalendar maya dalam pengiraan tarikh hari kiamat ialah Lawrence E. Joseph dalam bukunya yang berjudul: Kiamat 2012, Kajian Akhir Zaman. Lawrence tidak punya kaitan khusus dengan suku maya telah mengekploitasi kalendar tersebut sebagai bukti kajiannya. Menurut Wikipedia; The Maya calendar is a system of calendars and almanacs used by the Maya civilization of pre-Columbian Mesoamerica, and by some modern Maya communities in highland Guatemala and Oaxaca, Mexico. Suku maya pula adalah kelompok suku yang tinggal di Semenanjung Yucatan, Amerika Tengah yang bersempadan dengan Samudera Pasifik di bahagian Barat dan Laut Karibia di bahagian Timur. Dalam kehebohan dunia menggunakan kalendar mereka, mereka sebenarnya tidak pernah mengesahkan dan membenarkan ramalan tersebut. Jadi, apa hak Lawrence untuk mengeksploitasi kalendar tersebut?

Berkenaan buku yang ditulis oleh Saudara Muhammad Nizam pula, isi bukunya sangat padat dengan hujjah naqli yang menceritakan tentang hari kiamat. Konklusi dari buku ini juga sangat jelas yang menyatakan kiamat mungkin akan berlaku sebelum 2012, pada 2012 atau selepas 2012. Tetapi berlakunya hari kiamat bukanlah bersandarkan oleh ramalan Lawrence atau kajian sesiapa sahaja. Pengetahuan hari kiamat hanya ada pada Allah. Tidak perlulah kita menyibukkan diri mencari tarikh tersebut. Yang penting ialah kita tetap yakin dengan kedatangan hari kiamat. Lebih penting juga kita mempersiapkan diri dalam erti kata melakukan amal seikhlas-ikhlasnya, beribadah dengan rasa tawaddhuk dan rendah diri seakan kita akan mati esok hari. Bukan bersiap bagi memastikan bila tiba kiamat, kita akan tetap selamat dan menghuni alam fana' ini. Suatu terjemahan yang sangat meleset. Allah berfirman dalam Surah Muhammad, ayat 18, yang bermaksud:
"(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?" -seperti yang tercatat dalam Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN kepada Pengertian Al-Quran. Wa'allahu 'alam...

0 Komen:

Post a Comment