Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

8/22/2010 12:28:00 AM

3 Idiots: Mengongkah arus kebiasaan

Dihantar oleh thoyyibah

3 IDIOTS

Kisah 3 Idiots yang dibintangi oleh Aamir Khan (Rancho), Madhavan (Farhan) dan Sharman (Raju) adalah suatu kisah yang menggambarkan betapa tempangnya sistem pendidikan yang berlandaskan kepada kaedah "hafalogi". Ketiga-tiga mereka menuntut di salah sebuah kolej kejuruteraan yang terkemuka di India. Mereka belajar di kolej yang sama, menjadi rakan akrab dan duduk dalam bilik yang sama, namun masing-masing punya konflik diri yang berbeza.

Filem ini merupakan filem kedua Aamir Khan yang saya telah tonton, yang berunsurkan pendidikan setelah filem Taare Zameen Par yang berjaya merungkai konflik masyarakat dan ibu bapa yang prejudis terhadap kanak-kanak yang istimewa (khususnya kanak-kanak disleksia).


Lelaki = JURUTERA; Wanita = DOKTOR

Ibu bapa yang begitu mengharapkan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, sekolah terbaik dengan fasiliti yang terbaik adakalanya cuba menetapkan takdir hidup anaknya. Maka dalam cerita ini, jantina seorang anak akan menetapkan kerja akan dilakukannya 20 tahun akan datang. Di sinilah kita dapat lihat dua watak utama iaitu Farhan dan Raju yang mempunyai konflik besar dalam memenuhi kehendak keluarga. Bijakkah mereka kerana berusaha menyenangkan hati ibu bapa yang bertindak seperti Hitler? Atau mereka hanya boneka yang tercipta hasil daripada sistem masyarakat yang menekan dan mendesak?



Lahirnya manusia-manusia "MESIN"


Garapan kreatif daripada Pengarah filemnya Rajkumar Hirani (gambar), menghasilkan filem yang membuka pemikiran kita agar keluar dari kepompong pemikiran biasa. Pemikiran yang sangat percaya bahawa dengan markah tinggi yang terpampang di kertas peperiksaan akan menjamin masa depan yang terbaik. Saya percaya di negara kita juga pemikiran ini telah lama "dipupuk". Namun, melalui 3 Idiots, penyangkalan terhadap stigma seperti ini, digambarkan dengan begitu sempurna. Watak Chatur a.k.a Silencer dilakonkan sebagai pelajar yang "hebat" menghafal setiap kandungan buku daripada kulit ke kulit tanpa menghiraukan praktikalitinya. Silencer lahir menjadi manusia "mesin" yang akalnya hanya digunakan untuk menjadi yang pertama dan yang terhebat! Tapi, adakah benar dia yang terhebat??


VIRUS

Di kolej pula, Prof. Viru Sahastrabudhhe a.k.a ViruS, mentadbir kolej yang tersohor itu dengan percaya pada sistem yang secara tidak langsung menyekat kreativiti. Padanya kreativiti yang tidak mengikut seperti norma yang ditetapkan di kolej tersebut hanya akan merosakkan reputasi. Yang penting ialah reputasinya diukur melalui prestasi kolejnya yang sentiasa berada di tempat pertama dalam senarai kolej-kolej terbaik. Perkataan simpati, belas kasihan seakan dipadamkan terus daripada kamus hidupnya kerana padanya perkataan itu akan melumpuhkan strategi "peperangan tekanan" ciptaannya. Dia menanam falsafah dalam diri setiap pelajar "..jika anda ingin berjaya, maka ikutlah cara saya!" Jadi penghasilan pelajar di kolej tersebut sentiasa mengikut acuan tersebut hinggalah hadir the "3 Idiots" menjadi pelajar-pelajar yang cuba membenam falsafah seorang yang bergelar PROFESOR! Berjayakah usaha mereka?


Terima kasih Datuk Saifuddin!

Dalam entri ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memperkenalkan cerita ini. Hal ini berlaku ketika saya mengikuti program Muslim Super anjuran ILuvIslam.com, beliau selaku penceramah pertama, telah serba sedikit menceritakan tentang watak-watak dalam filem ini dan mencadangkan kepada kami untuk menontonya. Malah beliau turut menyewa sebuah panggung wayang semata-mata untuk memberi peluang mahasiswa universiti menonton sendiri cerita ini! Jadi hal ini benar-benar membangkit rasa ingin tahu saya tentang apakah benar-benar terdapat keunikan dalam kisah 3 Idiots.


Sedikit butir mengenai beliau, Datuk Saifuddin Abdullah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau jugalah orang yang bertanggungjawab menongkah pemikir hebat Malaysia, apabila beliau menyuarakan, mahasiswa perlu diberi peluang beraksi di pentas politik. Padanya, biarlah kreativiti mahasiswa itu dikembangkan dalam apa jua bidang, dan bukan membunuhnya! Pemikirannya dan pendapatnya sering sahaja menjadi perhatian saya melalui entri-entri yang ada di laman sesawangnya. Semoga dia berjaya memperjuangkan apa yang diketengahkan.


Refleksi


Akhirnya saya berjaya membuat sedikit review tentang 3 Idiots dalam entri ini setelah agak lama menangguhkan penulisan ini kerana kekangan waktu dan hal-hal lain.

Setelah dua kali saya menonton filem ini, ia sentiasa membuatkan saya bertanya kepada diri, adakah matlamat saya belajar selama ini benar-benar bermatlamatkan ilmu? atau sekadar ingin mendapat kerja? atau sekadar mengejar segulung ijazah? atau hanya ingin menunjuk gah? Adakah sistem pendidikan kita sudah menjamin lahirnya generasi yang inovatif dan saintifik yang dilengkapi dengan nilai-nilai moral sebagai manusia yang holistik?

Dalam hirarki Maslow, tingkat keperluan yang tertinggi bagi seorang manusia adalah self-actualization. Jadi ketika saya mempelajari teori ini saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya kita ingin mencapai tingkat tersebut? Nah! dalam filem ini anda akan bertemu jawapannya.

Jadi saya cadangkan kepada sesiapa yang belum menonton filem ini terutama kepada mahasiswa, ibu bapa, pelajar sekolah dan mereka yang ingin memahami makna sebenar pendidikan, untuk memberi sedikit ruang dan masa melihat sendiri bagaimana dunia ini bukan mustahil untuk diubah sistemnya walaupun ia akan mengambil masa yang lama. Yang penting ialah kita punya daya usaha dalam merencana dan melaksana. Selamat Menonton!

0 Komen:

Post a Comment