Allahyarhamah Hjh Aripah bt. Hj. Mohd. Yasin adalah anak sulung daripada isteri pertama Kiyai Yasin. Pada 8/3/09 jam 3.20ptg, Malaikat Maut telah menceraikan roh daripada jasadmu berdasarkan takdir yang telah Allah tetapkan.di Luh Mahfuz. Nikmat usia yang Allah berikan kepadamu menjangkau 76tahun. Namun bagi kami, cucu-cucumu, terasa masa itu terlalu suntuk. Mungkin inilah ragam manusia. Ketika memiliki, jarang sekali ingin mensyukuri. Dan ketika ia hilang, ketika itulah baru tercari-cari.
Aku melihat saat kau di ambang sakaratul maut. Ibuku (anak kepada arwah), mak su dan saudara mara tidak henti-henti membisikkan kalimah Allah di telingamu. Walaupun suaramu garau kerana keperitan sakit di bahagian tekak, tapi nada nafasmu sealunan dengan nama Allah yang dibisikkan. Aku tidak dapat bayangkan apa yang sedang kau pertarungkan dan hadapi ketika saat-saat genting itu. Tetapi mulutku terkumat-kamit mendoakan agar Allah mempermudahkan jalan untuk kau bertemuNya. Setelah bertarung hampir sejam, kau akhirnya pergi dengan wajah yang tenang.. Kau seakan tidur lena selepas berhempas pulas mempersiapkan bekalan untuk menemui Pencipta..
Setelah jasadmu dimandikan, ku labuhkan kucupanku di dahi sucimu. Terdetik kerisauan di hati, adakah "kekotoran"ku akan mencemarkan dahimu yang selalu lekat di sejadah...? Adakah layak untuk cucumu ini menyentuh telapak kaki mu yang sering membawa jasadmu ke Rumah Allah...? (Ampunilah segala ketelanjuranku Ya Allah....)
Sekali lagi Allah ingin menunjukkan betapa mulianya dirimu. Pada hari dikau dikebumikan, seluruh alam seakan turut menangisi pemergianmu.. Hujan lebat membasahi bumi Kampung Sg. Batang sejak awal pagi lagi.. Ibuku memberitahu, tatkala air bergenang di seluruh kawasan perkuburan dek kerana hujan yang turun semahu-mahunya, ketika jenazah diusung di atas bahu-bahu mereka yang memikul, tanah yang dipijak seakan tanah sawah (bendang) yang agak lembut, Namun.......... liang lahadmu kering menanti kehadiran hamba Allah yang taat ini... Subhanallah...
Kini kau telah pergi menyambut seruan Ilahi. Tiada siapa mampu menghalang ketentuan ini. Pergilah wahai nendaku ke alam yang kekal abadi. Semoga di sana dikau diselubungi cahaya lantaran amalan tahajjudmu yang tidak putus-putus. Dan sikapmu yang tidak pernah menyusahkan orang sekeliling ketika hidup menyebabkan jasadmu mudah diurus dan tidak memberi kesusahan dan keberatan kepada sesiapa.. Kau menerima pengakhiran hidup yang mulia. Semoga kau tergolong dalam golongan orang-orang berada dalam rahmat dan kasihNya.. Ameen...
0 Komen:
Post a Comment