Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

3/01/2009 11:23:00 PM

Harun Yahya - membawa anda ke suatu dimensi pemikiran yang luar biasa

Dihantar oleh thoyyibah




Harun Yahya adalah nama pena Adnan Oktar yang lahir di Ankara pada tahun 1956. Nama pena Harun Yahya berasal daripada dua nama Nabi: "Harun" (Aaron) dan "Yahya" (John) untuk mengenang perjuangan dua orang Nabi tersebut melawan kekufuran. Sebagai seorang da'ie dan ilmuwan terkemuka yang berasal daripada Turki, beliau sangat menjunjung tinggi nilai akhlak dan mengabdikan hidupnya untuk berdakwah kepada masyarakat. Adnan Oktar memulakan perjuangan intelektualnya pada tahun 1979, iaitu ketika menuntut ilmu di Akademi Seni, Universitas Mimar Sinan. Selama berada di universiti tersebut, beliau melakukan kajian yang mendalam tentang berbagai falsafah dan ideologi materialis yang sangat berpengaruh terhadap masyarakat sekeliling pada ketika itu. Hal ini menjadikan beliau memahami sesuatu falsafah lebih mendalam berbanding orang yang memperkenalkan falsafah tersebut. Penulis juga telah menghasilkan berbagai karya dalam bab yang membicarakan tentang kejadian dan kekuasaan Allah seperti “Kaum-Kaum Yang Pupus”, “Penipuan Evolusi”, “Malapetaka Yang Dibawa Oleh Darwinisma Kepada Manusia”, “Bagi Golongan Yang Berpemikiran”, “Global Freemason”, “Deep Thinking” dan banyak lagi.

Saya sempat membaca buku “Keabadian Masa & Hakikat Takdir” tulisan beliau. Sememangnya hujah-hujah yang dikeluarkan membuatkan kita semakin yakin tentang asal penciptaan alam semesta ini. Beliau menyelar terus pegangan tokoh-tokoh materialis yang mengagungkan sentimen bahawa kewujudan alam dan manusia adalah “semulajadi”. Hujah –hujah daripada tokoh seperti Karl Marx, Fred Hoyle, Friederich Engels, George Politzer dan ramai lagi tokoh-tokoh materialis telah dipatahkan dengan mudah dengan menggunakan hujah naqli (Al-Quran & Hadith) dan aqli (berdasarkan pemahaman dan kajian beliau terhadap teori-teori tersebut dan pengetahuan yang luas dalam bidang sains). Mereka yang cuba untuk mengangkat Teori Steady State akhirnya terpaksa akur dengan Teori Big Bang yang terbukti benar.

Jika sebelum ini kita dimomokkan oleh Teori Evolusi Darwin yang dibawa oleh Charles Darwin bahawa manusia adalah makluk yang dievolusikan daripada seekor kera kemudian perlahan-lahan menjadi makhluk primitif dan akhirnya menjadi manusia, telah nyata bahawa Darwin menipu. Teori Darwin ini telah "dibakul sampahkan" dengan bukti-bukti yang menyangkal sama sekali kaitan manusia dengan kera. Fosil-fosil yang dijadikan bahan bukti oleh pendokong teori ini juga telah dibuktikan sebagai PALSU! ternyata Adnan Oktar adalah "wira" yang telah membongkar kebohongan teori evolusi dan mengemukakan fakta adanya Pencipta atas segala sesuatu yang tercipta.

Selain itu, dalam buku yang sama juga beliau menyatakan bahawa manusia sebenarnya hidup dalam suatu alam persepsi atau boleh disama ertikan dengan mimpi. Bermakna kehidupan kita kini hanyalah suatu mimpi yang panjang yang akhirnya kita akan "dikejutkan" pada Hari Kiamat kelak. Pasti anda mula sangsi dengan tulisan saya ini. Tapi percayalah selepas anda membaca buku "Keabadian Masa & Hakikat Takdir" anda akan faham apa yang saya maksudkan. Dan secara tidak langsung anda juga akan faham bahawa rasa panas, sejuk, lapar, kenyang, takut, marah, sakit dan sebagainya hanyalah suatu persepsi yang diistilahkan sebagai "Dunia Isyarat Elektrik". Selepas itu kita juga akan tahu bahawa segala apa yang kita miliki seperti kereta, rumah, pen, kertas, buku, warna, harta, hatta komputer dan segala tulisan yang sedang anda baca ini hanyalah suatu ILUSI!.

Jadi, apa yang ingin kita bangga-banggakan dalam kehidupan ini? Sudahlah jasad yang membawa roh kita ini sekadar pinjaman, harta kekayaan adalah ilusi dan nyawa yang ada dalam jasad kita bila-bila sahaja boleh ditarik Ilahi, layakkah kita untuk menjadi manusia yang angkuh di muka bumi ini? Tidak guna menjadi manusia yang sombong kerana tiada satu pun dalam dunia ini milik kita dan setiap yang kita ada kini bila-bila masa sahaja akan hilang. Marilah sama-sama kita menginsafi kejadian diri yang terlalu kerdil dan kembali sujud mensyukuri segala nikmat yang dipinjamkan oleh Ilahi...
Wallahu a’lam..

0 Komen:

Post a Comment