Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

12/24/2009 06:04:00 PM

Forum: Mencari Cinta Sempurna

Dihantar oleh thoyyibah

Alhamdulilah… sangat gembira dapat mengikuti forum anjuran ILUVISLAM.com di bawah program “Fun & Exciting Weekend with ILI Team” (FEWWIT) pada 19 Dis 2009, di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi. Forum yang bertajuk “Mencari Cinta Sempurna” digarap dengan begitu indah sekali. Pengajuran forum ini juga merupakan salah satu usaha ILUVISLAM event untuk memberi respon kepada pengunjung-pengunjung setia laman sesawang mereka tentang topik yang paling mendapat sambutan dalam laman sesawang tersebut yakni yang bersangkutan dengan “CINTA”.

Saya bertambah teruja apabila di hari tersebut, buat kali pertama saya dapat mendengar buah fikiran secara langsung daripada Ustaz Dzul Khairi Mohd Nor selepas setahun lebih mengenali beliau melalui tulisan-tulisan beliau di alam maya. Walaupun rancangan asalnya Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre yang sepatutnya menjadi antara ahli panel, namun atas sebab tertentu tempat beliau telah digantikan dengan Ustaz Dzul. Suatu replacement yang sangat berbaloi pada pendapat saya. Ustaz Dzul merupakan seorang ikon dalam dunia kepimpinan mahasiswa dan dunia dakwah yang amat saya kagumi. Kini beliau diberi amanah mengemudi sayap Pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) beberapa bulan yang lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada beliau kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Jadi, dalam forum tersebut, kisah beliau bertemu dengan permata hatinya menjadi antara isi ucapan beliau. Selama ini, saya mengenali Ustaz Dzul sebagai orang yang tegas dalam berkata-kata terutama dalam penulisan dan video-video ceramah dan ucapan beliau yang terdapat dalam Youtube. Tetapi pada hari tersebut saya berpeluang mendengar penyampai Ustaz Dzul yang sedikit berlainan daripada yang biasa. Kata-katanya sangat santai tetapi tetap terkesan dalam hati. Banyak juga jenaka yang diselitkan bagi menggamatkan keadaan. Semuanya itu membuatkan penyampaian Ustaz Dzul menjadi sangat versatile, sebagai pendakwah muda yang berjiwa besar.

Namun dua ahli penel lagi tetap tidak mengecewakan. Datin Zaleha yang telah bergiat dalam dunia motivasi selama 30 tahun melontarkan pandangan-pandangan tentang takrifan “Cinta Sempurna” dengan begitu berkesan. Dan seorang lagi ahli panel, Saudara Mohd. Fadzli Yusof yang juga merupakan seorang motivator berpengalaman, sebaik mungkin cuba menyelami hati penonton forum dan berkongsi banyak cerita menarik tentang kisah-kisah cinta. Buat moderator pula, nampaknya walaupun beliau baru pertama kali diamanahkan menjadi moderator, namun cara beliau mengendalikan forum sangat menarik. Dengan berlatarbelakangkan kelulusan dalam bidang seni bina daripada universiti luar negara, beliau sering sahaja membuat analogi yang memaksa para hadirin membuat “brain storming” sebelum persoalan-persoalan tersebut dijawab oleh ahli panel.

Dalam masa yang terasa begitu singkat, forum ini dapat meluaskan lagi pemikiran sempit saya tentang pemburuan cinta sempurna. Tahniah saya ucapkan kepada Team ILUVISLAM yang berjaya menganjurkan forum seperti ini yang sebenarnya sedikit sebanyak dapat membetulkan persepsi salah tentang cinta yang bersarang dalam minda para belia dan remaja hari ini. Semoga pada masa akan datang Team ILI akan membuka pula topik-topik lain untuk dijadikan bahan diskusi pula… I Love ISLAM!



Perasmian Akhbar ILUVISLAM

Antara muslimat yang menghadiri forum

Barisan ahli panel (dari kiri; Saudara Fadzli Yusuf, Ustaz Dzul Khairi, Datin Zaleha Omar) dan moderator

Jika anda berminat untuk mendengar buah fikiran yang dilontarkan oleh Ustaz Dzul Khairi dalam forum ini, anda boleh melawat link berikut:

Ustaz Dzul 1
Ustaz Dzul 2
Ustaz Dzul 3
Ustaz Dzul 4

0 Komen:

Post a Comment