Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

4/16/2010 09:19:00 PM

Beringatlah Sebelum Menulis...

Dihantar oleh thoyyibah

Setelah agak lama berehat daripada mengeluarkan buah fikiran, malam ini dengan kelapangan masa yang Allah beri, ingin saya coretkan sesuatu. Moga ada manfaat buat ingatan saya dan sahabat-sahabat sekalian.

Melihat kepada tajuk yang saya nyatakan di atas, saya lebih menjuruskan entri ini khas untuk artikel yang "ditulis" di laman-laman sesawang. Saya fokuskan kepada blog kerana inilah medium paling mudah dan murah untuk para penulis meluahkan apa yang terpendam di hati, terlintas di fikiran dan ditafsir pula dengan kata-kata yang pelbagai. Bukanlah niat di hati ingin mengajar, jauh sekali untuk menilai tahap penulisan yang dicetuskan oleh ramai blogger masa kini. Siapalah saya untuk membuat penilaian tersebut. Saya sekadar meluahkan sesuatu yang bersarang dalam fikiran sekian lama.


Medan blog memberi peluang yang cukup luas untuk generasi kini berkongsikan segala idea dan pengalaman yang dirasai oleh seseorang. Luasnya peluang itu hingga ia mewujudkan kebebasan yang tiada batas. Saya tidak mahu memanjangkan entri ini dengan mengulas beberapa kes yang terjadi disebabkan eksploitasi yang dilakukan oleh sesetengah blogger terhadap kebebasan "menulis" dalam blog hingga mencemarkan agama dan negara serta mencetuskan permusuhan. Apa yang perlu diperhalusi lagi, berapa ramai dalam kalangan kita yang menjadikan blog untuk menghentam orang lain? menfitnah? menyebarkan khabar angin tak berasas? membuat tuduhan-tuduhan yang belum pasti kesahihannya? Ya... memang betul ada yang mengatakan itu blog mereka, dan mereka boleh menulis ikut kehendak hati masing-masing.


Tapi ingatkah kita bahawa setiap tulisan entri yang kita "terbitkan" dalam blog, akan dibaca oleh ramai orang? Andai kata kita menulis sesuatu yang berbentuk tomahan walaupun ketika itu belum betul-betul dapat dipastikan sejauh mana benarnya "fakta" yang kita tulis, dan sehingga suatu masa terbukti apa yang kita tulis itu salah sama sekali dan membawa fitnah kepada diri orang lain, maka akhirnya kita menerima saham dosa yang tidak putus-putus hinggalah entri itu dipadamkan. Soalnya sekarang, berapa ramai blogger yang masih ingat untuk memadamkan entri yang membawa kepada musibah tersebut? Dan lebih teruk lagi andai kata si blogger telah pergi menyahut seruan Ilahi, apa pula akan jadi pada entri-entri berunsur fitnah, tomahan, makian dan cacian tadi? Sempatkah dia mewasiatkan kepada waris atau sahabatnya untuk menutup blognya atau memadamkan entri-entri tersebut?


Maka dengan itu, haruslah kita sentiasa beringat bahawa bukan kita atau orang tertentu sahaja yang mengunjungi blog kita. Jadi, cubalah sedaya upaya untuk menulis sesuatu yang dirasakan boleh memberi manfaat kepada kita dan kepada pembaca, agar ia boleh menjadi medium perkongsian ilmu dan bekalan amal jariah kita yang berterusan, insyaAllah... Bukan hanya sekadar menjadikan blog sebagai tempat melepaskan perasaan marah dan tidak puas hati hingga akhirnya kita yang terkena semula tempias negatifnya. Di sini saya lebih suka menyatakan lebih baik seseorang itu mengambil artikel/entri orang lain yang dirasakan bermanfaat untuk diletakkan pula di blognya sebagai perkongsian pula di blognya berbanding dia menulis secara semberono dengan penulisan berbentuk seperti yang saya nyatakan tadi. Mungkin ada yang tidak suka dengan cara ini kerana ia dianggap melanggar hak cipta dan mempunyai nilai intelek yang rendah kerana sekadar copy paste dari orang lain. Tetapi pada saya, mengapa perlu ditegah copy paste itu jika tuan empunya artikel itu tadi akan mendapat pahala hasil dari maklumat dan ilmu yang disebar-sebarkan tadi? Dan untuk menghargai penulis asal tersebut, boleh sahaja diletakkan alamat URLnya, menyampaikan ucapan terima kasih dan sebagainya. Jangan juga dilupa kepada Pemilik asal kepada idea-idea yang timbul itu. Dipulangkan semula "hak cipta" sebenar, iaitu kepada Allah. Jadi, salahkah menyebarkan ilmu Allah? Tentu sekali tidak.


Cubalah untuk bersederhana untuk menyampaikan sesuatu perkara. Tidak kira dalam isu politik, pendidikan, sukan, pengalaman dan sebagainya. Manusia memang tidak boleh lari dari melakukan dosa. Namun jika kita punya pilihan untuk tidak melakukan dosa, mengapa kita terus menerus lari dari pilihan tersebut. Jika kita memang punya pilihan untuk menghasilkan entri yang bermanfaat, mengapa kita memilih untuk menulis entri yang hanya menghentam orang lain? Saya faham bahawa konteks "bermanfaat" itu juga berbeza mengikut kaca mata setiap individu. Ada setengah orang beranggapan gosip artis itu suatu yang bermanfaat kepada dirinya. Ada juga orang yang sangat berminat dengan provokasi politik yang sentiasa mencari celah-celah kelemahan sesama sendiri. Namun, cukup hanya saya mengelaskan "bermanfaat" di sini sebagai perkara yang lebih menyuluh kepada jalan ilmu. Ilmu yang membuka minda dan menyegarkan akal budi.


Firman Allah dalam Surar At-Thuur, ayat 21, bermaksud: "..dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya" dan dalam Surah Muddathir, ayat 37-38: " Bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam menerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada menegrjakannya). Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya" dan Allah menyambung dalam surah yang sama di ayat 45 bagi menggambarkan kekesalan perbuatan orang-orang yang sering sahaja menyokong perkara yang tidak tentu kesahihannya dan yang dusta. Maksud ayat tersebut: "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya"


Jadi sangat jelas bahawa kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap tulisan kita. Jangan sampai ia menjadi fitnah dan membawa malu kepada orang lain, melainkan fakta tersebut telah sahih sumbernya. Itupun perlulah disampaikan dengan ayat yang teratur dengan tujuan memberi maklum kepada yang tidak mengetahui dan bukan untuk menghina dan sebagainya. Semoga kita dijauhkan daripada melakukan kesalahan dan dosa yang disengajakan atau yang tidak disengajakan... ameen~ "PadaMu kami berserah, dan padaMu kami memohon pertolongan..."


3/26/2010 10:12:00 AM

Berkata Lelaki Soleh kepada Wanita...

Dihantar oleh thoyyibah

"Saudariku.....
Artikel ini ku tulis dengan rasa kasih di hati. Renungkanlah isinya, hayati maknanya, aplikasikan ilmunya dan sematkan di kalbumu selamanya. Jadikanlah pesananku ini sebagai azimat dalam meneruskan perjuangan dan impianmu, untuk muncul unggul sebagai srikandi yang
mempertahankan agama Allah. InsyaAllah....


Saudariku....
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok, menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang.


Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Namun, tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari dirinya. Umpama mawar, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta kilauan warnanya yang memancar indah mengundang kekaguman terhadap sang kumbang. Tapi awas, duri yang melingkari bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.


Saudariku.....
Aku suka sekiranya kau seperti mawar inspirasi setiap mujahid. Bentengilah dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah.

Hiasilah wajah mu dengan titisan wudhuk. Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Umpama sebutir permata yang dipamerkan buat perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup. Sudah pastinya keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu melebihi daripada yang terdedah.
Wanita solehah yang taat dan patuh pada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam. Namun, ianya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana ianya bercanggah dengan nafsu serakah yang bersarang dalam dirimu, lebih-lebih lagi dengan title gadis yang kau miliki. Sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada...


Namun ingatlah saudariku....
Sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah akan memudahkan baginya jalan-jalan
ke arah itu. Yang penting gadisku... engkau mesti punyai azam, usaha dan istiqomah.


Saudariku.....
Akuilah hakikat dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentingimu.

Sesungguhnya Nabi ada mengatakan tentang bahaya dirimu :

" Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita"....

Oleh itu saudariku.....
Setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Jangan biarkan orang lain mengeksploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu.

Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.


Saudariku...
Dalam hidupmu pastinya ingin disayangi dan menyayangi. Itulah fitrah semulajadi setiap insani, namun ramai diantara kamu yang tewas kerana cinta.

Bercinta itu tidak salah tapi memuja cinta itu yang salah. Kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda mudi sebahagian besarnya kerana sebuah cinta. Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan yang batil apabila kau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan tidak kerana Allah SWT.
Sebelum kau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tak berharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah. Semoga di sana mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadapNya dan timbul rasa cinta dan kasih pada penciptamu.


Saudariku...
Mencintai Allah dan rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta yang hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak, apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai. Tetapi apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti ia akan bertaut kembali.
Dalam usia mu sibukkanlah dirimu dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu. Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan ilmu tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.


Buat akhirnya, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiah sebagai renungan bersama :

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kebahagian yang abadi untuk seseorang insan, kerana ia tidak kekal. Cintakan manusia seringkali membuatkan seorang itu gagal, kecewa, menderita dan terseksa. Oleh itu tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia sendiri."

"ANTARA TANDA KEBERKATAN SESEORANG WANITA ITU IALAH, CEPAT PERKAHWINANNYA, CEPAT PULA KEHAMILANNYA DAN RINGAN PULA MAHARNYA."

3/07/2010 08:40:00 PM

Jalan Pulang...

Dihantar oleh thoyyibah

Kisah ini adalah kisah benar yang ditulis oleh sahabat saya Mohamad Azhim ketika lawatannya bersama krew ILuvIslam di Raudhatus Sakinah pada 20 Februari 2010 lalu. Terima kasih kepada beliau yang sudi berkongsi kisah benar ini. Atas izin beliau juga, saya telah membuat sedikit suntingan terhadap kisah ini tanpa mengubah cerita yang asal. Semoga kita semua beroleh pengajaran daripada kisah ini. Selamat membaca...


Petunjuk Tuhan Setelah Kegelapan

Diam-diam ubi berisi. Itulah perumpamaan yang mampu diungkapkan untuk mengisahkan perjalanan hidup seorang penghuni Raudhatus Sakinah, Sungai Buloh. Barangkali kata-kata “Diam itu lebih baik” sangat perlu untuk difahami bahawa ianya “Baik di sesetengah tempat dan perkara”. Syira (bukan nama sebenar), 19, merupakan anak bongsu dalam sebuah keluarga yang bahagia. Kewibawaan ibu-bapanya dalam mendidik anak-anak cukup terserlah apabila Syira dan adik beradik lain dididik dengan didikan agama yang baik. Malah, tugas bapa sebagai imam masjid di kampungnya cukup untuk membuatkan Syira dan keluarganya yang lain dikenali sebagai golongan yang disegani.

Syira seorang yang pendiam. Dirinya memang sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan semenjak di bangku sekolah lagi. Sikapnya yang suka menyendiri itu tanpa disedari sebenarnya menjadi perangkap kepada dirinya sendiri. Ternyata didikan untuk menjadi wanita solehah yang diberi oleh ibu bapanya masih belum mencukupi.

Suatu ketika dulu, Syira memang diberi perhatian penuh oleh ibu bapa. Memandangkan dia adalah anak yang bongsu, situasi dirinya ketika itu ialah apa yang mahu, semua akan dapat. Tapi sayang, keadaan tidak lama. Segalanya berubah ketika ibu bapa Syira menimang cucu dari kakak dan abang Syira. Perhatian ibu bapa mula beralih arah. Perasaan sunyi mula menyelinap dalam hati Syira.


Munculnya Lelaki Dalam Hidup Syira

Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Sang buaya sentiasa mengintai peluang untuk membaham mangsa yang leka. Syira rupanya menjadi sasaran seorang pemuda di kampungnya. Kasim (bukan nama sebenar), 20, dikenali sebagai seorang pemuda licik di kampung Syira. Boleh dikatakan, kerana kenakalan pemuda yang bernama Kassim ini, dia menjadi terkenal di kampung tersebut. Walaubagaimanapun, Kassim seorang yang peramah, pandai bermain dengan kata-kata dan tidak mudah putus asa.

Syira dipikat oleh Kassim dengan begitu susah sekali. Bermula dengan cubaan SMS untuk berkenalan, Syira yang tahu akan nilai-nilai agama pada mulanya amat menjaga batas-batas pergaulan. Dia sering menolak pelawaan Kassim untuk berkenalan, apatah lagi berjumpa. Sungguh tipu daya syaitan itu memang hebat. Hanya yang betul-betul hebat sahaja mampu menangkisnya. Syira akhirnya menerima Kassim sebagai teman, setelah Kassim bertungkus lumus untuk sekian lamanya.

Memandangkan Syira merasakan dirinya kurang mendapat perhatian dari keluarga, Syira menganggap keluarga sudah tidak lagi mempedulikannya. Kehadiran Kassim dilihat dapat mengisi kekosongan tersebut. Segala masalah, suka dan duka semuanya diceritakan pada Kassim. Syira memberanikan diri untuk berjumpa Kassim. Malah hubungan yang kian akrab itu menjadikan mereka pasangan kekasih yang saling memerlukan. Lama-kelamaan, mereka kerap berjumpa dan berdating di sana sini. Apa nak buat, budaya melayu sangat suka meniru barat.


Penderitaan

Syira yang akhirnya tumpas menjadi mangsa kepuasan nafsu Kassim untuk beberapa kali. Dan akhirnya Syira telah disahkan mengandung. Dia memberanikan diri untuk menceritakan perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana itulah langkah terbaik untuk menyelamatkan situasi dirinya yang kian buntu. Dan inilah fenomena yang kerap berlaku dalam remaja kita, “bila dah jadi, baru nak cari mak, baru nak cari bapak”. Ternyata apa yang berlaku, memusnahkan segala perancangan ibu bapa dan kakak serta abang Syira yang lain.

Sebelum ini ibu bapa Syira menyangka didikan agama yang telah mereka berikan sudah sangat mencukupi. Mereka juga tidak pernah membayangkan anak kesayangan mereka ini akan membawa onar dalam keluarga. Tambahan pula dengan status ibunya sebagai guru agama, dan bapanya sebagai imam, menjadikan mereka lebih yakin yang anak-anak mereka bakal mewarisi kesolehan mereka. Di pihak Syira pula yang menyangka dirinya tidak dipedulikan dan tidak lagi disayangi rupanya salah. Kini barulah Syira tahu bahawa keluarganya telah merancang dengan begitu teliti akan perjalanan hidupnya. Tangisan sudah tidak bermakna ketika itu. Namun itu sahajalah yang mampu Syira zahirkan dalam mengenang kesilapannya.


Selamat Datang Ke RS

Syukurlah ibu bapa Syira amat menyayangi anak bongsu mereka yang seorang ini. Syira dihantar ke pusat jagaan remaja puteri Raudhatus Sakinah untuk dipulihkan akhlak dan mendapat bimbingan sebaiknya. Syira kini sedar bahawa, kebiasaannya lelaki tidak akan bertanggungjawab bila mereka sudah terjebak dalam kancah zina. Malah lelaki yang berzina sering sahaja mengimpikan wanita-wanita solehah sebagai isteri mereka kelak. Inilah pandangan hati yang buta dari seorang lelaki.

Di Raudhatus Sakinah, Syira mula mengenal dunia. Dulunya dia sukar bergaul, akhirnya mendapat teman-teman istimewa di rumah itu. Syira dididik untuk bertahajjud dan bermunajat setiap malam, aktiviti usrah dan halaqah, serta rutin-rutin harian yang amat sibuk sehingga Syira tidak sempat untuk memikirkan kesalahannya yang lalu. Baginya, segala pengisian di rumah itu ternyata berkesan dan kini, hidupnya lebih tenteram dan bersemangat serta ceria. Dia bukan lagi Syira yang pendiam seperti dulu. “the old me is dead and gone..” Barangkali inilah yang ingin diungkapkannya.

Syira berhasrat untuk meneruskan apa yang telah dirancang oleh keluarga untuknya. Malah, dia juga tidak pernah mengetahui apakah bidang yang bakal diambil sekiranya keluarga mengaturkan supaya Syira menyambung pengajian. Syira nekad untuk bersungguh-sungguh menjadi manusia hebat untuk menebus kesilapan besar yang pernah dilakukannya.


Perkongsian Bermakna

Kunjungan sehari krew iluvislam.com ke Raudhatus Sakinah merupakan satu program khidmat sosial yang sangat bermakna. Kisah benar yang diceritakan oleh Syira ini, saya dapatkan ketika sesi perkongsian bersama penghuni. Syira bersama dua orang kakak yang senasib dengannya, berkongsi pengalaman dan cerita mereka dengan saya. Puncanya hampir sama tetapi cara mereka mengalaminya sangat berbeza. Konflik ibu bapa, keinginan untuk bebas, lupa untuk menjalankan tanggungjawab pada Tuhan, kurang perhatian daripada keluarga dan banyak lagi, sangat menjadi punca buat mereka.

Syukurlah mereka sedar.

Mereka mendapat cahaya setelah bergelap sekian lama.

Syira dan dua lagi kakaknya itu sempat memberikan pesanan, yang juga hampir sama. “Janganlah tinggalkan solat, utamakanlah family, dan fikir dulu sebelum buat, OK..!!” tegas Syira. Manakala dua orang kakaknya yang senasib itu juga memesan supaya mereka di luar sana, ingat pada Tuhan, dan jaga pergaulan. Sentiasalah fahami akan kasih sayang keluarga pada kita, yang sememangnya tidak jelas bagi sesetengah orang terutaman remaja. “Bila kita kejar ALLAH, kita akan dapat ALLAH. Tapi bila nafsu yang dikejar, memang inilah yang akan kamu dapat..” tambah mereka lagi.

Perkongsian kami pada hari itu ditamatkan dengan gurau senda dari saya, serta sedikit kata-kata semangat buat mereka. Mereka mempunyai cita-cita yang menggunung selepas keluar dari Raudhatus Sakinah. Dari raut wajah mereka,dapat kita lihat bahawa mereka bakal menjadi manusia hebat, kerana mereka kuat berazam dan mereka telah berTAUBAT. Merekalah, penghuni RAUDHATUS SAKINAH.

-Mohamad Azhim

3/07/2010 05:52:00 PM

Kiamat: Manusia kian terdesak

Dihantar oleh thoyyibah


Antara kita percaya atau tidak, kiamat PASTI akan tiba. Sama ada kita bersedia atau tidak, kiamat pasti mengakhiri episod bumi ini. Yang namanya Yahudi dan Kristian juga meyakini hal ini walaupun terlalu banyak penyelewengan yang mereka lakukan dalam mengubah kitab Taurat dan Injil supaya isi kandungannya mengikut selera dan kehendak mereka. Dalam keyakinan mereka, mereka cuba mengira-mengira bilakah tarikh akan berakhirnya hayat dunia ini. Mucul pula pelbagai buku di barat yang menyatakan konon-kononnya hari kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012 kerana dikatakan kalendar maya berakhir pada waktu tersebut. Kerungsingan mereka diperkuatkan lagi dengan munculnya filem 2012. Filem yang sempat saya tonton bersama sahabat saya yang lain bagi melihat apa yang mereka ingin sampaikan. Pada saya jika mereka ingin menggambarkan kerosakkan yang bakal berlaku pada hari kiamat, sememangnya jalan cerita ini memang tidak logik kerana di akhir filem ini masih terdapat manusia yang terselamat. Ternyata mereka sebenarnya cuba melawan takdir Tuhan dengan teknologi mereka. Tidak mengapalah kerana kita tahu hakikatnya tiada satu kuasa melainkan kuasa Allah yang mampu menyelamatkan kita apabila hari kiamat tiba.

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang filem ini. yang saya ingin ketengahkan mengapa tiba-tiba sahaja kiraan kalendar maya dijadikan sebagai sandaran. Apakah kalendar maya? Siapakah pula Suku Maya? Apakah yang menyebabkan tahun 2012 menjadi pilihan? Jadi, saya telah membuat bacaan lanjut daripada buku "Menyangkal Kiamat 2012: Syirik bagi yang mempercayainya. Islam menolak Ramalan!" tulisan Muhammad Nizam. Berdasarkan pembacaan saya, sebenarnya yang menghebahkan penggunaan kalendar maya dalam pengiraan tarikh hari kiamat ialah Lawrence E. Joseph dalam bukunya yang berjudul: Kiamat 2012, Kajian Akhir Zaman. Lawrence tidak punya kaitan khusus dengan suku maya telah mengekploitasi kalendar tersebut sebagai bukti kajiannya. Menurut Wikipedia; The Maya calendar is a system of calendars and almanacs used by the Maya civilization of pre-Columbian Mesoamerica, and by some modern Maya communities in highland Guatemala and Oaxaca, Mexico. Suku maya pula adalah kelompok suku yang tinggal di Semenanjung Yucatan, Amerika Tengah yang bersempadan dengan Samudera Pasifik di bahagian Barat dan Laut Karibia di bahagian Timur. Dalam kehebohan dunia menggunakan kalendar mereka, mereka sebenarnya tidak pernah mengesahkan dan membenarkan ramalan tersebut. Jadi, apa hak Lawrence untuk mengeksploitasi kalendar tersebut?

Berkenaan buku yang ditulis oleh Saudara Muhammad Nizam pula, isi bukunya sangat padat dengan hujjah naqli yang menceritakan tentang hari kiamat. Konklusi dari buku ini juga sangat jelas yang menyatakan kiamat mungkin akan berlaku sebelum 2012, pada 2012 atau selepas 2012. Tetapi berlakunya hari kiamat bukanlah bersandarkan oleh ramalan Lawrence atau kajian sesiapa sahaja. Pengetahuan hari kiamat hanya ada pada Allah. Tidak perlulah kita menyibukkan diri mencari tarikh tersebut. Yang penting ialah kita tetap yakin dengan kedatangan hari kiamat. Lebih penting juga kita mempersiapkan diri dalam erti kata melakukan amal seikhlas-ikhlasnya, beribadah dengan rasa tawaddhuk dan rendah diri seakan kita akan mati esok hari. Bukan bersiap bagi memastikan bila tiba kiamat, kita akan tetap selamat dan menghuni alam fana' ini. Suatu terjemahan yang sangat meleset. Allah berfirman dalam Surah Muhammad, ayat 18, yang bermaksud:
"(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?" -seperti yang tercatat dalam Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN kepada Pengertian Al-Quran. Wa'allahu 'alam...

2/27/2010 06:03:00 PM

Mulianya Kamal Attarturk di Mata Mereka

Dihantar oleh thoyyibah

Baru semalam kita menyambut kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Adakah ada terkesan dalam jiwa kita tentang jerit perih perjuangan baginda menyebarkan syiar Islam di muka bumi ini? Adakah terdetik rasa rindu kita buat junjungan besar yang amat mencintai kita? dan berapa banyak sunnah baginda yang dapat kita amalkan dalam kehidupan kita seharian? Nyata, saya sendiri akan tertunduk malu mengenangkan persoalan-persoalan ini.

Namun, ada juga perkara lebih dahsyat bila mana seorang yang dianggap musuh kepada semua sunnah baginda, diangkat setinggi-tingginya sebagai tokoh. Sebelum ini saya hanya membaca pandangan seorang pemuda Turki yang telah ditemubual oleh junior saya iaitu Noor Iqbal, bertajuk "Kamal Attarturk Seorang Penyelamat - Sebuah Perspektif" yang mana padangan tersebut membawa kita melihat Kamal @ Kemal Attarturk sebagai seorang penyelamat kepada bangsa Turki. Dan semalam, saya terjumpa berita dalam sebuah akhbar tempatan yang terang-terangan mengangkat Kamal Attarturk. Anda boleh baca berita tersebut di bawah ini:

Kemal Ataturk 'bebaskan' wanita Turki

TOKOH revolusi Turki, Mustafa Kemal Ataturk pernah berkata, perubahan sosial hanya boleh berlaku melalui tiga perkara.

Pertama apabila pendidikan diberi kepada wanita. Kedua apabila kebebasan diberi kepada wanita dan ketiga, apabila lelaki menukar pemikiran apabila hidup bersama wanita.

Bertitik tolak dari itu, Turki berubah dengan sekelip mata.

Kini, golongan wanita di republik ini semakin melakar kejayaan dalam pelbagai sektor dari bidang akademik sehinggalah ke bidang politik.

Kesempatan berada di kota Istanbul baru-baru ini membuka mata saya betapa tokoh revolusi negara ini, Ataturk, seorang tokoh yang amat disayangi rakyatnya, berjaya mengubah sistem sosial Turki terutama dalam membuka peluang kepada wanita.

Tokoh Revolusi Turki

Ataturk, pengasas dan presiden pertama Turki itu, dilahirkan pada tahun 1881 di Salonika, Greece dan memulakan kerjayanya sebagai seorang askar.

Setelah kejatuhan Empayar Ottoman, beliau mengetuai Pergerakan Turki Nasional dalam peperangan untuk mencapai kemerdekaan dan membuat pembaharuan pada sistem politik, ekonomi dan budaya negara ini.

Ketua Pengarah Hal Ehwal EU di Kementerian Perdagangan Luar Turki, Husnu Dilemre berkata, Attaturk merupakan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani.

"Beliau merupakan pengasas Turki dan hero kami.

"Kami merupakan negara yang pertama di Eropah dan dunia yang memberikan hak kepada wanita untuk mengundi orang pilihan mereka. Negara Eropah lain yang dikenali kononnya menegakkan hak asasi manusia sebenarnya mengikut jejak Turki," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dilemre berkata, perubahan bukan sahaja dapat dilihat menerusi kemajuan golongan wanita malah ia turut meningkatkan tahap pendidikan serta menerapkan nilai demokrasi.

Selain itu, revolusi yang dibawa Ataturk turut merubah struktur pemerintahan Turki dari sebuah empayar menjadi sebuah republik.

Pesanan Ataturk yang dipegang hingga kini

Pendidikan ketika itu antara fokus utama Ataturk.

Beliau mahu melihat golongan wanita bukan sahaja pandai menjaga anak-anak, membuat pakaian dan menguruskan rumahtangga malah dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

Ini dapat dibuktikan melalui kata-katanya yang menyeru wanita supaya bekerja keras untuk menimba ilmu.

"Wahai wanita: menangilah peperangan menerusi pendidikan, nescaya lebih banyak yang boleh kau sumbangkan kepada negara berbanding kami. Kepada kamulah, kami merayu.

"Kepada lelaki: sekiranya golongan wanita tidak dapat berkongsi dalam perkembangan sosial negara, nescaya kita tidak akan mencapai pembangunan sepenuhnya. Kita akan kekal ketinggalan dan tidak berupaya untuk melayan atas syarat yang sama dengan tamadun Barat," kata Ataturk ketika itu.

Mengenangkan sumbangan besar beliau kepada negara, setiap tahun pada 10 November dan tepat pukul 9.05 pagi, seluruh negara akan berdiam diri dan semua kenderaan akan berhenti selama seminit bagi menghormati pemergian beliau pada tahun 1938.

Kejayaan wanita Turki

Ataturk percaya wanita perlu diberi hak untuk mengundi dan dipilih menjadi pemimpin kerana demokrasi menetapkan ada kepentingan yang perlu wanita pertahan dan ada tanggungjawab sosial yang perlu wanita laksanakan.

Ini terbukti apabila beliau mengumumkan pada 5 Disember 1934 bahawa Turki memberikan hak kebebasan berpolitik sepenuhnya kepada golongan wanita.

Tindakan itu ternyata lebih awal berbanding beberapa negara Eropah yang lain.

Selain itu, hak sama rata untuk wanita dalam perkahwinan turut diwujudkan.

Hasil daripada dasar itu, lahirlah beberapa tokoh wanita yang prolifik antaranya Nezihe Muhittin, pengasas parti politik wanita pertama di Turki; Sabiha Gokcen, juruterbang pesawat perang wanita pertama di dunia dan Safiye Ali, doktor wanita pertama di Turki.

Ataturk sumber inspirasi

Sabiha Gokcen, wanita pertama yang menjadi juruterbang pesawat perang di dunia juga ialah anak angkat kepada Ataturk.

Ataturk yang pada ketika itu mempunyai minat mendalam terhadap kapal terbang, mendorong minat Sabiha untuk menceburi bidang itu yang dimonopoli golongan lelaki.

Sepanjang kariernya bersama Tentera Udara Turki, Sabiha berjaya menerbangkan sebanyak 22 pesawat dan mencatat jumlah jam penerbangan sebanyak 8,000 jam, yang mana 32 jam melibatkan pertempuran aktif dan misi pengeboman.

Selain itu, beliau juga berjaya melatih empat juruterbang wanita di bawah didikannya.

Sehingga kini, namanya disebut seantero dunia dan merupakan satu-satunya juruterbang wanita yang dipilih untuk poster 20 juruterbang terhebat dunia yang diterbitkan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat pada tahun 1996.

Harapan generasi muda

Ketika berada di ibu kota Turki, penulis sempat berkenalan dengan Ayse Denknalbant, pelajar tahun akhir kedoktoran bidang Arkeologi di Universiti Istanbul dan bertanyakan perasaannya tentang tokoh itu.

Ayse menyifatkan perubahan yang dibawa Ataturk, bukan sahaja membawa kemajuan kepada republik ini, tetapi seluruh strata sosial Turki sehinggakan golongan wanita ketika itu yang agak terbatas pergaulan dan tingkah laku, berjaya keluar dari kepompong itu.

"Bagi kami, perubahan yang dibawa membuka peluang yang luas bagi kami untuk mempelajari dan meneroka bidang yang sebelum ini hanya dikuasai lelaki," kata pelajar berusia 32 tahun itu.

Katanya, sebagai negara Islam, Turki boleh berbangga kerana pembangunan yang dicapai setakat ini turut disumbang oleh golongan wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang hasil reformasi republik hampir 80 tahun lalu.

Walau apa pun bentuk kejayaan yang dicapai oleh wanita Turki sehingga kini, ia tidak akan bermakna sama sekali sekiranya wanita melupakan tugas asalnya iaitu mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.

Sambil memetik kata-kata penyair Jalaludin Rumi yang memulakan perjalanan sufinya di Turki: "Wanita ialah cahaya dari Allah, dia bukan sekadar untuk dikasihi, tetapi ciptaan Allah yang istimewa."

Itulah kekuatan wanita Turki, yang ironinya lakaran kejayaan mereka bermula daripada usaha seorang lelaki -- Mustafa Kemal Ataturk. - Bernama


Kebanyakan isi berita ini lebih kepada cuba menyatakan bahawa Kamal Attarturk adalah hero bagi kaum hawa. Bagaimana pula halnya dengan larangan yang dibuat terhadap pemakaian tudung? Ia juga merupakan hak asasi dan hak ISLAM yang perlu ditegakkan. Dan saya melihat sekarang kita mula cenderung kepada sesuatu yang dikategorikan sebagai "bebas" . Makanya tokoh yang konon-konon memperjuangankan kebebasan wanita diangkat setinggi-tingginya. Sedarlah, tanpa Kamal Attarturk pun, maruah dan martabat wanita telah diangkat begitu tinggi oleh Allah. Kita sendiri sebenarnya yang menyebabkan ianya jatuh dek kerana kegagalan kita mengikut lunas dan batas-batas agama yang telah ditetapkan. Wanita punya kedudukan yang tersendiri dalam Islam. Begitu juga lelaki. Semoga kita tidak terlalu cepat mengagungkan "tokoh" yang disebalik kerja-kerjanya terselit agenda-agenda yang terang terangan bertentangan dengan Islam.

Saya sedang cuba menghabiskan bacaan buku "TURKI, Negara Dua Wajah" (Pengkhianatan Kamal Attarturk Terhadap Dunia Islam), tulisan Dr. Abdullah Azzam. Pengantar dan penganalisi buku ini pula ialah Dr. Muhd. Nur Manuty & Prof. Dr. M. Redzuan Othman. Banyak pembongkaran tentang kisah Kamal Attarturk yang menceritakan siapa sebenarnya Kamal Attarturk. Terlalu sedih ketika saya membacanya. Semoga kita semua diselamatkan daripada jenis manusia sebegini yang zahirnya dapat kita lihat dia mendatangkan keuntungan kepada negara, tetapi secara tersembunyi, dia punya agenda jahat terdapat agama Allah dan saudara-saudara Islam kita. wallahu'alam...

1/31/2010 03:15:00 PM

Wanita...

Dihantar oleh thoyyibah




Pesanan si kakak buat adiknya yang tersayang. Semoga menjadi nasihat dan peringatan yang bermakna buat seluruh kaum Hawa. Hayatilah…




“Wahai kakakku, kenapakah lemah sungguh kaum hawa itu? Asyik berteman tangis dan sendu sahaja...”


“Wahai adikku, bukan wanita itu lemah dek kerana tangis dan sendunya. Tetapi di disitulah wahai adikku, kekuatan bisa meleburkan ego seorang lelaki. Menjadi izzah yang paling gah. Bahkan lebih gah dari egonya seorang lelaki. Kerana sendu rayunya, Musa A.S. terselamat dari kekejaman Firaun. Duhai addikku, lembut wanita itu bukan lemah, tetapi senjata.”


“Namun wahai kakakku, wanita itu fitnah dunia…”


“Pernahkah adikku dengar, pesan Ilahi pada hambaNya?” Wahai lelaki-lelaki yang beriman, tundukkanlah pandanganmu dan tutupkanlah auratmu… “Cuba adik nilai, pada siapa terlebih dahulu Allah dahulukan pesananNya….? Pada hamba yang bergelar Ar-Rijal. Kerana andai si lelaki menjaga pandangannya, maka tidak mungkin akan wanita menjadi fitnah pada dirinya. Dan tidaklah Allah lupakan pesanan buat wanita, agar memelihara auratnya. Kerana di situlah kehormatannya. Bukan fitnah semata-mata jikalau Ar-Rijal dan An-Nisa’ sama-sama mematuhi pesanan Ilahi itu! Sesungguhnya wanita yang beriman yang solehah itu lebih baik dari beribu lelaki yang soleh.”


“Tapi kakakku, kenapa wanita itu menjadi peragaan? Tidakkah mereka merasa malu?”


“Wahai adikku sayang, al-haya’ (sifat malu), ada dalam diri setiap insan. Wujudnya seiring dengan nafas insani. Dan al-haya’ itulah pakaian iman. Pada diri wanita itu, indah al-haya’ sebagai pembenteng diri. NAMUN… bila mana al-haya’ itu lebur, imannya runtuh, kenapa mereka merelakan diri menjadi peragaan? Kerana mereka sebenarnya paranoid. Merasakan diri belum cukup menarik. Mereka sebenarnya kalah dari segi psikologi. Namun adikku, wanita solehah itu pasti melindungi diri mereka dari perbuatan murahan itu. Wahai adikku, 1001 keindahan penciptaan wanita. Pandai-pandailah dikau menilai, antara permata dan debu-debu kilauan pasir. Wahai adikku, janganlah adik gusar, tatkala tiada lelaki yang hadir memetikmu dan jangan engkau sekali-kali merendahkan dirimu… menggugurkan diri… menyembah tanah… Sedangkan engkau sebenarnya telah Allah jadikan begitu tinggi martabatmu”