Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

5/02/2010 08:39:00 PM

Praktikum terakhir

Dihantar oleh thoyyibah

"Alhamdulillah..." Itu sahajalah ucapan yang meniti di bibir tatkala loceng tamat sesi persekolahan pada 30 April berdering di Sekolah Kebangsaan (2) Petaling Jaya. Terasa lepas segala penat dan payah menghadapi tempoh praktikum 3 bulan di sekolah ini. Bagi insan yang hatinya belum cukup dibentengi dengan ketabahan, saya terasa cukup teruji untuk menghabiskan tempoh tersebut. Namun akhirnya, segala pengalaman yang terkutip selama menjadi guru praktikum di SK (2) PJ banyak membentuk jiwa dan perasaan agar sentiasa redha dengan takdir yang telah Allah tetapkan. Sesungguhnya Dia sajalah yang tahu apa yang patut ditempuhi oleh setiap hambaNya...


Tempoh transisi


Beratnya hati saya ketika menghadapi tempoh sebulan pertama di sekolah ini. Air mata sering menjadi teman ketika saya menghadapi tempoh untuk menyesuaikan diri dengan sekolah. Sekolah yang diadakan pada sesi petang, memberi pengalaman penat yang sangat berbeza. Adakalanya sampai saja di asrama (biasanya dalam jam 7.00-7.30 malam bergantung kepada keadaan trafik) saya terus menghempaskan badan ke tilam. Terasa letih yang amat. Dan sering sahaja saya tertidur hingga jam 7.45 malam dengan baju formal masih kemas di badan. Bila tersentak dari tidur, dalam keadaan "mabuk" saya pergi ke bilik air untuk mandi dan selepas itu solat maghrib. Mungkin ketika itu jam biologi saya belum dapat adapt dengan keadaan ini. Hal ini berlarutan hinggalah masuk ke bulan kedua. Selepas itu, alhamdulillah, saya tidak rasa begitu letih dan masih boleh melakukan kerja lain pada waktu malam.


Kewangan

Mengenangkan bertapa banyaknya duit yang perlu saya keluarkan untuk perbelanjaan harian seperti tambang teksi, makan, minum, kos menyediaan bahan bantu mengajar (BBM) dan lembaran kerja, saya memutuskan untuk tidak membuat anggaran perbelanjaan yang bakal saya keluarkan sepanjang tempoh praktikum. Tak sanggup rasanya untuk melihat jumlah besar yang saya belanjakan untuk perkara-perkara tersebut. Saya hanya boleh katakan untuk sehari purata perbelanjaan saya sekitar RM15. Mungkin lebih, mungkin kurang. Lebih mengecewakan ialah, disebabkan fear factor saya iaitu takut membawa kereta, menjadi penyebab utama saya terpaksa menaiki teksi setiap hari. Ada rasa bersalah bersarang dalam diri apabila saya bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, tapi turut menyusahkan rakan se-praktikum (diha). Dan saya rasa dia membelanjakan wangnya lebih banyak dari saya kerana kerajinannya menghasilkan BBM hampir setiap hari. Tidak seperti saya yang lebih suka menggunakan tayangan media tanpa membabitkan kos untuk membeli kertas sebak, kad manila, gam dan sebagainya.


Bebanan tambahan

Bila bergelar guru praktikum, tidak dapat tidak, kita akan diberi kerja part time selain core bisnes iaitu mengajar. Kami diberi tugasan untuk menghias bilik mesyuarat dan membuat carta organisasi sekolah. Mungkin kerana kurangnya daya kreativiti dalam diri saya, saya bersama diha terpaksa membuat carta sehingga tiga kali kerana kelihatan kurang menarik. Kami akur. Namun, hati kecil tetap merungut. Tugasan lain adalah seperti membuat banner, mengemas inventori, menjadi urusetia untuk pelbagai aktiviti dan perlu mengorbankan cuti hari Sabtu. Walau bagaimanapun, saya masih merasakan sekolah kami tetap bertimbang rasa dalam memberikan kerja-kerja tambahan ini kerana kami masih mampu untuk melaksanakannya dengan baik. Berbanding sekolah lain, ada rakan kami yang perlu tidur di sekolah untuk menjadi urusetia, ada yang dilantik menjadi juru'letih', ada yang terpaksa membuat mural yang ditouch up beberapa kali, dan sebagainya.

Dalam jangka masa panjang,
saya melihat situasi ini sebagai suatu perkara yang lumrah. Lumrah kerana, hakikatnya, ke mana pun saya dipostingkan nanti, saya perlu bersedia menghadapi cabaran yang pelbagai, bergantung kepada 'tradisi' sekolah tersebut bila menerima kehadiran guru-guru baru. Semoga saya tidak cepat patah semangat dengan menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk saya meningkatkan kualiti diri. InshaAllah...


Pengajaran & Pembelajaran (P&P)

Berbanding ketika saya pergi ke sekolah untuk praktikum yang pertama dan kedua, yang mempunyai murid sekitar 1000 orang, enrolmen sekolah ini hanya dalam lingkungan 140 orang murid sahaja dan mempunyai hanya satu kelas bagi setiap tahun persekolahan. Saya mengajar Kajian Tempatan Tahun 5, Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan (PSK) Tahun 5 dan 6 serta mengajar Bahasa Inggeris untuk Tahun 4. Cabaran saya sudah tentu lebih terarah kepada pengajaran Bahasa Inggeris. Maklum sajalah, dengan latar belakang saya yang kurang berminat dengan bahasa, dan saya juga punya pengalaman yang tidak enak untuk diceritakan ketika belajar subjek ini di sekolah rendah, sangat sukar bagi saya untuk menyampaikan pembelajaran yang berkesan kepada murid. Tapi berkat tunjuk ajar dari guru dan pensyarah pembimbing, keyakinan saya untuk menyampaikan pengajaran semakin bertambah. Namun saya sedar, terlalu banyak untuk diperbaiki. Saya perlu lebih banyak membaca dan terdedah dengan bahan-bahan bacaan berbahasa inggeris. Selepas itu, mungkin barulah saya boleh deliver segala kemahiran L,S,R,W kepada murid dengan baik.

Bagi pengajaran Kajian Tempatan dan PSK, walaupun ini merupakan praktikum ketiga dan yang terakhir, tetapi saya rasa pengajaran saya masih kurang menarik dan saya belum boleh dikategorikan sebagai seorang guru yang kreatif. Aktiviti yang saya jalankan pula sekadar aktiviti biasa yang kebanyakannya pernah saya buat ketika praktikum pertama dan kedua. Tiada peningkatan. Mungkin inilah sindrom burn out yang amat bahaya bagi seorang guru. Malah ia juga akan merugikan murid kerana sering 'disajikan' dengan aktiviti yang sama setiap kali P&P. Jadi, saya akan cuba sedaya upaya memperbaiki kelemahan ini agar saya dapat memastikan apa yang diajar dapat difahami dengan baik oleh murid dan mereka tidak bosan dengan kelas saya. Dan langkahnya ialah saya akan review pengajaran saya berdasarkan rakaman video yang telah saya buat selepas ini dan melihat di manakah lompang-lompang kelemahan yang perlu saya tambahkan 'simen' pada tapaknya. Dan saya juga perlu studi cara pengajaran rakan-rakan praktikum saya yang lain dan sudah tentu memperbanyakkan usaha untuk membaca buku-buku aktiviti P&P yang boleh dilaksankan dalam kelas. Tidaklah hanya sekadar NATO "no action, talk only". Semoga Allah melorongkan jalan ke arah itu...

Berkenaan kawalan kelas, saya kurang mempunyai masalah dalam aspek ini kerana pendekatan saya agak tegas. Jadi murid tidak begitu berani untuk buat hal dalam kelas saya. Cuma mungkin ada satu dua orang murid yang kurang mengambil peduli tentang teguran saya kerana telah kebas telinga mendengar leteran daripada guru-guru lain. Tapi secara keseluruhan, saya merasakan kawalan kelas bukanlah suatu masalah yang utama apabila P&P berlangsung kerana saya lebih menumpukan kepada masalah penyampaian isi kandungan pengajaran saya. Mungkin di sekolah lain, lain pula masalahnya nanti.



Menjalani minggu-minggu terakhir


Bak kata pepatah "Alah bisa tegal biasa". Pada minggu-minggu terakhir, saya sudah kurang merasakan tekanan kerana segala perkara yang saya lakukan telah menjadi rutin harian. Baik dari segi kewangan ataupun kerahan tenaga, saya tidak memandang ia sebagai suatu perkara yang perlu dirungsingkan lagi kerana diri sudah serasi dengan sekolah ini. Andai kata saya ditakdirkan untuk posting di sekolah ini, inshaAllah saya akan terima dengan hati yang lapang.
Dan buat anak murid pula, rasa sayang saya pada mereka sudah sangat kuat bertapak di hati. Saya mendoakan mereka semua berjaya dalam kehidupan dan punya akhlak yang terpuji. Banyak nasihat yang telah saya beri (boleh saja saya dikategorikan sebagai guru yang banyak membebel). Namun, jika mereka tidak dapat semua, cukuplah satu atau dua nasihat dapat mereka amalkan. Semoga ia menjadi amal jariah saya di akhirat kelak. Untuk guru-guru SK (2) PJ, kalian sangat baik dalam melayani kami dan memahami situasi guru yang baru mahu bertatih ini. Saya amat mengharapkan agar saya ditempatkan di sekolah yang mempunyai guru-guru yang ramah seperti kalian.

Saya tutup entri ini dengan hadith Rasululllah S.A.W:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالأَرَضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Ertinya:

“Dari Abi Umamah al-Bahiliy: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia.”

(HR. al-Tirmizi)

Wallahu'alam...

Bersama murid Tahun 5

0 Komen:

Post a Comment