Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

7/18/2010 04:46:00 PM

Kiai Mohd. Yasin Thoha Al-Bakri

Dihantar oleh thoyyibah

Gambar Kiai Yasin dan 4 orang isterinya

Telah lama sebenarnya saya mencari maklumat tentang arwah moyang saya ini. Alhamdulillah, hari ini pencarian tersebut berhasil apabila terjumpa gambar arwah dalam internet yang dipaparkan dalam profil gambar PICASA Paman Khairul (Pakcik Khairul). Walaupun saya tidak pernah berkesempatan bertemu arwah, tapi saya dapat lihat beberapa tinggalan arwah seperti rumah pusaka keluarga (yang dipusakakan kepada arwah nenda saya), Surau Al-Yasiniyah, dan Sekolah Agama Al-Yasiniyah di kampung saya (Kampung Sungai Batang, Bagan Datoh). Arwah nenda saya merupakan anak pertama arwah daripada isteri yang pertama. Mungkin hal ini menjadi sebab rumah pusaka tersebut diwariskan kepada nenda saya.

Gambar Hari Keluarga Embok Yasin 2009
berlatarbelakangkan rumah pusaka


Pencarian saya lebih bermakna apabila menemui artikel dalam Utusan Online tentang sejarah hidup arwah. Semoga roh arwah tenang di alam barzakh sana. Kelak kami pula akan menyusul perjalananmu...



Utusan Online: Bicara Agama

KIAI Mohd. Yasin Thoha al-Bakri adalah ulama yang akan dibicarakan pada ruangan kali ini. Sejarah biografi ulama ini adalah berdasarkan penyelidikan dan penulisan anak beliau sendiri, iaitu Haji Mohd. Arif Zaki. Penulisan beliau adalah bersumberkan fakta-fakta yang beliau terima secara lisan daripada keluarga dan kaum kerabat terdekat, melalui cerita daripada arwah bapa semasa hidupnya, dan juga pengalaman beliau sendiri

Penulisan beliau tersebut adalah majlis 'Sempena Hari Perjumpaan keluarga al-Yasin' yang julung kali diadakan pada 3 Syawal 1424 Hijrah bersamaan 27 November 2003. Hampir keseluruhan maklumat berkaitan ulama ini dipetik daripada penulisan tersebut, yang antaranya membicarakan mengenai kelahiran, pendidikan, rakan-rakan seperjuangan, peranan dalam menjaga keselamatan negara dan pemergian beliau ke Rahmatullah.

Kelahiran

Tokoh ulama ini dilahirkan kira-kira pada tahun 1903 di Kampung Dukuhguna, Kecamatan (Mukim) Krengkeng Kewedanan, Cirebon dalam propinsi (Wilayah) Jawa Barat Indonesia.

Nama penuh beliau ialah Haji Mohd. Yasin Thoha bin Haji Abu Bakar bin Sewi bin Jayem. Ibunya bernama Siti Fatimah, yang digelar sebagai Embok Tua Siti, manakala ayahnya pula digelar sebagai Bapatua Bakar. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga-beradik, iaitu: 1. Hajah Aisyah dan 2. Hajah Halimah.

Kira-kira pada awal abad ke-20, Kiai Mohd. Yasin Thoha bersama adik-beradiknya yang lain dibawa merantau dari Tanah Jawa ke Tanah Melayu dengan menaiki kapal laut melalui Pelabuhan Singapura.

Pada ketika itu, Pulau Singapura memang sudah terkenal di kalangan orang di Tanah Jawa. Mereka kurang mengenali Semenanjung Tanah Melayu, tetapi lebih mengenali 'Singgapur'.

Kiai Mohd. Yasin Thoha selalu berulang alik mengikuti orang tuanya ke Tanah Melayu dengan tujuan berdakwah. Peranan bapanya dalam bidang dakwah dan pendidikan di Tanah Jawa, iaitu di Kampung Dukuhguna terbukti di mana beliau membina sebuah surau dan tempat belajar. Apabila mereka berhijrah ke Tanah Melayu, mereka juga mendirikan sebuah lagi surau di Kampung Sungai Batang.

Hakikat ini menunjukkan penghijrahan ini bukan untuk mencari kekayaan harta benda, tetapi untuk menyampaikan dakwah di samping mencari penghidupan. Surau di Tanah Jawa tersebut masih wujud sehingga ke hari ini, namun tidak berfungsi lagi kerana berhampiran dengan sebuah masjid yang baru didirikan.

Pendidikan

Di zaman kanak-kanak, beliau dididik dan diasuh dengan didikan agama serta sopan santun yang tinggi. Bapa beliau iaitu Kiai Abu Bakar adalah salah seorang ahli Sufi yang sentiasa melakukan ibadah puasa sunat.

Disebabkan itu, bapa beliau dikenali juga sebagai Embah Syiam iaitu Embah yang suka berpuasa. Di samping itu, beliau juga banyak mengamalkan ibadat-ibadat lain seperti sentiasa mengadakan Qiamullail, solat sunat tahajud, berwirid sehingga menjelang Subuh dan sebagainya.

Beliau pernah bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Sungai Hj. Mohamad sejauh dua kilometer dengan berjalan kaki dari rumahnya. Namun, pengajiannya di situ tidak dapat ditamatkan yang disebabkan wujudnya gangguan dari anak-anak nakal di sekolah tersebut.

Pernah terjadi beliau dikepung dan dibelasah sehingga pengsan tanpa sebab musabab yang pasti, dan berandaian bahawa hal tersebut disebabkan beliau berketurunan suku Jawa.

Sejak peristiwa yang menakutkan itu, beliau berhenti belajar di sekolah tersebut dan belajar di rumah dengan diajar oleh bapanya sendiri. Tumpuan beliau ialah mempelajari kitab-kitab agama, antaranya kitab Kifayatul Awam Safinatun Najah dan lain-lain dengan menggunakan bahasa Jawa yang ada makna gantung.

Ketika remaja pula, Kiai Haji Mohd. Yasin Thoha dihantar ke pondok di Langgar, Kedah dan seterusnya ke pondok Tok Kenali di Kelantan. Bahkan pernah diceritakan bahawa beliau juga belajar di salah sebuah pesantren di Tanah Jawa.

Setelah beberapa tahun menuntut di pondok, beliau kembali ke Kampung Sungai Batang membantu ayahnya mengajar di Surau Assyafiyah yang diasaskan oleh Haji Shafie bin Haji Nor, Ketua Kampung pertama Kampung Sungai Batang.

Selain pengajian pondok, Kiai Mohd. Yasin Thoha juga mengajar di sekolah yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak kampung. Ketika itu, kebanyakan anak muridnya juga datang dari Perak dan ramai juga datang dari Sungai Tengar, Kampung Sepang, Bukit Bangkong di Selangor. Bahkan pada tahun 1937, beliau lulus dalam ujian mengambil tauliah mengajar agama yang dikurniakan oleh Sultan Perak pada ketika itu.

Setelah memiliki tauliah mengajar agama, beliau bertambah aktif dalam menyebarkan agama Islam di Kampung Sungai Batang. Selain itu juga, beliau turut melakukan pekerjaan lain, iaitu bekerja sebagai buruh kepada abang iparnya, dengan menghimpun dan mengait buah kelapa sebagai sumber pendapatan.

Beliau juga banyak melibatkan diri dalam aktiviti sukan bersama belia-belia seperti bermain bola, layang-layang dan lain-lain.

Rakan-rakan seperjuangan

Antara tokoh agama seperjuangan yang seangkatannya ialah Tuan Guru (Dato') Haji Ghazali Batu 26, Tuan Guru Hj. Abd. Rahman Bagan Datoh, Tuan Guru Kiai Radin Haji Siraj Sungai Nipah Darat, Tuan Guru Hj. Abdullah Sungan Nipah Baroh, Tuan Guru Hj. Abbas Sungai Tiang Darat, Tuan Guru Haji Masduki, Tuan Guru Haji Radzi Selekoh, Tuan Guru Sheikh Hj. Arshad (al-Hafiz) Batu 20, Tuan Guru Sheikh Zubir Kuala Kangsar, Tuan Hj. Adnan Tanjung Bayan dan ramai lagi.

Kiai Mohd. Yasin Thoha bersama sahabat-sahabat beliau tersebut adalah tonggak yang ampuh dan kukuh terutama ketika negara dalam ancaman komunis yang melakukan keganasan kepada masyarakat di sekitar Bagan Datoh pada tahun 40-an. Mereka sentiasa mengadakan rundingan demi rundingan sekiranya ada tanda-tanda pihak pengganas akan melakukan serangan dan kekacauan di kawasan mereka.

Diceritakan juga ketika kumpulan pengganas membuat cubaan untuk menyerang rumah mereka, tetapi tidak berjaya kerana pengganas tidak dapat melihatnya bahkan ada yang ternampak rumah-rumah Tok Guru tersebut, tetapi kelihatan seperti ada sungai yang merintangi, ada yang terletak seperti sebuah pulau dan rumah-rumah tersebut dikelilingi air.

Perkara sedemikian adalah sangat menghairankan bagi orang awam, tetapi bagi seorang ulama yang beramal dan bertawakal perkara tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi adalah suatu karamah yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.

Peranan dalam menjaga keselamatan

Peranan beliau bersama sahabat-sahabat seperjuangan amat berat terutama ketika negara dilanda darurat. Mereka menjadi tumpuan masyarakat Islam yang tersepit antara ancaman pihak komunis dan pihak penjajah Jepun. Mereka yang menyebelahi komunis, akan diculik pada waktu malam dan ada yang mati dibunuh dan sebagainya.

Kiai Mohd. Yasin Thoha berserta kader-kader yang dilatih oleh Tuan Syed Idris ditangkap oleh pihak berkuasa kerana disyaki melakukan pemberontakan, tetapi akhirnya dibebaskan setelah diketahui bahawa gerakan mereka tidak mendatangkan bahaya terhadap keselamatan negara.

Menyentuh mengenai Tuan Syed Idris tersebut, iaitu sahabat setia Kiai Mohd. Yasin Thoha terutama dalam bidang ilmu kebatinan. Dalam tahun 1946, menurut anak Kiai sendiri, iaitu Haji Mohd. Arif Zaki Bin Hj Mohd Yasin pernah menyaksikan kehebatan Tuan Syed Idris dalam ilmu kebatinan tersebut di depan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam peristiwa tersebut, Tuan Syed Idris datang dengan sebuah kereta yang membawa selaras senapang patah dan seekor ayam. Kemudiannya ayam itu diikat dengan azimat kain merah diletakkan di hadapan kedai. Dengan jarak 10 meter, ayam tersebut diacukan lantas dipetik senapang yang berisi peluru tetapi tidak meletup, yang keluar hanya asap dari muncung senapang tersebut diiringi beberapa butir peluru.

Apabila azimatnya diambil, senapang itu dipetik lalu meletup dan ayam itu mati. Selepas itu, Tuan Syed Idris beredar. Menurut Haji Mohd. Arif Zaki, beliau sendiri tidak mengetahui motif Tuan Syed Idris melakukan sedemikian, tetapi berpendapat ia sekadar menakutkan pihak tertentu terutamanya di kalangan pengganas.

Kembali ke rahmatullah

Pada saat-saat hampirnya pemergian Kiai Mohd. Yasin Thoha, beliau disyaki mengidap penyakit kanser dalam perut. Beberapa hari beliau menderita sakit, tetapi beliau tetap tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital. Beliau hanya mendapat rawatan daripada seorang doktor swasta di rumah.

Sehari sebelum pemergiannya, beliau meminta anaknya menuliskan kalimah tauhid Lailahaillallah besar-besar dan dilekatkan pada dinding menghala ke muka beliau. Setelah itu, beliau hanya menumpukan pandangan ke arah tulisan tersebut sahaja, di samping menahan kesakitan.

Akhirnya pada Selasa, 3 Oktober 1978, beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 petang. Beliau dikebumikan di perkuburan Orang Islam Kampung Sungai Batang Baroh pada pukul 4 petang hari Rabu. Semoga pemergian beliau dicucuri rahmat dan keampunan daripada-Nya.

0 Komen:

Post a Comment