Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

11/23/2010 10:01:00 PM

Kolonel Jihad: Antara Mitos & Realiti

Dihantar oleh thoyyibah


Buku ini mengisahkan kisah kembara seorang insan yang mendambakan keamanan sejagat yang cuba memadam keganasan dengan kebijaksanaan strateginya dalam bidang ketenteraan. Beliau tidak betah dikalungkan dengan pelbagai penghargaan kerana padanya khidmat yang tercurah tidaklah sebesar mana. Beliau pernah menjadi saksi kekejaman manusia yang berhati binatang di Stupni Do. Menempuh hujanan peluru dan mortar di beberapa medan pertempuran dan mendedahkan diri di kawasan pembunuhan (killing zone) ketika menabur bakti di luar negara. Bersahabat dengan pejuang-pejuang yang sentiasa berdoa dan menjadi penasaran di malam hari mengharap agar mereka syahid di medan jihad yang tercipta. Malah selepas segala apa yang telah dilaluinya itu, akhirnya beliau mendapat ‘pengiktirafan’ dengan memakai gelaran Banduan!


Pada 17 Mac 2003 wajah Lt. Kol. (B) Abdul Manaf menghiasi muka depan The Malay Mail dengan tajuk “Colonel Jihad [Decorated ex-army officer, held under ISA, believe to be al Qaeda cell member]” tulisan Eddie Chua. Antara pengenalan dalam akhbar tersebut menerangkan beliau seperti berikut; “He had merit awards from the Sandhurst academy and had served in the UN Protection Force in Bosnia. Besides al-Qaeda, police are questioning him on his role in Jemaah Islamiyah. What it that charged Lt-Kol Abdul Manaf Kasmuri?


Semua kisah tersebut ditulis dengan garapan kata yang begitu tersusun dan indah. Saya merasakan seperti membaca karya seorang sasterawan yang telah menerbitkan berpuluh karya. Beliau berjaya membuat pembaca menghayati setiap detik pengalaman beliau sama ada di medan tempur atau di balik bilik bersadur besi.


Penahanan Kolonel Jihad!

Abdul Manaf Kasmuri seorang bekas pegawai kanan tentera berpangkat leftenan kolonel yang amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada beberapa buah negara yang bergolak. Sehingga pada 20 Februari 2003, seluruh lensa kamera media menghala kepadanya. Beliau telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki telah bekerjasama dengan Al-Qaeda dan menjadi penasihat Jemaah Islamiah!


Ketika ditahan, beliau telah pun bersara secara opsyenal pada awal Januari 1995. Sepanjang dua dekad khidmatnya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau telah menyandang pelbagai jawatan antaranya menjadi Ketua Divisyen Putera Maktab Tentera Diraja, Jurulatih Pusat Latihan Darat (PULADA) dan menjadi Pegawai Turus Kanan di Bosnia dan Crotia ketika bertugas di bawah panji PBB - United Nations Protection Force [UNPROFOR] sekitar tahun 1993-1994.


Persaraannya dalam ATM juga agak kontroversi kerana setelah pulang daripada berkhidmat di Bosnia, beliau sering dipanggil untuk soal siasat tentang beberapa tindakannya dan keraguan beberapa pegawai ATM terhadap reputasi baiknya semasa berkhidmat di sana (actions prejudice to good conduct of the service). Selain itu, beliau turut menerima nota ringkas yang ditandatangan oleh Panglima ATM yang menyarankan agar beliau dipecat!


Demi menjaga nama baik ATM, beliau tidak memanjangkan kes tersebut atau meminta sebarang mengadilan di mahkamah. Oleh itu, pada 5 Januari 1995 secara rela hati beliau telah meninggalkan ATM secara rasmi.



Selepas Persaraan

Atas kecintaannya dalam kerja-kerja kemanusiaan, beliau telah kembali ke Bosnia untuk menabur khidmat bersama MRC – ABIM (Malaysian Relief Center – Angkatan Belia Islam) dan diarahkan untuk membantu Odred Mudzahideen (OM) iaitu kumpulan pejuang asing yang memberi khidmat kepada kerajaan Bosnia. Bersama OM, beliau dan rakan-rakan seperjuangan ditugaskan menjadi kumpulan penusuk yang akan menembusi kubu puak Serbia sebelum pasukan lain membuat serbuan dan serangan susulan.


Selain berada di Bosnia, beliau turut terlibat dalam misi kemanusiaan di kawasan bergolak seperti Kosovo, Afganistan, Pakistan, Azad Kashmir, Bangladesh, Myanmar dan Ambon. Segala baktinya ini dilakukan secara sukarela tanpa imbuhan yang mengujakan.



Rakaman Kisah Tetamu Allah

Beliau banyak bertemu dengan insan hebat ketika melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan yang melakar catatan hidup yang istimewa dan betul-betul mendedikasikan kehidupan mereka kepada agama. Mereka menghembuskan nafas terakhir dengan cara paling mulia... mati syahid!


Aku kagum melihat sahabatku ketika di Bosnia yang bernama Abu Khalid. Seingat aku, dia berasal dari Mesir, seorang guru, sudah berkahwin dan mempunyai anak perempuan berumur empat tahun. Anak perempuan dan isterinya tidak henti-henti mengirim bingkisan berita. Namun Abu Khalid tidak pernah membuka warkah-warkah dan kaset rakaman suara yang dihantar. Tidak dinafikan segugus kerinduan terhadap isteri dan anak perempuannya itu sentiasa merayap membelai jiwa. Hanya dengan bersolat, bermunajat dan menelaah Al-Quran dapat menenangkan hatinya yang gusar... Sehari sebelum operasi fatahulmubin, dia membakar semua surat dan kaset yang dikirim tanpa dibukanya dan dia syahid pada pagi esoknya...


Abdurrahman Al-Singapory pemuda jempulan berumur 20an menyusuri lorong jihad lebih awal, tahun 1993. Dia yang sepatutnya diijabkabulkan dengan gadis tempatan pada Jumaat itu. Namun dia ‘enggan’ malah mahu namanya dimasukkan ke senarai mujahid yang akan menyerang kedudukan musuh yang menyekat jalanan. Dia memilih bercumbu dengan kematian dari kepastian perkahwinan! Dia terbunuh dan jasadnya hanya sempat ditanam di sebuah lubang pabila musuh mula menyerang balas. 3-4 bulan kemudian kumpulannya menawan kembali tempat tersebut dan tempat jasad Abdurrahman tertanam dikenal pasti. Demi Tuhan, jasadnya masih tidak reput malah darah segar mengalir keluar!


“Bukan semua yang menawarkan diri untuk berjihad datangnya dari ustaz-ustaz yang sejak kecil dididik dengan latar belakang pendidikan agama yang seutuhnya. Salah seorang dari rakanku pernah bergelumang dengan kehidupan barat yang berkompaskan kepada kelazatan dunia. Ibunya berdoa dan terus berdoa agar anaknya berubah ke atas jalan yang diredhai Allah. Secara drastik, anaknya bertukar ke arah yang lebih positif dan sebulan kemudian menyusup masuk ke Bosnia lantas melaporkan diri di Mu’askar (Kem Latihan) di Zenica dan terpilih untuk menganggotai satu amaliah (operasi). Agak luar biasa aturannya kerana jika diperhalusi, hanya pejuang yang telah lama sahaja yang cenderung untuk disenaraikan. Keesokannya, pihak markas Katiba Mujahidin menghubungi ibunya di Britain dan memaklumkan tentang kematian anak lelakinya. Firasat seorang ibu yang membesarkan segumpal darah selama 279 hari di dalam ovarinya amat tepat sekali. Si ibu tidak langsung terkejut. Dia telah mendapat tahu anaknya itu telah gugur syahid pada malam sebelumnya menerusi mimpi.”


Barisan pengalaman inilah yang menjadi bekalan semangat kepada beliau untuk terus tabah bertahan dalam tirai besi ISA. 3 tahun 8 bulan beliau menyulam kisah bersama tahanan ISA, akhirnya pada 18 Oktober 2006 beliau telah dibebaskan.


Pendapat tentang ISA

Setelah dipenjarakan selama lebih 3 tahun, beliau mengeluarkan pendapat yang begitu sederhana tentang ISA;

Aku tidak menyangkal pandangan sesiapa saja yang menentang, mendokong atau menyokong. Bagiku, analogi ISA adalah seperti pedang yang sangat tajam dan hebat. Ia senjata ‘berbisa’ berlangir dengan kuasa kerajaan memerintah demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. Namun pedang yang terhunus di tangan pendokong yang tidak bijaksana akan memenggal leher sesiapa yang menjadi punca amarahnya kemudian mencetus kezaliman yang menjeruk hati rakyat jelata.”


Walaupun beliau sendiri terkejut dengan setiap tuduhan yang dibacakan kepadanya untuk menjadi asbab penahanannya, nyata ia tidak menghilangkan kewarasan fikiran dan beliau masih yakin pada hikmah di sebalik kisah duka yang terjadi pada dirinya.


Pendirian politiknya juga amat jelas yang berpaksikan kebenaran yang dinyatakan dalam rangkap berikut; “Aku bukan pengikut fanatik kepada sesuatu kumpulan... Bagiku PAS adalah wadah perjuangan politikku namun aku bukan seorang pengikut taksub. Penilaianku ke atas aktiviti dan tindakan politik agak liberal, jika baik tetapku terima walaupun ia datang dari parti lain.”



Simpulan Kata

Saya yakin buku ini bukan ditulis untuk menagih simpati, jauh sekali untuk memalit kebencian kepada kerajaan dan negara. Ia saya lihat sebagai memberi ruang untuk beliau bersuara menjelaskan gambaran sebenar tentang cerita seorang pejuang yang namanya harum di lapangan keperwiraan namun dibusukkan dengan prasangka dan diheret oleh tangan-tangan ghaib ke kancah fitnah keganasan...


Pertama kali saya terpandang cover buku ini di rak buku MPH Midvalley hati saya terus terpaut untuk membacanya. Namun akibat kekurangan tunai, saya letakkan dahulu judul buku dalam wish lists saya. Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada sahabat saya Mohd. Nor Fadzli kerana beberapa hari kemudian saya melihat beliau telah membuat review tentang buku ini di blognya. Memandangkan beliau adalah rakan sekelas saya, saya menggunakan kesempatan tersebut untuk meminjam buku ini dari beliau. Dan setelah selesai membacanya, saya masih tetap ingin memilikinya kerana kisah yang dicoretkan amat luar biasa dan akan memotivasikan sesiapa sahaja yang membacanya. Segala jerih perit yang dilalui oleh Lt. Kol. (B) Abdul Manaf b. Kasmuri, menjadikan diri saya terlalu kerdil. Apa sajalah yang saya telah sumbangkan pada keluarga dan negara selama lebih dua dekad bernafas di muka bumi ini? Sungguh, kisah beliau memberi keinsafan yang membawa saya menilai adakah saya seorang insan yang bersyukur atas segala nikmat yang telah saya perolehi...


Kisah ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Di luar sana ada ramai lagi pejuang yang nama mereka dirahsiakan demi menyalurkan khidmat tanpa mengira sempadan negara. Semoga Allah merahmati insan-insan seperti Lt. Kol. (B) Abdul Manaf yang tulus berjuang dan berkorban demi menegakkan kalimah keamanan di mana sahaja tanah tempat mereka berpijak. Marilah sama-sama kita sedekahkan Surah Al-Fatihah buat pejuang yang telah gugur dan menoktahkan hidup mereka di medan menentang penindasan dan kezaliman... Al-Fatihah~

7 Komen:

Remy Kindichi said...

tabik hormat!
Lt. Kol. (B) Abdul Manaf

KOLONEL JIHAD said...

As salam. Alhamdulillah, saya berpeluang dapat membaca dan meniliti komen dan ulasan tentang diri saya melalui buku Kolonel Jihad : Diantara Mitos dan Realiti yang ditulis oleh sdri Toyyibah Toyyib. Garapannya sangat baik dan padat. Semoga ia boleh mendorong golongan muda membacanya, itulah yang sangat2 saya harapkan. JzkAllahu khoiran wa rahmatan. Kol Jihad.

Unknown said...

salam... boleh sy tau di mana boleh dapat buku ni sekarang?
rasanye takde cetakan semula huhu

Unknown said...

Semoga Allah membalas perbuatan baik Lt Kol. ( B) abdul manaf...salute you..

ournetworks said...

Bravo ank jawe ni

Aku pun jawe gak..

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Bukan pakaian seseorang dijadikan ukuran..
Pengisian, penghayatan dan penyampaian yang akan menjadi benteng terbaik umat manusia..

Sesungguhnya perbualan dan perbuatan yang baik disisi Allah S.W.T hanya lahir dari jiwa/ hati golongan yang lebih baik/ teguh dalam segala usaha tanpa meninggalkan fadhilat penghayatan keserdehanaan.

"Keserdahanaan memudahkan perjalanan terakhir titian sirat"

Apa yang dapat saya PELAJARI:
- Usaha memperbaiki, memperkasa dan meramaikan mukminin & mukminat ke jalan Allah S.W.T adalah tanggungjawab semua pihak.
- Ilmu yang menggerakkan sesuatu (tindakan) hendaklah difahami dan diyakini keperluannya.
- Rukun adalah "philosophy" yang dijadikan pegangan dan perlu dijadikan keutamaan dalam memahami asbab untuk mengikutinya/ mengamalnya.
- Kaizen made up better JOB'S done
- Excellant Kaizen is made up by the great practices of philosophy....

■Sesungguhnya, kemanisan pengalaman seseorang terletak pada pengajaran yang mampu memperbaiki dan memperkasa nilai - nilai murni■
- Suhaimi Ishak
InShaaAllah..

Thanks much for the great sharing En. Abdul Manaf.
Your great efforts is much appreciated. Have a blessed n blissful Eid Fitr Al-Mubarak

May Allah S.W.T ease everything for us

Post a Comment