Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

11/09/2010 11:17:00 PM

Berakhirnya kisah ini...

Dihantar oleh thoyyibah

All praises to Allah The Almighty. Selama 5 tahun setengah kami, PISMP 2 menyusun langkah, akhirnya kini kami hampir menuju penghujungnya. Terlalu banyak pengalaman yang terkutip selama tempoh masa tersebut. Sangat bersyukur juga setiap pengalaman yang dilalui menjadikan diri ini lebih kuat dan matang menghadapi masa-masa sukar yang terjadi tanpa disangka. Kisah jatuh bangun kami sebagai kumpulan minoriti di kampus ini tidak kami jadikan sebagai alasan untuk berasa rendah diri atau tersisih.

Dalam perhubungan, persahabatan kami sentiasa sahaja teruji. Gelak tawa dan tangis mewarnai sepanjang perjalanan kami. Tapi, berkat rasa ingin bersatu dan ingin menamatkan perjalanan ini dalam suasana yang harmoni, kami ketepikan segala perbezaaan dalam pemikiran. Mencampakan jauh-jauh prasangka dan dendam. Kami tanamkan semula benih-benih mahabbah agar hati-hati kami teguh terikat atas landasan persahabatan yang jelas dan utuh.

Dan hari ini, kami berjaya menyelesaikan peperiksaan terakhir dan menamatkan gelaran sebagai guru pelatih.

Peperiksaan TERAKHIR!

Laju saja mata pena menari di atas kertas jawapan peperiksaan. Subjek Wacana & Masyarakat seperti suatu sumpahan yang menghantui diri kami beberapa hari ini. Terutama bila membincangkan tajuk hujah induksi dan deduksi. Berkali-kali rakan-rakan yang ada dalam study group cuba memberi kefahaman kepada saya tentang perbezaan kedua-dua hujah ini. Alhamdulillah, akhirnya saya mampu juga menghadam ilmu pada bahagian tersebut.

Tapi dalam bilik peperiksaan, bila pertama kali membelek-belek kertas soalan alangkah terkejutnya kerana tiada satu soalan pun yang memberi fokus tentang hujah tersebut. Perasaan biasa yang dialami oleh ramai calon bila apa yang dibaca tidak langsung tidak disentuh dalam soalan peperiksaan. Kecewa...

Agak pelik dalam mata pelajaran major Pengajian Sosial kami terselit subjek ini. Walaupun pada hakikatnya dari tahun persediaan kami telah terbiasa belajar berdasarkan kertas proforma dan mencari maklumat daripada internet dan buku-buku di library sambil tangan menggaru-garu kepala bertanya apa sebenarnya yang kami sedang pelajari, tapi untuk tahun akhir kami mengharapkan perkara ini tidak terjadi lagi. Gelaran subjek rojak mungkin paling sesuai untuk menggambarkan kepincangan isi kandungan subjek ini. Malah kebanyakan pensyarah yang mengajar juga tidak faham apa sebenarnya matlamat wujudnya subjek ini. Hmm... apa lagi yang ingin kami harapkan jika pensyarah yang mengajar juga tidak jelas dengan apa yang mereka patut sampaikan. Oleh itu mungkin ada baiknya IPG Induk mempertimbangkan semula contentnya sebelum junior kami menghadapi masalah yang sama.

Hmm...tinggalkan sahaja kepincangan yang ada dalam subjek ini, kerana dalam hati, saya hanya ingin segera menyelesaikan setiap soalan yang diberikan.

Dalam masa 2 jam setengah, memang terasa sangat suntuk untuk menjawab bahagian objektif (20 soalan), struktur 8 soalan yang setiap satu jawapannya berjela seperti mini esei dan 2 soalan esei.

Dan apabila saya meletakkan noktah untuk ayat terakhir dalam esei terakhir, saya segera menghembus nafas panjang. Lega... Walaupun diri sendiri tidak begitu yakin dengan jawapan-jawapan bertaraf "goreng" dalam esei dan struktur dan menjawab beberapa soalan objektif yang sangat tricky, tapi hati hanya mampu berserah. Itu sahajalah yang mampu saya lakukan. Tawakkal 'allallah...



Majalan "Lagenda PISMP 2"

Beberapa minggu sebelum minggu peperiksaan akhir, saya bersama sahabat-sahabat lain berusaha untuk mendokumentasikan segala peristiwa dan mengumpulkan biografi serta gambar sepanjang perjalanan kami di IPG KBA. Kami ingin menerbitkan sebuah majalah kelas. Disebabkan kami hanya ada baki sebulan lebih sahaja lagi di kampus sebelum menamatkan pengajian, maka kami perlu segera menyelesaikan tugas-tugas dokumentasi tersebut. Oleh itu, langkah drastik saya ambil dengan membentuk jawatankuasa sidang redaksi. Dan sebulat suara saya diamanahkan untuk mengepalai projek ini.

Cover page (credit to Pert)

Tindakan awal yang saya ambil adalah berusaha mengusulkan cadangan ini ke peringkat atasan untuk memohon bantuan dari segi dana bagi menampung kos penerbitan. Hasil perbincangan dengan Ketua Jabatan Kajian Sosial, Dr. Azita Amrin, saya bersetuju untuk menyiapkan kertas kerja pada malam tersebut dan menghantar semula kepada beliau keesokan harinya untuk dibentangkan dalam mesyuarat M3P bersama Pengarah dan Ketua-ketua jabatan lain. Namun, tanpa diduga, pada pagi tersebut, ketika ingin menyerahkan kertas kerja yang baru sahaja dicetak, saya mendapati Dr. Azita mengambil cuti sakit. Jadi, kertas kerja tersebut tidak dapat diusulkan dalam mesyuarat.

Namun, keesokan harinya, setelah mendapat persetujuan Dr. Azita, saya pergi berjumpa sendiri dengan Pengarah IPG KBA, Dr. Maznah. Ketika itu, Dr. Maznah baru sahaja sebulan menduduki kerusi tersebut menggantikan Dr. Mohd. Sofi yang bersara wajib. Dengan kata lain, ini adalah kali pertama saya bersemuka dengan Dr. Maznah.

Lebih kurang sejam saya menunggu peluang untuk bertemu beliau kerana beliau sibuk dengan perjumpaan dengan pensyarah di Jabatan Bahasa Inggeris. Hati terasa berdebar-debar memikirkan reaksi beliau nanti.

Sesampai sahaja Dr. Maznah ke biliknya, saya segera masuk. Segera saya hulurkan tangan kepadanya dan bersalam. Beliau mempersilakan saya duduk. Kertas kerja yang telah saya siapkan bertukar tangan. Seringkas dan sejelas mungkin saya memberi taklimat tentang isi kandungan kertas kerja dan hasrat kami untuk memohon dana daripada beberapa jabatan yang pernah terlibat dengan kelas kami.

Agak lama beliau terdiam sambil membelek-belek kertas kerja tersebut, sambil mengambil nafas... kemudian dengan nada yang tenang beliau berkata:

"Saya tak boleh luluskan kertas kerja ini. Saya perlu dapatkan persetujuan dari semua ketua jabatan dalam mesyuarat M3P kerana ia melibatkan wang."

"Awak jangan salah faham. Saya sokong projek yang awak mahu laksanakan ini. Tapi kita mesti ikut prosedur. Jadi saya tak boleh turunkan tandatangan dalam kertas kerja ini."

Saya mengangguk-angguk tanda faham. Nafas dihela panjang... Pembentangan kertas kerja ini tidak dapat dilakukan semalam kerana Dr. Azita tidak sihat. Jadi saya perlu menunggu mesyuarat M3P pada minggu berikutnya untuk menunggu kelulusan. Namun, setelah menunggu pada waktu tersebut, kertas kerja ini tidak juga dapat dibentangkan kerana mesyuarat yang dijalankan terpaksa membincangkan perkara lain yang lebih penting seperti peperiksaan dan hal-hal akademik.

Dalam kekecewaan tersebut saya nekad untuk melaksanakan projek ini secara tidak formal dan hanya melibatkan beberapa orang pensyarah sahaja. Kami tetap meneruskan proses mengumpul koleksi gambar dari Julai 2005 hingga November 2010. Sebarang penangguhan akan menyebabkan usaha menghasilkan majalah ini akan terbantut.



Working & Exam

Ketika menduduki peperiksaan untuk dua paper Education, saya memberhentikan sebentar kerja-kerja pengumpulan bahan untuk memberi peluang kepada kami fokus kepada peperiksaan. Dan untuk paper terakhir iaitu Wacana & Masyarakat, kami mempunyai jarak masa seminggu kerana cuti Deepavali.

Ketika inilah saya mengoptimumkan penggunaan masa untuk menyusun segala gambar dan menyiapkan layout setiap page. Subhanallah...kerjanya sangat meletihkan! Tambahan lagi saya tidak pernah mempunyai sebarang pengalaman dalam projek penerbitan buku atau majalah. Jadi, berganda-ganda terasa kesusahannya. Penggunaan MS Word, Adobe Photoshop dan MS Publisher saya maksimumkan. Waktu pagi, tengahari, petang, malam, semuanya terisi dengan aktiviti menyiapkan majalah. Malah ada hari yang saya terlalu ralit membuat kerja hingga berkumandangnya azan subuh. Saya tidak sempat tidur! Tapi alhamdulillah, saya lakukan segalanya dengan lapang dada kerana sejak dari awal lagi saya memang bersemangat untuk menghasilkan majalah ini. "No Pain, No Gain!"

InshaAllah, setelah segala usaha diletakkan, majalah ini boleh diedarkan pada hujung minggu ini ketika dinner kelas. Semoga hasilnya nanti memuaskan hati semua rakan kelas.


Ketika saya menyenaraikan nama-nama pensyarah yang pernah menjadi tenaga pengajar kepada kami, nyata, jumlahnya agak ramai. Dalam masa 5 tahun setengah, kami telah dibimbing oleh lebih kurang 60 orang pensyarah yang berlainan! Malah ada yang saya terlepas pandang dalam proses penyenaraian tersebut kerana ada dalam kalangan mereka yang kini sedang melanjutkan pelajaran, berpindah ke tempat lain dan ada yang telah pergi buat selamanya seperti mendiang Mdm. Lee Wan Chun yang mengajar subjek teknologi pendidikan.

Dengan jumlah pensyarah seramai ini, kami menerima siraman ilmu yang cukup banyak daripada mereka. Lain pensyarah, lain caranya. Penghargaan yang tidak terhingga saya sampaikan kepada mereka. Semoga ilmu yang tercurah dapat dimanfaatkan sebaiknya ketika memulakan langkah sebagai pendidik berijazah...

Buat masa ini, dalam kelas kami terdapat 3 orang yang telah membina rumahtangga bersama pasangan masing-masing. Tahniah kepada Nurul Shamimi, Ahmad dan Mohd. Azrizad. Dan 3 orang lain telah melangsungkan majlis pertunangan iaitu Shamsiah, Muhamad Iqhwan dan yang terbaru, Khairul Idzhar. Saya mendoakan kebahagiaan buat mereka semua. Dan bagi yang bakal mendirikan rumahtangga, semoga segala urusan kalian dipermudahkannya... ameen~

Akhir kalam, "Selamat Tinggal IPG KBA............!"

4 Komen:

gEnEraL aRe-yiE aL-BaNjaRi said...

tahniah sbb berjaya habiskan 5 taun stgh...:)
rmai gak mber ko yg dh kawin n tunang ek...ko lak ble....kih3...

thoyyibah said...

tahniah jgk pd ko..
err..ntah..inshaAllah ada jodoh nnt, ade la kot kn..xyah tergesa-gesa.. (^_^)

SangKunang said...

tulisan dari hati nih...
panjang.. haha..

btw, terima kasih dan mintak maaf jugak dari aku sebagai rakan seperjuangan ko..
segala memori setengah dekad ni x mudah utk dilupakan begitu saja

thoyyibah said...

ayat berterabur cuz taip tengah2 mlm..panjang lagi kot kalau aku karang betul2..hehe..

inshaAllah..buang yang keruh, ambil yg jernih..
maafkan salah silap ak spanjang kita bersahabat..

semoga success dalam kerjaya dan kehidupan...

Post a Comment