Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

1/10/2010 10:23:00 PM

Perkongsian oleh Tuan Hj. Abd. Manaf Deraman

Dihantar oleh thoyyibah

Sempena sambutan Maal Hijrah peringkat IPG-Kampus Bahasa A/bangsa, Majlis Nuqaba' dengan kerjasama Ketua Jabatan Pendidikan Agama Islam & Moral (JAPIM), Ustaz Ismail Zaini telah menjemput Tuan Hj. Abdul Manaf Deraman (seorang pengamal undang-undang) sebagai penceramah. Isteri beliau ialah Prof. Dato' Dr. Zaleha binti Kamaruddin, yang merupakan Timbalan Pengarah IKIM. Terlalu banyak perkongsian yeng telah beliau sampaikan terutama yang menyentuh tentang isu semasa dan isi hangat yang sering diperkatakan kini tentang isu penggunaan nama Allah.

Disebabkan beliau merupakan pengamal undang-undang yang bertugas di UIAM dalam Fakulti Undang-Undang, makanya penjelasan yang beliau huraikan berkenaan isu ini adalah berdasarkan akta dan perlembagaan. Malah beliau turut mendedahkan beberapa konspirasi yang saya rasa tidak sesuai untuk dicatatkan di sini. Namun apa yang dapat saya katakan ialah, Tuan Hj. Abd. Manaf, berjaya menyelongkar pelbagai fakta menarik di sebalik kes ini.

Selain isu ini, beliau turut memperkatakan tentang isu-isu berkaitan seperti kes Lina Joy, kes Natrah, kes pindaan penjaan anak dan beberapa kes lain. Di sini beliau telah membuat beberapa perkaitan lampau yang menunjukkan ketirisan dalam sistem perundangan kita yang sering sahaja diperkotak-katikkan oleh golongan-golongan yang berkepentingan. Terasa seperti sensitiviti masyarakat tentang isu hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Bila kes memuncak, banyak pihak bising, banyak pihak bangkang, dan banyak pihak melenting malah ada yang mengambil tindakan ekstrim bagi menunjukkan rasa tidak puas hati. Tapi, lama kelamaan, ia akan reda.......hinggalah kes yang sama berulang semula.... Agaknya masyarakat kita ini memang tidak pernah belajar daripada kesilapan lepas...hmm...

Pun begitu, dalam keadaan kita menghadapi pelbagai masalah dan isu yang sepertinya ingin menggugat kemuliaan agama Islam, sebenarnya di sebelah barat sana berbondong-bondong orang memeluk agama suci ini. Diceritakan oleh beliau fenomena yang melanda negara-negara barat yang kini di Eropah lebih dari 25 juta penduduknya adalah beragama Islam. Dan seperti ramai yang sedia maklum, peningkatan ini paling ketara berlaku selepas terjadinya peristiwa 9/11. Sebaliknya, beliau turut menceritanya beberapa situasi yang berlaku di negara di sebelah timur yang kita tidak jangka berlaku. Contohnya di Tunisia, tiada waktu solat diberikan kepada pekerja mereka pada hari Jumaat. Jadi bagaimana agaknya mereka ingin menunaikan solat Jumaat?? Di sana juga fenomena tidak membenarkan wanita yang bekerja dengan kerajaan memakai tudung turut berlaku. Dan beliau turut menggambarkan orang-orang Tunisia kebanyakannya lebih fasih berbahasa Sepanyol berbanding menggunakan Bahasa Arab. Di Pakistan pula, gerakan kristianisasi semakin kuat bertapak. Manakala di negara yang paling ramai umat Islam di dunia, iaitu Indonesia gerakan Islam Liberal semakin menjadi-jadi. Oleh itu, bagaimana anda ingin menilai situasi ini... Tuan Hj Abd Manaf turut berkongsi bahawa ketika beliau berada di tingkatan 2, ustaz beliau yang bernama Ustaz Ahmad Awang telah memberi tafsiran tentang satu tanda besar hari kiamat iaitu "Terbitnya matahari di barat, dan tenggelam di timur". Tafsiran beliau ialah - Islam akan semakin diterima di Barat dan akan semakin ditolak di Timur. Sejauh mana benarnya tafsiran ini tidaklah diketahui. Cuma, kita boleh mengambil iktibar dan memperbaiki diri sendiri dalam kehidupan kita dan hubungan kita dengan Allah.

Diharap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Wassalam...

0 Komen:

Post a Comment