Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

6/28/2010 04:14:00 PM

Sistem Pendidikan Kita, Apa Masalahnya?

Dihantar oleh thoyyibah

"Saya mahu semua tutup buku!" arah seorang Guru Sejarah.

"Cuba awak ceritakan semula apa yang awak faham tentang peristiwa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka?" Soal guru tersebut kepada seorang murid.

"Emmm... errr... saya rasa... Parameswara... eh, bukan.. Sultan Mahmud.. emmmm..." sambil memandang kawan-kawannya yang lain untuk mendapatkan 'talian hayat'.

"Saya dah kata, awak mesti faham, bukan hafal!" bentak guru tersebut.

Semua murid tertunduk.


Ini adalah satu peristiwa yang biasa berlaku dalam kelas yang ketika ini guru akan cuba melontarkan soalan bagi melihat sejauh mana murid-muridnya telah menguasai topik yang telah diajarkan. Dan biasanya jarang ada murid yang dapat menjawab kerana masing-masing menjadi bisu. Mungkin kerana mereka memang tidak ingat atau mungkin mereka takut untuk memberi jawapan dek kerana cikgu di hadapan yang seakan ingin membaham.

Dalam keadaan lain pula, banyak juga 'cerdik pandai' yang berada di luar lapangan pendidikan cuba membuat 'analisis' mereka tentang hasil sistem pendidikan masa kini.


"Sistem exam-oriented sekarang ni la yang buat budak-budak kita jadi 'kayu' masa ditemuduga" seorang pak cik yang sedang lepak di kedai kopi meluahkan 'buah fikiran'nya.

"Nama je pelajar cemerlang, tapi perangai... Nau'zubillah... Cikgu sekolah tak ajar nak hormat orang tua ke?!" Mak Cik Siah meluahkan geramnya kerana bahunya dilanggar oleh seorang budak yang masih lengkap beruniform sekolah. Dari belakang Mak Cik Siah sudah kenal siapa budak tersebut. Hatinya panas!

"Siang malam main komputer! Tak reti-reti ke nak baca buku? Dah la penggal lepas dapat keputusan teruk! Kamu nak malukan ayah lagi depan cikgu-cikgu kamu tu?!" seorang ayah mengherdik 'anak kesayangan'nya.


Mungkin inilah antara lontaran-lontaran suara yang kedengaran bagi menggambarkan gagalnya sistem pendidikan kita sekarang ini yang disandarkan kepada exam-oriented. Jadi pelbagai usaha dilaksanakan oleh pihak sekolah dan kementerian bertanggungjawab untuk mengatasi situasi-situasi sebegini. Jangan dikata kerajaan tidak pernah berusaha. Kerana kita telah nampak ramai generasi dahulu menjadi insan profesional kini. Cuma mungkin ada suatu ketirisan yang berlaku apabila masa dirasakan bergerak lebih pantas dari dahulu. Jadi banyak 'pendekatan' dan sistem yang diguna pakai ketika era Tuanku Abdul Rahman, terasa semakin tidak releven ketika ini.

Rotan tidak releven.

Berdiri atas kerusi tidak releven.

Ketuk ketampi tidak releven.

Menghafal fakta tidak releven.

Tampar, cubit, tarik telinga, dan pelbagai hukuman lain, semua tidak releven. Jadi murid berkuasa, dan guru buat tak tahu saja. Sebab jika guru begitu prihatin terhadap murid yang bermasalah ini dan disentuhnya murid itu, alamatnya ayah atau ibu atau kedua-duanya akan datang ke sekolah dan mula menyingsing lengan ingin 'menuntut keadilan' buat anaknya.

Polimik ini ingin ditangani dengan sistem yang dirasakan lebih diplomasi dengan anak masa kini. Jadi muncullah pelbagai program-program motivasi dan out door activities di sekolah yang difikirkan dapat membentuk kembali murid-murid ini seperti diinginkan oleh semua ibu bapa, malah dapat meningkatkan kecerdasan kognitif mereka semasa dalam kelas. Malangnya, ia masih juga jauh dari mencapai sasaran. Murid masih malas untuk belajar. Malas untuk membaca. Malas mendengar bait-bait ilmu dari guru. Malas, malas dan terus malas... Sistem exam-oriented sekali lagi disalahkan yang menyebabkan murid menjadi malas belajar.

Rentetan itu, kementerian pelajaran telah mengambil pelbagai langkah drastik bagi menjadikan sistem pendidikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada peperiksaan. Kita tidak ingin melahirkan murid yang hanya tahu menghafal, tanpa pemahaman. Oleh itu, PTS - Penilaian Tahap Satu yang baru diperkenalkan pada tahun 1996 telah dimansukan pula pada tahun 2001. Terlalu banyak sebenarnya polisi peperiksaan yang telah diubah dari tahun 1956. (Sila klik sini untuk maklumat lanjut.)


Yang terkini adalah idea untuk memansuhkan UPSR dan PMR. Sekali imbas, idea ini ada baiknya kerana mengurangkan penggantungan murid kepada dua peperiksaan ini untuk mengukur kejayaan mereka. Namun, di satu sudut yang lain, perlu difikirkan apakah mekanisme yang terbaik bagi mengurangkan penggantungan tersebut dan menjadikan murid-murid kita lebih independent dan kritis selepas kedua-dua peperiksaan ini digugurkan? Jadi diharap kementerian memikirkan dan mengkaji sedalam-dalamnya tentang pelaksanaan dasar baru ini. Jangan nanti timbul pula "UPSR" atau "PMR" lain yang hanya berubah pada nama.

Mencari penyelesaian dalam menghadapi suatu masalah, memang perkara yang patut dilakukan oleh pihak kementerian. Tapi perlu diingat, tindakan yang diambil sekadar ingin melepaskan batok di tangga hanya akan menyusahkan generasi akan datang atas sistem pincang yang kita cuba canang. Dan akhirnya ketika mereka tidak menjadi manusia seperti yang diimpi-impikan oleh negara, ketika itu, mereka akan menuding jari menyalahkan kita atas keputusan dan dasar yang lahir daripada pemikiran kita yang singkat. Seperti usaha gali lubang, tutup lubang. Tiada kesudahan yang memuaskan, malah mencetuskan masalah lain pula.

Saya lampirkan juga di sini artikel daripada Utusan Online sebagai cetusan minda agar kita memperhalusi lagi isu ini sebaiknya.


Ubah format UPSR, mansuh PMR

KEBELAKANGAN ini banyak perubahan atau pindaan yang ingin dilaksanakan kerajaan. Salah satunya ialah memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Seperti biasa ramai yang mengusulkan pandangan.

Agak merimaskan apabila polemik pemansuhan peperiksaan tersebut dibiarkan berlarutan. Ini kerana banyak pihak tertunggu-tunggu apakah keputusan sebenar kerajaan. Malang apabila isu ini disensasikan dan dipolitikkan pihak tertentu kerana memakan masa yang lama untuk dimuktamadkan.

Seharusnya pindaan, rombakan atau penstrukturan semula tidak dilakukan secara kerap kerana ia akan mengundang tanggapan negatif masyarakat dan inilah yang menyebabkan kerajaan dituduh flip-flop dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

Mengenai peperiksaan UPSR dan PMR, secara peribadi, PMR wajar dimansuhkan tetapi tidak bagi UPSR berdasarkan justifikasi berikut. UPSR perlu dikekalkan atas dasar ia menjadi penunjuk aras pencapaian dan keupayaan murid sekolah rendah menerima pendidikan formal selama enam tahun, seterusnya dapat menilai keberkesanan pelajaran dan pembelajaran di sekolah. Pencapaian murid dalam UPSR selama ini meningkat dan peratusan semua lulus dan 100 peratus (%) A juga bertambah. Jadi, mengapa ia perlu dimansuhkan?

Kejayaan tersebut belum memadai kerana masih banyak sekolah luar bandar menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan. Tahap pencapaian murid juga bergantung kepada kaedah pengajaran dan cara pemahaman yang disampaikan oleh guru.

Tambahan pula kerajaan telah menetapkan bahawa dalam tempoh tertentu pada masa akan datang, setiap bakal guru yang akan mengajar di sekolah rendah perlu memiliki kelayakan ijazah.

Sudah tentu kesemua mereka ini diberikan kepercayaan untuk mengajar di peringkat sekolah rendah. Kemuncaknya, UPSR menjadi penentu kepada sejauh manakah kelayakan tinggi yang dimiliki guru mampu menyediakan murid cemerlang UPSR sekali gus peperiksaan itu menjadi cabaran kepada guru dan murid untuk menempuhnya. Jadi, adakah wajar UPSR dimansuhkan setelah langkah penyediaan guru yang lebih berkualiti diambil?

Soal sistem pembelajaran sekarang berorientasikan peperiksaan sepatutnya tidak timbul kerana peperiksaan itu perlu dan keputusan untuk memansuhkannya dirasakan tidak tepat kerana kita mungkin mempunyai alternatif lain.

Apa gunanya jika UPSR dimansuhkan tetapi diganti dengan peperiksaan lain? Ia sama sahaja dan kita janganlah menjadikan perkara ini sebagai jenaka dengan memansuhkan UPSR tetapi selepas itu diwujudkan pula peperiksaan lain. Ia tetap peperiksaan.

Alternatif yang mungkin boleh dilaksanakan ialah mengekalkan UPSR tetapi konsep atau format peperiksaan itu perlu diubah, tidak hanya berteraskan peperiksaan bertulis sahaja tetapi mungkin boleh ditokok tambah dengan elemen lain dengan turut menyertakan pemarkahan dalam pencapaian luar kelas, keterampilan, mock interview atau kerja kursus mengikut tahap kesesuaian peringkat umur pelajar supaya lebih dinamik dan mengikut spesifikasi yang diinginkan dalam melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan tidak terlalu bergantung dengan keputusan peperiksaan bertulis semata-mata.

Ini membolehkan guru-guru menilai sendiri pelajar yang berpotensi dan menyerlah ketika dalam sesi pembelajaran dan keupayaan menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia secara tidak langsung menepati konsep penilaian berterusan yang menjadi asas kepada pendidikan sepanjang hayat.

Maka dengan itu, para pelajar juga tidaklah terlalu memfokuskan kepada pelajaran akademik sahaja tetapi mereka juga perlu mengambil bahagian dan menonjolkan kemampuan dalam setiap elemen yang akan ditetapkan dalam 'peperiksaan baru' tersebut sepanjang tempoh persekolahan selama enam tahun dan bukannya hanya bersedia pada saat-saat akhir peperiksaan seperti mana yang sering kita dengar dari mulut para pelajar sebagai last minute study.

Atau, mungkin sudah tiba masanya sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun menengah memulakan sistem pointer iaitu dengan mengumpul purata nilaian gred (PNG) dan purata nilaian gred keseluruhan (PNGK) seperti yang diamalkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan universiti. Bagaimanapun, sistem ini agak rumit jika hendak dilaksanakan di sekolah rendah. Justeru, satu mekanisme baru perlu diwujudkan dengan mengguna pakai atau mengaplikasikan sistem ini tetapi disuaipadan dengan tahap sekolah rendah agar lebih relevan.

Melalui sistem ini, pemarkahan pelajar ditentukan berdasarkan peratusan tertentu yang telah ditetapkan untuk beberapa elemen pada setiap semester sepanjang tempoh persekolahan. Sebagai contoh, 40% daripada markah peperiksaan bertulis UPSR akan ditambah dengan kerja kursus (10%), kehadiran (10%), partisipasi dalam kelas, (10%) , dan kokurikulum (30%) setiap semester. Kesemua markah tersebut akan dikumpul dan dikira sebagai purata lalu diterjemahkan sebagai keputusan keseluruhan UPSR serta diberikan gred bagi setiap mata pelajaran. Ini bermakna purata markah yang telah dikumpul sejak darjah 1 hingga 6 akan menunjukkan keupayaan dan nilai sebenar murid itu.

PMR pula dilihat lebih wajar dimansuhkan kerana ia sekadar satu platform untuk menempatkan pelajar ke sekolah dan aliran tertentu apabila mereka menginjak di tingkatan empat dan lima (menengah atas).

Mungkin ada yang menyatakan PMR boleh dijadikan sebagai medan untuk menebus kesilapan dan kegagalan UPSR agar pelajar boleh berhijrah dari sekolah menengah harian biasa ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau ke MRSM atau mana-mana sekolah elit setelah mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR. Ya, mungkin alasan tersebut boleh dijadikan sandaran tetapi adakah menempatkan diri di sekolah pilihan menjadi keutamaan berbanding dengan keputusan cemerlang yang perlu diperoleh?

Di sinilah kita dapat lihat mengapa perlunya UPSR dikekal dan diperkasakan supaya murid mempunyai kesedaran dari awal lagi untuk berusaha dan meningkatkan kemahiran insaniah agar dapat menempatkan diri di sekolah elit dengan pencapaian membanggakan apabila mereka berada di peringkat sekolah menengah.

Kita tidak mahu PMR sekadar dijadikan alat untuk menebus kembali kegagalan UPSR seolah-olah peperiksaan tersebut merupakan talian hayat bagi mereka yang lambat menerima kesedaran. Kita tidak mahu apabila calon UPSR mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, mereka akan menaruh harapan pula kepada PMR dengan kata-kata ini, "tak apa, PMR nanti aku nak berusaha lebih baik". Ia menggambarkan para pelajar gemar bertangguh dan terlalu mengharap peluang kedua untuk mencapai kejayaan. Tanggapan ini perlu diubah.

Selain itu, kewujudan PMR telah memberi tekanan kepada pelajar khususnya apabila mereka berada di tingkatan tiga. Jika sekolah rendah hanya mempunyai satu peperiksaan iaitu UPSR sepanjang enam tahun persekolahan, mengapa di peringkat sekolah menengah para pelajar perlu menghadapi dua peperiksaan iaitu PMR dan SPM dalam tempoh lima tahun persekolahan? Faktor peringkat umur, tempoh masa dan tahap kesukaran kurikulum juga patut diberikan perhatian.

Tempoh lima tahun dengan dua peperiksaan itu dilihat membebankan pelajar. Adalah lebih baik jika 'halangan' yang perlu dilalui pelajar tingkatan tiga dihapuskan kerana ia akan menawarkan satu nilai masa dan ruang yang selesa bagi pelajar meneruskan pelajaran dan kegiatan luar kelas tanpa dikenakan sekatan dan tekanan peperiksaan.

Perlu diketahui bahawa terdapat sekolah yang mengehadkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum apabila mereka berada di tingkatan tiga atas alasan mereka harus menumpukan kepada soal akademik, tambahan pula banyak program ilmiah dan kem kecemerlangan telah dirangka pihak sekolah sebagai mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi PMR. Ini merupakan satu bentuk tekanan kepada pelajar kerana keinginan mereka untuk bergiat aktif dalam aktiviti luar kelas telah dinafikan.

Maka kewajaran untuk memansuhkan PMR dilihat lebih relevan kerana fungsi dan peranannya tidak menjadi suatu keutamaan jika dibandingkan dengan UPSR.

PENULIS ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

0 Komen:

Post a Comment