Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

1/20/2010 07:39:00 PM

Bila wanita menangis........

Dihantar oleh thoyyibah

Sekadar Renungan………

“Ibu, kenapa menangis?” tanya seorang anak kepada ibunya. Ketika itu si ibu sedang menyuap makanan ke mulut anaknya.

“Kerana ibu seorang wanita,” jawab si ibu sambil mengesat air matanya. “Apa maksud ibu?” si anak bertanya lagi.

Ibunya Cuma tersenyum sedang air mata masih merembes, membasahi pipi. Dipeluk anaknya erat-erat, lalu berkata?”Anakku, kau memang tak kan faham……”

Kemudian anak itu bertanya pula kepada ayahnya:

“Ayah, kenapa ibu mudah menangis?

“Semua wanita memang mudah menangis,” hanya itu jawapan yang diberikan.

Masa berlalu … si anak membesar dan menjadi lelaki dewasa, namun dia masih lagi tertanya-tanya, mengapa wanita mudah menangis?

Sampai waktunya si ibu dipanggil pulang ke rahmatullah. Kerinduan yang amat sangat menyebabkan si anak terbawa-bawa rindunya ke dalam mimpi.

Di dalam mimpi itu, si ibu memimpin tangan si anak sambil berkata:“Anakku…Allah telah ciptakan wanita sangat istimewa. Dijadikan bahu wanita itu cukup kuar agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya. Namun ia juga cukup nyaman dan lembut untuk kepala bayi yang sedang nyenyak."

“Allah berikan wanita kekuatan untuk melahir dan mengeluarkan bayi daripada rahimnya walaupun kerap kali ia menerima cercaan daripada si anak. Keperkasaan itu juga membuatkan wanita tetap bertahan, pantang menyerah walaupun ketika orang lain sudah berputus asa."

“Kepada wanita juga Allah berikan kesabaran untuk merawat keluarganya walaupun letih, sakit dan lelah tanpa berkeluh kesah."

“Ingatlah anakku, dalam hati setiap wanita itu, Allah telah tetapkan perasaan kasih sayang dan peka untuk mencintai semua anaknya tanpa mengira keadaan atau paras rupa. Walaupun acap kali anak-anak melukai perasaan dan hatinya."

“Allah juga memberikan wanita sesuatu kekuatan luar biasa untuknya membimbing suami melalui saat-saat genting dan sulit serta menjadi pelindung walaupun sepatutnya dialah yang harus dilindungi."
“Kemudian Allah berikan wanita kebijaksanaan, ketabahan serta kelembutan untuk menangkis segala keburukan suami. Walau sering kali ia akan menguji setiap kesetiaannya kepada suami agar tetap berdiri sejajar saling melengkapi dan menyayangi."

“Dan anakku, air mata adalah permata paling berharga yang Allah kurniakan kepada setiap wanita supaya dia boleh mencurahkan perasaan suka dan dukanya."

“Jika kamu fikir airmata adalah kelemahan wanita, ternyata kamu silap. Air mata adalah kekuatan wanita, di situlah perasaannya berderai; duka; gembira; bahagia; sengsara malah cintanya terungkap melalui air mata."

“Air mata wanita adalah air mata air mata kehidupan,” tiba-tiba si anak terjaga. Barulah dia sedar betapa teguh dan kuatnya seorang wanita.


1/20/2010 11:15:00 AM

Masjid al-Aqsa Boleh ROBOH!

Dihantar oleh thoyyibah

Sumber: Berita Harian

Pemimpin Palestin beri amaran kesan buruk Israel gali bawah tanah


BAITULMAQDIS: Masjid al-Aqsa boleh roboh kerana mengalami banyak rekahan dan retakan berpunca daripada kegiatan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel menggali kawasan bawah tanahnya atas alasan mencari bukti peninggalan warisan Yahudi, menurut laporan, semalam.

Amaran itu dinyatakan oleh ketua hakim Pihak Berkuasa Palestin (PA), Sheikh Tayseer Tamimi, kepada Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC).

Seorang aktivis Palestin, Raed Salah turut bimbang Israel merancang membina kuil Yahudi di kawasan al-Aqsa.

Tayseer pula memberi amaran, beberapa rumah di sekitar tanah suci ketiga Islam itu turut berisiko roboh kerana kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada malam hari membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan Masjidil Aqsa.

"Saya risau dengan pelan Israel membina kuil di kawasan Masjid Kubah Batu tahun ini yang saya percaya akan membawa kepada pembinaan kuil lebih besar daripada al-Aqsa," kata Raed.

"Kerajaan Israel mesti bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya yang turut membabitkan kawasan penganut Kristian," kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.

Beliau juga merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi selain pencerobohan tentera dekat al-Aqsa, terbaru kemasukan 50 pelajar pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel melakukan penyelidikan termasuk pendatang Yahudi manakala wanitanya beribadat dekat masjid berkenaan, kata Tayseer.

Oleh sebab itu, Tayseer mendesak orang Arab dan Muslim di seluruh dunia memberi bantuan menyekat kegiatan menggali oleh Israel dekat tanah suci Islam berkenaan.

Beliau memberi pandangan itu selepas satu kawasan penduduk Silwan runtuh di timur Baitulmaqdis, Isnin lalu, dan meninggalkan lubang sebesar 12 meter di tengah jalan Wadi Hilwah. Jawad Siyam, ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa, memberitahu Maan bahawa runtuhan itu sedalam 10 meter dan terletak beberapa meter saja daripada satu lagi runtuhan, minggu lalu, atas sebab yang sama.

Dalam kejadian itu, sebuah trak kecil terperosok ke dalam lubang selepas runtuhan berlaku. Seorang kanak-kanak turut cedera apabila terjatuh ke dalam lubang itu.

Pusat Baitulmaqdis bagi Hak Sosial dan Ekonomi, (JCSER) melaporkan runtuhan berkenaan pada Isnin lalu, mengulangi kejadian sama tahun lalu. Tanah runtuh itu membabitkan sebuah sekolah perempuan dan 17 pelajar cedera.

(JCSER) menekankan, kegiatan Israel menggali menjadi sebab utama bangunan rosak termasuk di Masjid Al Ein.



Tenyata kaum yahudi ini tidak akan pernah padam usaha mereka untuk menguasai Al-Aqsa dan mengotakan hajat mereka untuk membina Solomon Temple
. Dan nampaknya usaha mereka hampir membuatkan hasil..

Firman Allah SWT: Ertinya: “Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhan terhadap orang-orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…”. (QS.Al-Maidah:85).

Dan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jika ada sepuluh orang Yahudi beriman dengan ku, tidak akan tinggal di atas bumi seorang Yahudi pun melainkan ia memeluk Islam.”

Di bawah ini merupakan siri 35 tentang kisah "The Arrivals". Semoga kita dapat melihat situasi yang ada sekarang dengan lebih jelas dan serius.

Klik link berikut untuk paparan lebih jelas:

Siri 34 "The Arrivals"


Siri 35 "The Arrivals"



1/17/2010 06:06:00 PM

Mini Album Terbaru RAIHAN

Dihantar oleh thoyyibah

Setelah terbitnya Album Selawat pada 2008 yang diterbitkan di London, kini Raihan menampilkan pula mini album, MUSAFIR PERJUANGAN yang memuatkan dua lagu iaitu "Musafir Kelana" & "Allah is calling". Lagu ini merupakan lagu lama oleh kumpulan The Zikr dan Nada Murni yang diberi nafas baru oleh Raihan. Marilah sama-sama kita menghayatinya....




1/10/2010 10:23:00 PM

Perkongsian oleh Tuan Hj. Abd. Manaf Deraman

Dihantar oleh thoyyibah

Sempena sambutan Maal Hijrah peringkat IPG-Kampus Bahasa A/bangsa, Majlis Nuqaba' dengan kerjasama Ketua Jabatan Pendidikan Agama Islam & Moral (JAPIM), Ustaz Ismail Zaini telah menjemput Tuan Hj. Abdul Manaf Deraman (seorang pengamal undang-undang) sebagai penceramah. Isteri beliau ialah Prof. Dato' Dr. Zaleha binti Kamaruddin, yang merupakan Timbalan Pengarah IKIM. Terlalu banyak perkongsian yeng telah beliau sampaikan terutama yang menyentuh tentang isu semasa dan isi hangat yang sering diperkatakan kini tentang isu penggunaan nama Allah.

Disebabkan beliau merupakan pengamal undang-undang yang bertugas di UIAM dalam Fakulti Undang-Undang, makanya penjelasan yang beliau huraikan berkenaan isu ini adalah berdasarkan akta dan perlembagaan. Malah beliau turut mendedahkan beberapa konspirasi yang saya rasa tidak sesuai untuk dicatatkan di sini. Namun apa yang dapat saya katakan ialah, Tuan Hj. Abd. Manaf, berjaya menyelongkar pelbagai fakta menarik di sebalik kes ini.

Selain isu ini, beliau turut memperkatakan tentang isu-isu berkaitan seperti kes Lina Joy, kes Natrah, kes pindaan penjaan anak dan beberapa kes lain. Di sini beliau telah membuat beberapa perkaitan lampau yang menunjukkan ketirisan dalam sistem perundangan kita yang sering sahaja diperkotak-katikkan oleh golongan-golongan yang berkepentingan. Terasa seperti sensitiviti masyarakat tentang isu hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Bila kes memuncak, banyak pihak bising, banyak pihak bangkang, dan banyak pihak melenting malah ada yang mengambil tindakan ekstrim bagi menunjukkan rasa tidak puas hati. Tapi, lama kelamaan, ia akan reda.......hinggalah kes yang sama berulang semula.... Agaknya masyarakat kita ini memang tidak pernah belajar daripada kesilapan lepas...hmm...

Pun begitu, dalam keadaan kita menghadapi pelbagai masalah dan isu yang sepertinya ingin menggugat kemuliaan agama Islam, sebenarnya di sebelah barat sana berbondong-bondong orang memeluk agama suci ini. Diceritakan oleh beliau fenomena yang melanda negara-negara barat yang kini di Eropah lebih dari 25 juta penduduknya adalah beragama Islam. Dan seperti ramai yang sedia maklum, peningkatan ini paling ketara berlaku selepas terjadinya peristiwa 9/11. Sebaliknya, beliau turut menceritanya beberapa situasi yang berlaku di negara di sebelah timur yang kita tidak jangka berlaku. Contohnya di Tunisia, tiada waktu solat diberikan kepada pekerja mereka pada hari Jumaat. Jadi bagaimana agaknya mereka ingin menunaikan solat Jumaat?? Di sana juga fenomena tidak membenarkan wanita yang bekerja dengan kerajaan memakai tudung turut berlaku. Dan beliau turut menggambarkan orang-orang Tunisia kebanyakannya lebih fasih berbahasa Sepanyol berbanding menggunakan Bahasa Arab. Di Pakistan pula, gerakan kristianisasi semakin kuat bertapak. Manakala di negara yang paling ramai umat Islam di dunia, iaitu Indonesia gerakan Islam Liberal semakin menjadi-jadi. Oleh itu, bagaimana anda ingin menilai situasi ini... Tuan Hj Abd Manaf turut berkongsi bahawa ketika beliau berada di tingkatan 2, ustaz beliau yang bernama Ustaz Ahmad Awang telah memberi tafsiran tentang satu tanda besar hari kiamat iaitu "Terbitnya matahari di barat, dan tenggelam di timur". Tafsiran beliau ialah - Islam akan semakin diterima di Barat dan akan semakin ditolak di Timur. Sejauh mana benarnya tafsiran ini tidaklah diketahui. Cuma, kita boleh mengambil iktibar dan memperbaiki diri sendiri dalam kehidupan kita dan hubungan kita dengan Allah.

Diharap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Wassalam...

Judul karyanya ialah "50 KATA-KATA TOKOH BERPENGARUH & CERITA DI SEBALIKNYA". Setelah beberapa bulan saya mengintai-ngintai peluang untuk membeli buah tangan Ustaz Dzul ini, akhirnya dapat juga saya miliki karya ini. Ketika saya pergi ke Bangi untuk menghadiri forum Mencari Cinta Sempurna di INSPEN, tanpa saya sangka yang menggantikan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre adalah Ustaz Dzul. Maka apabila selesai forum, saya cuba mencari buku ini di luar dewan seperti mana yang diberitahu oleh pengerusi majlis. Alhamdulillah...kini saya telah habis membacanya.

Secara ringkas saya boleh katakan buku ini yang kelihatan agak nipis, tetapi mempunyai isi yang amat padat. Malah terasa sangat rugi jika kita membaca dengan melangkah-langkathperkataan atau perenggan kerana pada saya setiap perkataan itu, adalah isi kepada buku ini. Sesuai dengan tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk pembaca mendapat maklumat yang mudah tentang sejarah Islam dan kehebatan tokoh-tokoh Islam, maka bahasa yang digunakan juga mudah difahami. Pembaca tidak dibebani dengan tarikh-tarikh dan penjelasan yang panjang lebar seperti layaknya sebuah buku sejarah. Tetapi cukup dengan 3, 4 baris ayat, Ustaz Dzul telah memberi pengenalan yang agak jelas kepada setiap tokoh yang ditulisnya. Jadi sekiranya para pembaca menginginkan maklumat lanjut berkenaan tokoh tersebut, maka saya sarankan untuk diri saya dan anda juga membuat bacaan lanjutan.

Cuma mungkin beberapa penambahbaikan boleh dibuat seperti meletakkan daftar kata untuk istilah-istilah arab yang digunakan. Ia dapat memudahkan lagi pembaca yang mempunyai pengetahuan dalam Bahasa Arab yang agak kurang, memahami maksud yang cuba disampaikan.

Membaca buku ini membawa kita mengenali tokoh Islam yang unggul dan ada sesetengahnya kisah mereka kurang didendangkan. Mana tidaknya. Dalam keadaan masyarakat kita yang ralit menghafal, mengikuti dan membaca kisah hidup artis, pemain bola sepak dan selebriti, kisah tokoh-tokoh Islam dahulu seakan dikuburkan dalam kehidupan kita. Alangkah ruginya kita jika mengenepikan tokoh yang telah mengangkat Islam dan menyebarkan haruman kesyumulan Islam ke seantero dunia. Malah setiap kata-kata mereka sebenarnya sangat menusuk kalbu dan menjana motivasi dalaman yang luar biasa. Itulah usaha yang telah ditunjukkan oleh penulis buku ini, Ustaz Mohd Dzul Khairi bin Mohd Noor (gambar).

Melalui buku ini, saya sendiri sebenarnya seperti baru mengenali tokoh-tokoh agung yang dicoretkan kata-kata mereka, lantaran kesibukan atau "buat-buat sibuk" dengan segala urusan dunia yang menyesakkan. Antara tokoh-tokoh yang diketengahkan ialah:
Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Al-Abbas bin Ubadah bin Nadharah, Al-Miqdad bin 'Amru, Ummu Aiman, Saad bin Abi Waqqas, Saad bin al-Rabi', Abu Dujanah, Abdullah bin Rawahah, Abdullah bin Huzafah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Khalid al-Walid, Panglima al-Muthanna bin al-Harithah al-Syaibani, Asim bin 'Amru, al Zubair bin al-Awwam, Abu Mihjan al-Thaqafi, Ibrahim al-Harbi, Junaid al-Baghdadi, Umar bin Abdul Aziz, Tariq bin Ziyad, Gabenor Syarifuddin Barghisy, Nuruddin Mahmud al-Zanki, Ibnu Taimiyah, Hassab al-Banna, Sir Iqbal dan sebagainya.

Penulis yang menggali kisah di sebalik kata-kata tokoh ini berjaya meruntun hati saya dengan semangat jihad yang terpancar dalam diri tokoh-tokoh Islam. Beberapa kali perasaan hiba menyerang hati saya tatkala menyedari betapa kecilnya jiwa ini jika dibandingkan dengan mereka. Malah sebenarnya tidak boleh dan tidak layak langsung rasanya untuk saya membuat perbandingan tersebut. Semoga syurga Allah sahajalah yang layak buat membalas semangat juang, keperwiraan, karisma dan ketokohan mereka.

Kepada sahabat-sahabat yang tercari-cari buku motivasi yang sekaligus mendekatkan lagi diri kita dengan kisah silam tokoh Islam, maka buku ini amat sesuai untuk anda. Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Dzul di atas terbitnya karya sulung ini. Saya ternanti-nanti pula karya seterusnya daripada beliau. Dan rasanya masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah di atas "masjid" yang beliau baru sahaja beliau bina bersama isteri pada 29 November yang lalu. Semoga bahagia di dunia dan di akhirat.

12/24/2009 06:04:00 PM

Forum: Mencari Cinta Sempurna

Dihantar oleh thoyyibah

Alhamdulilah… sangat gembira dapat mengikuti forum anjuran ILUVISLAM.com di bawah program “Fun & Exciting Weekend with ILI Team” (FEWWIT) pada 19 Dis 2009, di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi. Forum yang bertajuk “Mencari Cinta Sempurna” digarap dengan begitu indah sekali. Pengajuran forum ini juga merupakan salah satu usaha ILUVISLAM event untuk memberi respon kepada pengunjung-pengunjung setia laman sesawang mereka tentang topik yang paling mendapat sambutan dalam laman sesawang tersebut yakni yang bersangkutan dengan “CINTA”.

Saya bertambah teruja apabila di hari tersebut, buat kali pertama saya dapat mendengar buah fikiran secara langsung daripada Ustaz Dzul Khairi Mohd Nor selepas setahun lebih mengenali beliau melalui tulisan-tulisan beliau di alam maya. Walaupun rancangan asalnya Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre yang sepatutnya menjadi antara ahli panel, namun atas sebab tertentu tempat beliau telah digantikan dengan Ustaz Dzul. Suatu replacement yang sangat berbaloi pada pendapat saya. Ustaz Dzul merupakan seorang ikon dalam dunia kepimpinan mahasiswa dan dunia dakwah yang amat saya kagumi. Kini beliau diberi amanah mengemudi sayap Pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) beberapa bulan yang lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada beliau kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Jadi, dalam forum tersebut, kisah beliau bertemu dengan permata hatinya menjadi antara isi ucapan beliau. Selama ini, saya mengenali Ustaz Dzul sebagai orang yang tegas dalam berkata-kata terutama dalam penulisan dan video-video ceramah dan ucapan beliau yang terdapat dalam Youtube. Tetapi pada hari tersebut saya berpeluang mendengar penyampai Ustaz Dzul yang sedikit berlainan daripada yang biasa. Kata-katanya sangat santai tetapi tetap terkesan dalam hati. Banyak juga jenaka yang diselitkan bagi menggamatkan keadaan. Semuanya itu membuatkan penyampaian Ustaz Dzul menjadi sangat versatile, sebagai pendakwah muda yang berjiwa besar.

Namun dua ahli penel lagi tetap tidak mengecewakan. Datin Zaleha yang telah bergiat dalam dunia motivasi selama 30 tahun melontarkan pandangan-pandangan tentang takrifan “Cinta Sempurna” dengan begitu berkesan. Dan seorang lagi ahli panel, Saudara Mohd. Fadzli Yusof yang juga merupakan seorang motivator berpengalaman, sebaik mungkin cuba menyelami hati penonton forum dan berkongsi banyak cerita menarik tentang kisah-kisah cinta. Buat moderator pula, nampaknya walaupun beliau baru pertama kali diamanahkan menjadi moderator, namun cara beliau mengendalikan forum sangat menarik. Dengan berlatarbelakangkan kelulusan dalam bidang seni bina daripada universiti luar negara, beliau sering sahaja membuat analogi yang memaksa para hadirin membuat “brain storming” sebelum persoalan-persoalan tersebut dijawab oleh ahli panel.

Dalam masa yang terasa begitu singkat, forum ini dapat meluaskan lagi pemikiran sempit saya tentang pemburuan cinta sempurna. Tahniah saya ucapkan kepada Team ILUVISLAM yang berjaya menganjurkan forum seperti ini yang sebenarnya sedikit sebanyak dapat membetulkan persepsi salah tentang cinta yang bersarang dalam minda para belia dan remaja hari ini. Semoga pada masa akan datang Team ILI akan membuka pula topik-topik lain untuk dijadikan bahan diskusi pula… I Love ISLAM!



Perasmian Akhbar ILUVISLAM

Antara muslimat yang menghadiri forum

Barisan ahli panel (dari kiri; Saudara Fadzli Yusuf, Ustaz Dzul Khairi, Datin Zaleha Omar) dan moderator

Jika anda berminat untuk mendengar buah fikiran yang dilontarkan oleh Ustaz Dzul Khairi dalam forum ini, anda boleh melawat link berikut:

Ustaz Dzul 1
Ustaz Dzul 2
Ustaz Dzul 3
Ustaz Dzul 4