Hambatan Minda...

melihat keajaiban sekeliling dan mengenal isi hati…

3/01/2009 11:23:00 PM

Harun Yahya - membawa anda ke suatu dimensi pemikiran yang luar biasa

Dihantar oleh thoyyibah




Harun Yahya adalah nama pena Adnan Oktar yang lahir di Ankara pada tahun 1956. Nama pena Harun Yahya berasal daripada dua nama Nabi: "Harun" (Aaron) dan "Yahya" (John) untuk mengenang perjuangan dua orang Nabi tersebut melawan kekufuran. Sebagai seorang da'ie dan ilmuwan terkemuka yang berasal daripada Turki, beliau sangat menjunjung tinggi nilai akhlak dan mengabdikan hidupnya untuk berdakwah kepada masyarakat. Adnan Oktar memulakan perjuangan intelektualnya pada tahun 1979, iaitu ketika menuntut ilmu di Akademi Seni, Universitas Mimar Sinan. Selama berada di universiti tersebut, beliau melakukan kajian yang mendalam tentang berbagai falsafah dan ideologi materialis yang sangat berpengaruh terhadap masyarakat sekeliling pada ketika itu. Hal ini menjadikan beliau memahami sesuatu falsafah lebih mendalam berbanding orang yang memperkenalkan falsafah tersebut. Penulis juga telah menghasilkan berbagai karya dalam bab yang membicarakan tentang kejadian dan kekuasaan Allah seperti “Kaum-Kaum Yang Pupus”, “Penipuan Evolusi”, “Malapetaka Yang Dibawa Oleh Darwinisma Kepada Manusia”, “Bagi Golongan Yang Berpemikiran”, “Global Freemason”, “Deep Thinking” dan banyak lagi.

Saya sempat membaca buku “Keabadian Masa & Hakikat Takdir” tulisan beliau. Sememangnya hujah-hujah yang dikeluarkan membuatkan kita semakin yakin tentang asal penciptaan alam semesta ini. Beliau menyelar terus pegangan tokoh-tokoh materialis yang mengagungkan sentimen bahawa kewujudan alam dan manusia adalah “semulajadi”. Hujah –hujah daripada tokoh seperti Karl Marx, Fred Hoyle, Friederich Engels, George Politzer dan ramai lagi tokoh-tokoh materialis telah dipatahkan dengan mudah dengan menggunakan hujah naqli (Al-Quran & Hadith) dan aqli (berdasarkan pemahaman dan kajian beliau terhadap teori-teori tersebut dan pengetahuan yang luas dalam bidang sains). Mereka yang cuba untuk mengangkat Teori Steady State akhirnya terpaksa akur dengan Teori Big Bang yang terbukti benar.

Jika sebelum ini kita dimomokkan oleh Teori Evolusi Darwin yang dibawa oleh Charles Darwin bahawa manusia adalah makluk yang dievolusikan daripada seekor kera kemudian perlahan-lahan menjadi makhluk primitif dan akhirnya menjadi manusia, telah nyata bahawa Darwin menipu. Teori Darwin ini telah "dibakul sampahkan" dengan bukti-bukti yang menyangkal sama sekali kaitan manusia dengan kera. Fosil-fosil yang dijadikan bahan bukti oleh pendokong teori ini juga telah dibuktikan sebagai PALSU! ternyata Adnan Oktar adalah "wira" yang telah membongkar kebohongan teori evolusi dan mengemukakan fakta adanya Pencipta atas segala sesuatu yang tercipta.

Selain itu, dalam buku yang sama juga beliau menyatakan bahawa manusia sebenarnya hidup dalam suatu alam persepsi atau boleh disama ertikan dengan mimpi. Bermakna kehidupan kita kini hanyalah suatu mimpi yang panjang yang akhirnya kita akan "dikejutkan" pada Hari Kiamat kelak. Pasti anda mula sangsi dengan tulisan saya ini. Tapi percayalah selepas anda membaca buku "Keabadian Masa & Hakikat Takdir" anda akan faham apa yang saya maksudkan. Dan secara tidak langsung anda juga akan faham bahawa rasa panas, sejuk, lapar, kenyang, takut, marah, sakit dan sebagainya hanyalah suatu persepsi yang diistilahkan sebagai "Dunia Isyarat Elektrik". Selepas itu kita juga akan tahu bahawa segala apa yang kita miliki seperti kereta, rumah, pen, kertas, buku, warna, harta, hatta komputer dan segala tulisan yang sedang anda baca ini hanyalah suatu ILUSI!.

Jadi, apa yang ingin kita bangga-banggakan dalam kehidupan ini? Sudahlah jasad yang membawa roh kita ini sekadar pinjaman, harta kekayaan adalah ilusi dan nyawa yang ada dalam jasad kita bila-bila sahaja boleh ditarik Ilahi, layakkah kita untuk menjadi manusia yang angkuh di muka bumi ini? Tidak guna menjadi manusia yang sombong kerana tiada satu pun dalam dunia ini milik kita dan setiap yang kita ada kini bila-bila masa sahaja akan hilang. Marilah sama-sama kita menginsafi kejadian diri yang terlalu kerdil dan kembali sujud mensyukuri segala nikmat yang dipinjamkan oleh Ilahi...
Wallahu a’lam..

2/28/2009 04:17:00 AM

Astagfirullahal a'zim

Dihantar oleh thoyyibah


Setelah sekian lama menahan diri,
Hari ini aku tewas dgn amarah ku sendiri,
Entah dari mana datangnya personaliti baru ini,
Mungkin dek kerana aku makin jauh dengan Pencipta,
Segala-galanya bagaikan berlaku sekelip mata,

Hatiku menyayangi sahabat-sahabatku,
Malah sayang itu mungkin tertumpah lebih dari diri sendiri,
Kerana aku mengerti,
Manusia tidak mampu hidup sendiri,
Perlu diingatkan dan mengingati,
Perlu disayang dan menyayangi,
Tapi malang, ia ditenggelamkan oleh ego dan dengki,

Tatkala makin sirna suatu perhubungan,
maka syaitan mula meraikan,
Kejayaan 'mereka' membentuk pasukan,
daripada hamba Allah yang lebih mulia dari 'mereka',
yang lebih tinggi akal dan darjatnya,
kerana kita bergelar manusia,
Namun kita seakan rela bersama 'mereka',
kita manusia yang sering lupa,
dan apabila diingatkan kita tetap alpa,
melakukan kesilapan berulang-ulang kali tanpa hiba,
Sehingga kelam hati, gelap jiwa,

Ya Allah...
bersihkanlah hati-hati kami,
dari segala dosa, syak wasangka dan dengki,
kerana Kau lah empunya kerajaan hati,
yang menentukan gerak ke kanan atau ke kiri,

Kami masih sayangkan hubungan ini,
Dalam setiap kekhilafan
kami tahu ada sesuatu yang masih dapat disepakati,
Hati kecil kami merintih apabila segalanya terjadi,
Dan ia terjadi bukan atas kerelaan kami,
Kerana kami pernah merasai nikmat bersatu hati,
Kami inginkan saat-saat itu kembali,
Kembali membawa cahaya dalam hati-hati kami,

Aku tahu Ya Allah,
Segalanya ini ujian dari Mu,
Kau mengetahui tahap ketahanan diri ini dan sahabat-sahabatku,
Kini aku sudah tidak mampu,
Dan pada Kau jualah tempatku mengadu,
dalam setiap tangisan dan sendu,

Berilah kami pengakhiran yang menenangkan,
Agar kami dapat bersama semula dalam satu bulatan,
Menghadapi cabaran dalam satu barisan,
Hingga kami mampu semula mengongkah arus kesulitan,
Dalam perjalanan kami yang panjang dan menguji keimanan......

NUKILAN: thoyyibah (4.50am, 28/2/09)

2/27/2009 01:27:00 AM

Isu PPSMI semakin hangat...!

Dihantar oleh thoyyibah

Saban waktu kini makin ramai yang lantang bersuara menyuarakan penentangan terhadap perlaksanaan PPSMI di sekolah.. Hasrat rakyat dan para pendidik sangat jelas..jgnlah dikorbankan bahasa kebangsaan yang satu itu demi meningkatkan penguasaan bahasa penjajah tersebut.. Mana pergi segala metod dan kaedah pengajaran & pembelajaran Bahasa Inggeris yang dicanang oleh golongan yang pakar dlm lapangan ini..? adakah tidak ada satu formula pun yang boleh digunakan utk memantapkan kefasihan dan literasi dalam bahasa inggeris selain memansuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dan subjek Matematik & Sains..? dalam tulisan ini saya tidak akan menyentuh soal akta pendidikan atau mana2 isi perlembagaan.. sekadar membawa para pembaca utk berfikir dan terus berfikir mengenai isu ini..

Saya tidak faham kenapa pembuat2 dasar bersikap egoistik dan cuba juga menegakkan benang yang dah basah lencun, sedangkn saya pasti mereka faham impak terhadap perlaksanaan pelan ini.. Adakah kerana sikap partisan dan ideologi politik menjadikan mereka ingin terus menyatakan bahawa tindakan mereka ini betul? Apalah salahnya jika mereka mengembalikan semula tuntutan bahasa kebangsaan ini dan mengenepikan sebentar kepentingan politik demi menjaga kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.. kerana jika PPSMI ini tetap diteruskan ia bukan setakat menenggelamkan hak bahasa kebangsaan itu sendiri, tetapi sedikit demi sedikit identiti bangsa Malaysia akan mula terjejas dek kerana kegopohan "mengejar" Barat..

Seorang pensyarah daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, yang berlatar belakangkan pendidikan Inggeris turut menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap perlaksanaan sistem ini dalam suatu program kepimpinan peringkat kebangsaan di Ins. Aminuddin Baki, Genting Highland pada bulan 9 2008. Pada sudut pandangan beliau, beliau memberi gambaran bahawa dalam masa 10thn akan lenyaplah fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kerana dalam jangka masa tersebut, akan hilang perbendaharaan kata dan istilah2 Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu akan sekadar menjadi bahasa kelas bawahan yang mana apabila berdepan dengan golongan2 yang dikatakan sebagai 1st class, mereka akan mengelak daripada menggunakan Bahasa Melayu malahan akan timbul pula rasa malu apabila bertutur dalam Bahasa Melayu di hadapan bangsa2 lain... Adakah modal insan jenis ini yang ingin dihasilkan oleh negara yang terlalu membanggakan Bahasa Inggeris sehingga lupa tentang agenda memperkasakan Bahasa Melayu??

Pada saya, tidak ada salah langsung bagi kita untuk fasih dan mahir berbahasa inggeris.. malah jika seseorang mempunyai kebolehan berbahasa dalam pelbagai bahasa antarabangsa, ia akan lebih terkehadapan berbanding orang lain..Tiada siapa rasanya yang menafikan hal ini. Cuma yang ingin ditegaskan ialah, jgn sekali2 merampas hak bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu sekurang-kurangnya kepada warganegaranya sendiri...



Hari ini (26/2/09) di PICC, Putrajaya berlangsung Konvensyen Patriotisme Remaja yang membincangkan tajuk "Patriotisme Asas Perpaduan Kita" dengan bersaksikan ribuan pelajar dan mahasiswa yang terdiri daripada pemimpin pelajar di peringkat sekolah, IPTA, IPGM, kolej martikulasi dan politeknik mendengar pendirian seorang insan yang bernama Prof. Teo Kok Seong dengan tegas menyuarakan pendapatnya yang pengajaran Sains dan Matematik mesti diajar semula dalam Bahasa Melayu! saya dapat dengar dengan teliti segala kupasan beliau mengenai isu ini.. Malah dalam hati sinis saya menyatakan ada masa orang yang bkn Melayu lebih memahami kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan dalam negara ini berbanding org Melayu itu sendiri... Makin pening nampaknya org2 KPM...

Mungkin keputusan "cemerlang" UPSR 2008 menjadi sandaran kepada org2 yang "berpendirian teguh" mempertahankan PPSMI.. tp artikel daripada seorang pendidik dalam sebuah akhbar alternatif baru2 ini membuka suatu persoalan baru pula.. beliau menyatakan bahawa peratusan atau markah lulus untuk subjek Matematik jatuh sehingga 20% malah mungkin lebih rendah dari itu.. Bermakna tidak peliklah sekiranya murid yang selama beberapa tahun mempelajari Matematik dalam bahasa inggeris yang tidak pernah mencapai markah lulus 40% dalam setiap ujian dan peperiksaan, boleh lulus dengan gred C & B dalam UPSR...! Adakah ini keputusan yang Kementerian Pelajaran Malaysia ingin bangga2 kan?

Diharap KPM akan lebih peka selepas ini.. Jangan nanti selepas beberapa lama sistem ini digunapakai, tiada kemajuan dalam bahasa inggeris dan Bahasa Melayu pula habis tergadai.. pendek kata yang dikejar xdpt, yang dikendong keciciran...

wa'llahua'lam..

2/25/2009 11:30:00 PM

Hari-hari terakhir dlm MPP...

Dihantar oleh thoyyibah

Hmm...bru lepas mesyuarat perpisahan MPP 08/09.. Alhamdulillah..byk dh rasenye pengalaman yang dh ditimba dalam ms 2 penggal dlm Student's Council IPGM - KBA.. Dan diperkuatkan dengan ilmu2 "mafia" yg dicurahkan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (Tuan Tahir Zaman).. Mudah2 an segala pengalaman dan ilmu tu dpt membantu masa nk jd pendidik nnt...

Walaupun pd mulanya m'jangkakn akan menjalankan tugas lagi utk sesi akan dtg, tp selepas dipertimbangkan semula, ada baiknya tugas2 ni diserahkan kpd muka2 baru.. Ada jgk suara2 minta sy bertanding lagi..tp dlm hati terasa berat.. bkn ingin lari dr tanggungjawab.. tp pada dasarnya semua org tau utk pgng suatu amanah bukan satu perkara yang mudah.. bila kita buat kerja, org xendah.. bila kita menjaga kebajikan pelajar, org xprasan.. TAPI bila kita terlepas pndg sesuatu kerja, itulah perkara yang nmpk mcm kita seolah2 xpernah buat kerja... bkn mengeluh, tp tu la hakikat dlm kebanyakan organisasi yg bersifat politik.. dengan karenah birokrasi yang x pernah habis, makin sukar utk suatu amanah yang diberikan tu nk dilaksanakan.. tp tulah kate org, Kalau takut dilambung ombak, jgn berumah di tepi pantai.. kalau xsanggup korbankan keselesaan diri, jgn cuba utk menerima amanah yang besar..kelak diri sendiri yang terkena bahananya..

pengalaman 2 tahun berkhidmat dlm MPP n org putih kata work under pressure, byk mengajar diri ini.. Bermula dengan jawatan Exco Kerohanian & Pembangunan Sahsiah (07/08).. kemudian sebagai Exco Akademik (08/09) dan awl thn ni memangku jawatan S/U Agung selama 2 bulan, memang pelbagai kesulitan dh ditempuhi.. bila ada program especially bila ade orientasi, kita la yang kena bangun plng awl n tido plng lewat... kerja yang dtg last minute xyah kate la.. mmg kebykan program kt IPBA a.k.a IPGM-KBA ni dtg last minute..tmbh stress bile ms tu la assignmt tgh menggunung... Tuhan je la yang tahu bebanan masa2 mcm tu... Tp..kemanisannya tetap ada... (^_^)

Minggu2 terakhir ni sempat siapkan beberapa kerja.. siapkan paperwork Citra Guru Ranau & Ekspedisi Kinabalu, paperwork Hari Keluarga MPP 08/09, n yang terbaru siapkn paperwork Pusat Kegiatan Pelajar.. n pasni kena buat surat2 penghargaan kepada pensyarah dan kepada exco2 MPP yang dh berkhidmat last year n awal thn ni..
tgh duk pikir psl Ekspedisi Gunung Kinabalu hujung sem ni..banyak benda hanging.. Tiket flight dh beli..harap2 Allah permudahkan kejayaan program ni..

N lastly kepada calon2 yang bakal b'tnding merebut jawatan2 dlm MPP 09/10, semoga kalian istiqamah dgn tekad yang dh diletakkan.. mungkin byk cabarannya, tp cabaran tu la yang mematangkan kita utk menghadapai segala macam halangan dan ujian sebagai bakal pendidik pd masa akan dtg..dan inilah ruang & peluang utk kalian mengasah bakat kepimpinan yg mungkin tersembunyi selama ini... sy selalu berpegang bahawa "pengalaman adalah kekuatan".. dan inilah masanya utk kita menambah pengalaman, xkira pengalaman manis atau pahit, dlm ms yg sama kita memantapkan jasmani dan spiritual diri masing2..

Sy ucapkn, Selamat Berjaya kpd semua....

2/22/2009 09:53:00 PM

Saudara Baru...

Dihantar oleh thoyyibah

Terpegun...itu sajalah yang saya boleh katakan tentang perbincangan yang dibuat dalam rancangan Al-Kulliyah terbitan TV3.. kebijaksanaan Ustaz Fauzi mengendalikan perbincangan dan kepetahan dua orang ahli panel iaitu Ustaz Wan Shohor Bani Leman dan Dr. Ridhuan Tee Abdullah (pensyarah kanan Uni. Pertahanan Nasional Malaysia) pasti akan menerobos ke dalam hati sesiapa sahaja yang menonton diskusi tersebut..

topik yang menjadi bahan perbincangan pada hari tersbut (20/2/09-Jumaat) ialah berkenaan "Muallaf".. dengan kehadiran Dr. Ridhuan Tee memang sy sudah jangka dari awal yang kupasan yang dibuat oleh beliau akan membawa kita lebih menyelami isu ini dgn lebih mdalam...

perbincangan dimulakan dengan kupasan dari segi makna oleh ustaz wan..ustaz wan menyebut bahawa perkataan "muallaf" tidak terdapat dlm mana2 kitab fiqh..cuma dlm Alquran ada dinyatakan golongan yang layak menerima zakat ada 8 golongan dan salah satunya ialah golongan muallaf.. dan beliau memberitahu bahawa maksud muallaf ialah "golongan yang dijinakkan hatinya"..

manakala lontaran hujah yang diberi oleh Dr. Ridhuan pula lebih menyentuh emosi lantaran soalan berkenaan halangan yang menimpa golongan saudara2 muslim ini..beliau menegaskan tentang cara yang berhikmah dan lemah lembut dalam memberi pengetahuan dan tunjuk ajar kepada golongan ini kerana khuatir mereka akan kembali kepada agama asal.. dan di kala inilah perasaan sebak menguasai dr.ridhuan hingga beliau tidak dapat meneruskan bicara..malah kelihatan audiens yang hadir juga turut menitiskan air mata termasuklah saya yang melihat dari kaca tv.. dr.ridhuan sedih ketika cuba mngulas tentang banyak kes2 murtad yang berlaku dalam kalangan saudara baru/muslim.. antara yang diceritakan ialah bagaimana seorang isteri yang telah menikahi suaminya yg merupakan saudara baru dan telah lama hidup serumah dan telah mempunyai beberapa org anak, akhirnya ingin murtad.. hatinya kecewa kerana beliau tidak dapat melakukan apa2 dan melontarkan pula persoalan apa yang si isteri tadi telah usahakan utk membimbing suaminya selama mereka berkahwin? pada beliau telah nyata isteri tadi gagal membimbing suami dan membiarkan si suami tidak melaksanakan kewajipan sebagai seorang muslim wlpn telah bertahun2 hidup bersama..


Selain perkara ini, panelis turut mengupas isu prejudis dalam kalangan masyarakat terhadap mereka yang baru memeluk Islam ini.. saya amat bersetuju dengan panelis..adalah salah bagi kita untuk memandang rendah dan menghina mereka..siapalah kita untuk menilai iman seseorang..tiada langsung hak pada kita untuk meletakkan seseorang itu lebih rendah kedudukannya dek kerana masa silam mereka ketika masih belum mendapat Nur Ilahi.. dan mungin ada yang berfikiran dangkal berpendapat disebabkan kita lebih lama Islam daripada mereka kita boleh memandang mereka dgn sebelah mata shj dan mengabaikan kewujudan mereka....... sedangkan banyak berlaku saudara2 baru ini lebih arif tentang hukum hakam Islam berbanding kita yang dikatakan telah "lama" Islam.. nama2 besar seperti Yusuf Islam, Saudara Ann Wan Seng (gambar), Ustaz Mohamad Farid Ravi Abdullah, saudara Nazrey Johari dan ramai lagi.. ilmu mereka tentang Islam sangat luas dan menjadi rujukan ummah...

Namun kini, timbul kebimbangan dalam hati saya...adakah gerak geri saya diperhatikan oleh mereka yang mula ingin dekat dan ingin mempelajari Islam? jika ya, apakah perilaku yang saya perlihatkan ini akan menyebabkan mereka makin ingin dekat dgn Islam atau sebaliknya?nau'zubillah.... terasa amat berdosa jika tingkahlaku yang saya perlihatkan menjadi sebab golongan ini semakin menjauhi Islam..di mana saya perlu letakkan pertanggungjawaban tersebut...? Ya Allah..berilah petunjuk padaku, agar memperelokkan kata, laku dan hatiku... jgnlah dijadikan diri ini sebagai fitnah terhadap agamaku sendiri... ameen...

2/18/2009 11:03:00 PM

AWAS! 10 perkara yang membatalkan keISLAMan kita...

Dihantar oleh thoyyibah

Penulis : Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz


Segala puji bagi Allah (Subhanahu wa Ta’ala) , Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada nabi yang terahir Muhammad (Salallahu 'alaihi Wassalam), para keluarga dan para Sahabat baginda, serta kepada orang- orang yang setia mengikuti petunjuk baginda.

Selanjutnya : Ketahuilah, wahai saudaraku kaum muslimin, bahawa Allah (Subhanahu wa Ta’ala) telah mewajibkan kepada seluruh hamba – hambaNya untuk masuk ke dalam agama Islam dan berpegang teguh denganya serta berhati –hati untuk tidak menyimpang darinya.

Allah juga telah mengutus NabiNya Muhammad (Salallahu 'alaihi Wassalam) untuk berdakwah dalam hal ini, dan memberitahu bahawa barangsiapa bersedia mengikutinya akan mendapatkan petunjuk dan barangsiapa yang menolaknya akan sesat.

Allah juga mengingatkan dalam banyak ayat- ayat Al-Qur’an untuk menghindari sebab- sebab kemurtadan, segala macam kemusyrikan dan kekafiran.

Para ulama rahimahumullah telah menyebutkan dalam bab hukum kemurtadan, bahawa seorang muslim boleh di anggap murtad ( keluar dari agama Islam) dengan berbagai cara, yang menyebabkan halal darah dan hartanya dan di anggap keluar dari agama Islam.

Yang paling berbahaya dan yang paling banyak terjadi ada sepuluh hal, yang di sebutkan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan para ulama lainnya, dan kami sebutkan secara ringkas, dengan sedikit tambahan penjelasan untuk anda, agar anda dan orang – orang dan setiap daripada kita berhati hati dalam hal ini, dengan harapan dapat selamat dan terbebas daripadanya.

Pertama:
Diantara sepuluh hal yang membatalkan keislaman tersebut adalah mempersekutukan Allah (Subhanahu wa Ta’ala) ( syirik ) dalam beribadah.

Allah (Subhanahu wa Ta’ala) berfirman:
] إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء[ سورة النساء، الآية : 116

ertinya : “ Sesungguhnya Allah (Subhanahu wa Ta’ala) tidak mengampuni dosa syirik(menyekutukan ) kepadaNya, tetapi mengampuni dosa selain itu, kepada orang – orang yang dikehendakinya “.( Annisa’ ayat : 116)

Allah (Subhanahu wa Ta’ala) berfirman:

] إنه من يشرك بالله فقد حرم الله عليه الجنة ومأواه النار وما للظالمين من أنصار[ سورة المائدة : 72.

ertinya: “ Sesungguhnya orang yang mempersekutukan Allah, nescaya Allah akan mengharamkan syurga baginya, dan tempat tinggalnya (kelak) adalah neraka, dan tiada seorang penolong pun bagi orang – orang zalim” .( Al- Maidah : 72).

Dan di antara perbuatan kemusyrikan tersebut adalah ; meminta doa dan pertolongan kepada orang- orang yang telah mati, bernazar dan menyembelih korban untuk mereka.


Kedua:
Menjadikan sesuatu sebagai perantara antara dirinya dengan Allah (Subhanahu wa Ta’ala), meminta do’a dan syafaat serta bertawakkal ( berserah diri ) kepada perantara tersebut.
Orang yang melakukan hal itu, menurut ijma’ ulama ( kesepakatan) para ulama, adalah kafir.


Ketiga :
Tidak menganggap kafir orang- orang musyrik, atau ragu atas kekafiran mereka, atau membenarkan konsep mereka. Orang yang demikian ini adalah kafir.


Keempat:
Berkeyakinan bahwa tuntunan selain tuntunan Nabi Muhammad (Salallahu 'alaihi Wassalam) lebih sempurna, atau berkeyakinan bahawa hukum selain dari baginda lebih baik, seperti ; mereka yang utamakan aturan - aturan thoghut (aturan – aturan manusia yang melampaui batas serta menyimpang dari hukum Allah ), dan mengenepikan hukum Rasulullah (Salallahu 'alaihi Wassalam) , maka orang yang berkeyakinan demikian adalah kafir.

Orang yang berkeyakinan bahawa aturan- aturan dan perundangan yang diciptakan manusia lebih utama daripada syariat Islam, atau bahawa syariat Islam tidak tepat untuk diterapkan pada abad ke dua puluh ini, atau berkeyakinan bahwa Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan antara manusia dengan Tuhannya saja, dan tidak mengatur urusan kehidupan yang lain.

Juga orang yang berpendapat bahwa melaksanakan hukum Allah Ta'ala dan memotong tangan pencuri, atau merejam pelaku zina ( muhsan) yang telah kawin tidak sesuai lagi di masa kini.

Demikian juga orang yang berkeyakinan diperbolehkan penetapan hukum selain hukum Allah (Subhanahu wa Ta’ala) dalam segi mu’amalat syar’iyyah, seperti perdagangan, sewa menyewa, pinjam meminjam, dan lain sebagainya, sekalipun tidak disertai dangan keyakinan bahawa hukum- hukum tersebut lebih utama dari pada syariat Islam.

Kerana dengan demikian ia telah menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah (Subhanahu wa Ta’ala) , menurut kesepakatan para ulama’. sedangkan setiap orang yang telah menghalalkan apa yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah (Subhanahu wa Ta’ala) dalam agama, seperti zina, minum arak, riba dan penggunaan perundangan selain Syariat Allah (Subhanahu wa Ta’ala), maka ia adalah kafir, menurut kesepakatan para umat Islam.


Kelima :
Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah (Salallahu 'alaihi Wassalam) , meskipun ia sendiri mengamalkannya. Orang yang sedemikian ini adalah kafir. Karena Allah (Subhanahu wa Ta’ala) telah berfirman :

] ذلك بأنهم كرهوا ما أنزل الله فأحبط أعمالهم [ سورة محمد, الآية : 9.

ertinya :" Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap apa yang diturunkan oleh Allah (Subhanahu wa Ta’ala), maka Allah (Subhanahu wa Ta’ala) menghapuskan (pahala ) segala amal perbuatan mereka”. ( Muhammad : 9).


Keenam:
Memperolok–olok sesuatu dari ajaran Rasulullah (Shalallahu 'alaihi Wassalam), atau memperolok – olok pahala maupun siksaan yang telah menjadi ketetapan agama Allah (Subhanahu wa Ta’ala), maka orang yang demikian menjadi kafir, karena Allah (Subhanahu wa Ta’ala) telah berfirman :

] قل أبالله وآياته ورسوله كنتم تستهزئون لا تعتذروا قد كفرتم بعد إيمانكم [ سورة التوبة، الآية : 65-66.

ertinya : “ katakanlah ( wahai Muhammad ) terhadap Allah kah dan ayat – ayat Nya serta RasulNya kalian memperolok – olok ? tiada erti kalian meminta maaf, kerana kamu telah kafir setelah beriman “ . (At- Taubah : 65- 66).


Ketujuh :
Sihir di antaranya adalah ilmu guna-guna yang merubah kecintaan seorang suami terhadap istrinya menjadi kebencian, atau yang menjadikan seseorang mencintai orang lain, atau sesuatu yang di bencinya dengan cara syaitan. dan orang yang melakukan hal itu adalah kafir, karena Allah (Subhanahu wa Ta’ala) telah berfirman :

] وما يعلمان من أحد حتى يقولا إنما نحن فتنة فلا تكفر[ سورة البقرة، الآية : 102.

ertinya :” Sedang kedua malaikat itu tidak mengajarkan (suatu sihir) kepada seorangpun, sebelum mengatakan: sesungguhnya kami hanya cubaan bagimu, sebab itu janganlah kamu kafir “.( Al-Baqarah : 102.)


Kelapan:
Membantu dan menolong orang – orang musyrik untuk memusuhi kaum muslimin. Allah (Subhanahu wa Ta’ala) berfirman:

] ومن يتولّهم منكم فإنه منهم إن الله لا يهدي القوم الظالمين [ سورة المائة، الآية : 51.

ertinya : “ Dan barang siapa di antara kamu mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani ) menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang tersebut termasuk golongan mereka. sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang – orang yang zalim” .( Al- Maidah: 51).


Kesembilan:
Berkeyakinan bahawa sebahagian daripada manusia dibolehkan tidak mengikuti syari’at Nabi Muhammad (Salallahu 'alaihi Wassalam) , maka yang berkeyakinan seperti ini adalah kafir. Allah (Subhanahu wa Ta’ala) berfirman :

] ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو في الآخرة من الخاسرين [ سورة آل عمران: 85.

ertinya:” Barang siapa menghendaki suatu agama selain Islam, maka tidak akan diterima agama itu daripadanya, dan ia di akhirat tergolong orang- orang yang rugi”.( Ali- Imran: 85).

Kesepuluh :
Berpaling dari ِِAgama Allah (Subhanahu wa Ta’ala); dengan tanpa mempelajari dan tanpa melaksanakan ajarannya. Allah (Subhanahu wa Ta’ala) berfirman :

( ومن أظلم ممن ذكر بآيات ربه ثم أعرض عنها إنَّا من المجرمين منتقمون[ سورة السجدة : 22.

ertinya : “ Tiada yang lebih zalim dari pada orang yang telah mendapatkan peringatan melalui ayat – ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling dari padanya. Sesungguhnya kami menimpakan pembalasan kepada orang yang berdosa “. ( As- Sajadah : 22).

Dalam hal- hal yang membatalkan keislaman ini , tak ada perbezaan hukum antara yang main-main dan yang sungguh- sungguh ( yang sengaja melanggar ) ataupun yang takut, kecuali orang yang dipaksa. Semua itu merupakan hal- hal yang paling berbahaya dan paling sering terjadi. Maka setiap muslim hendaknya menghindarinya. Kita berlindung kepada Allah (Subhanahu wa Ta’ala) daripada hal- hal yang mendatangkan kemurkaan Nya dan kepedihan siksaanNya. Kami mohon kepada Allah (Subhanahu wa Ta’ala) agar memberi taufiq kepada kita semua untuk setiap hal yang di redhai Nya, dan memberi petunjuk kepada kita dan kepada seluruh umat Islam jalannya yang lurus. Sesungguhnya Allah (Subhanahu wa Ta’ala) adalah Maha Mendengar dan Maha Dekat. Salawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Nabi kita Muhammad (Shalallahu 'alaihi Wassalam), kepada para keluarga dan para shahabat beliau.


-Befi
(Dinukil dari kitab نواقض الإسلام oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz, edisi Indonesia Hal-hal yang membatalkan Keislaman)
.